Inilah baru vibe old money yang sebenar – dekat Sabah saja 🙌🏻
Kembara Macam Old Money British Guna North Borneo Heritage Train Sabah. Bayangkan – anda duduk dalam kereta api antik dengan tingkap terbuka luas, angin sepoi-sepoi meniup muka, sambil menikmati pemandangan hijau padi dan kampung-kampung kecil Sabah. Itulah pengalaman North Borneo Heritage Train – satu perjalanan yang membawa anda balik ke era kolonial, lengkap dengan bunyi klasik lokomotif stim.
Jika anda belum tahu tentang kereta api klasik ini, jangan risau! Kami telah menyediakan panduan penuh ini untuk anda.

Apa Itu North Borneo Heritage Train
North Borneo Heritage Train adalah salah satu kereta api warisan terakhir di Asia Tenggara yang masih beroperasi dengan lokomotif stim. Kereta api yang berusia lebih 100 tahun ini bermula sejak zaman penjajahan British, dan sekarang ia dihidupkan semula untuk memberikan pengalaman pelancongan yang unik dan penuh nostalgia. Kereta api ini mempunyai 5 gerabak dan boleh memuatkan seramai 160 penumpang dalam satu-satu masa.
Lokasi Permulaan: Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Jarak: Perjalanan sejauh 58km dari Tanjung Aru ke Papar dan balik semula.
Durasi: Lebih kurang 4-5 jam termasuk persinggahan di stesen-stesen tertentu.

Apa yang Menarik Tentang Perjalanan Guna North Borneo Heritage Train Ini
- Lokomotif Klasik British Vulcan
- Kereta api ini menggunakan lokomotif stim yang dibina pada tahun 1900-an. Jika anda peminat sejarah atau trainspotter, ini adalah sesuatu yang jarang ditemui!
- Bukan itu sahaja, konduktor bas anda juga akan berpakaian seperti di zaman kolonial agar pengalaman ini berasa seperti kembali ke zaman lalu. Apatah lagi jika anda mengenakan pakaian ala-ala Old Money British.

- Set Karaoke dan Bilik Air di Setiap Gerabak
- Anda boleh mencuba untuk melepaskan geram anda untuk menyanyi sambil angin sepoi-sepoi menyapa wajah anda dalam gerabak ini. Pastinya ini adalah sebuah pengalaman karaoke yang tak akan anda lupakan seumur hidup.
- Buku Misi untuk Mengumpul Cop di Setiap Checkpoint
- Selain itu, anda juga akan diberikan buku misi kecil untuk mengabadikan cop kenangan apabila singgah di perhentian atau checkpoint tertentu. Boleh bawa balik jadi bukti yang anda pernah naik keretapi rare ni!

- Boleh Buat Henna Ringkas Sewaktu Dalam Perjalanan
- Salah satu aktiviti menarik yang anda boleh buat juga dalam perjalanan keretapi ini adalah membuat henna ringkas. Aktiviti ini akan dibantu oleh konduktor keretapi yang pastinya ramah dan murah dengan senyuman.

- Menikmati Pemandangan yang Memukau
- Anda akan melalui kawasan sawah padi, sungai, kampung tradisional, dan hutan. Mana kamera filem anda? Inilah masa untuk anda gunakannya sebaik mungkin.
- Stesen-Stesen Perhentian
- Kinarut: Melawat kuil Buddha Tian En Shi.
- Papar: Kenali “Rice Bowl of Sabah” dan singgah di pasar tempatan untuk membeli buah-buahan, makanan ringan, cenderahati dan menikmati hidangan tengah hari.

Jadual Perjalanan
Kereta api ini biasanya beroperasi dua kali seminggu (Rabu dan Sabtu). Jadual biasa:
- 9:00 AM: Berlepas dari Tanjung Aru.
- 10:00 AM: Persinggahan di Kinarut.
- 11:00 AM: Sampai di Papar.
- 12:30 PM: Kereta api bergerak balik ke Tanjung Aru.
- 1:45 PM: Tiba di Tanjung Aru.
Pastikan anda sampai di stesen lebih awal untuk urusan daftar masuk dan ambil gambar dengan kereta api ini.

Tips untuk Pengalaman Maksimum
- Pakai Pakaian Selesa
- Kerana lokomotif stim, kadang-kadang udara boleh menjadi panas. Pakai pakaian ringan dan jangan lupa topi atau sunscreen.
- Bawa Kamera
- Perjalanan ini penuh dengan momen menarik untuk diabadikan. Siapkan kamera untuk merakam pemandangan landskap dan suasana retro dalam kereta api.
- Tempah Awal
- Tiket cepat habis, terutamanya semasa musim cuti. Rancang perjalanan anda lebih awal.
- Nikmati Perjalanan Tanpa Gangguan
- Gunakan masa ini untuk benar-benar menikmati suasana. Hayati perjalanan, makanan, dan pemandangan tanpa gangguan.
Kenapa Anda Wajib Cuba North Borneo Heritage Train
North Borneo Heritage Train bukan sekadar perjalanan, ia adalah pengalaman unik yang menggabungkan sejarah, budaya, dan keindahan semula jadi Sabah. Sesuai untuk semua, dari pasangan yang inginkan percutian romantik, keluarga yang mahukan pengalaman santai, hingga pengembara solo yang mencari kelainan.