Pelajar Kolej Vokasional Keningau Wakili Malaysia di Taipei
Pelajar Jurusan Kosmetologi Sabah Wakili Malaysia Di Taipei. Laetitia Anwen Ng, 20, seorang pelajar program Kosmetologi di Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah dipilih sebagai delegasi yang mewakili Malaysia di APEC Forum on Women and Youth Empowerment, yang diadakan di Taipei, Taiwan, dari 13 hingga 15 November 2024. Acara ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan negara tersebut.
Pelajar ini, bersama seorang pensyarah dari kolej yang sama, Sydney Engelbert, telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menghadiri konvensyen global ini, di mana semua 80 delegasi mendapat tajaan penuh oleh penganjur untuk menghadiri program yang berlangsung selama tiga hari ini yang menampilkan pembicara yang berpengalaman dan terkemuka.

Matlamat konvensyen ini adalah untuk memperkasakan peranan wanita dan belia dalam memacu inovasi serta perubahan yang memberi impak positif kepada keusahawanan, pendidikan, dan pembangunan kemahiran dengan menggabungkan teknologi terkini dan amalan kelestarian.
Selain dialog, bengkel dan pembentangan, para peserta juga telah menyertai lawatan lapangan ke beberapa organisasi dan inisiatif yang mempraktikkan amalan kelestarian dan keusahawan sosial.
Laetitia Anwen Ng dipilih oleh Kementerian Pendidikan mewakili Malaysia atas sumbangannya dalam aktiviti kesukarelawanan belia khususnya dalam perkhidmatan komuniti dan penganjuran kem kepimpinan di Keningau, usaha pengumpulan dana dan crowdfunding untuk membantu pesakit kanser serta keluarga berpendapatan rendah, serta penyertaannya yang aktif dalam program pengantarabangsaan melibatkan delegasi dari negara lain ke Malaysia.

Laetitia Anwen Ng meluahkan rasa gembiranya kerana dapat mengambil bahagian dalam program ini yang memberi motivasi kepadanya untuk terus membantu komuniti melalui penglibatan sivik dan aktiviti kesukarelawanan. Dia juga merancang untuk melancarkan perusahaan sosialnya sendiri yang membolehkan dia menggunakan kemahirannya sebagai seorang pakar kecantikan.
Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan terima kasih kepada Laetitia dan guru yang terlibat, Sydney, atas usaha mereka yang memberi impak besar sehingga melayakkan mereka menghadiri konvensyen ini dengan tajaan penuh pihak penganjur. Pengalaman ini telah memperkayakan lagi kemahiran mereka dalam menggabungkan elemen keusahawanan dan pembangunan lestari ke dalam inisiatif mereka.

