Angela Rusli harumkan nama KV Keningau di pertandingan esei Hong Kong
Pelajar Sabah Juara Keseluruhan Penulisan Esei Belia Antarabangsa. Angela Rusli, pelajar tahun akhir Bakeri dan Pastri Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, telah dianugerahkan sebagai juara keseluruhan dan pingat emas dalam kategori penulisan esei Bahasa Inggeris untuk peringkat sekolah menengah pertandingan International Children and Youth Essay Writing Challenge anjuran Asia Pacific Children and Youth Talent Association yang berpusat di Hong Kong.
Keputusan pertandingan tersebut diumumkan pada 22 Oktober 2024 melalui laman sesawang dan hantaran email penganjur. Angela menulis esei bertajuk “Falling Short Today To Rise Higher For Better Tomorrow” berdasarkan salah satu daripada tiga tema pertandingan bagi kategori Bahasa Inggeris iaitu memberi ucapan kepada pasukan sukan yang tewas dalam perlawanan peringkat akhir.

Angela menekankan dalam esei ucapan dia bahawa semangat berpasukan dan komitmen skuad tersebut sepanjang latihan sehinggalah perlawanan peringkat akhir merupakan satu pencapaian yang wajar dihargai dan diraikan.
Dia juga menjelaskan satu kekalahan tidak harus dianggap sebagai kegagalan bagi skuad tersebut malah ianya merupakan pembakar semangat bagi mereka untuk meneruskan perjuangan mereka dalam perlawanan sukan berpasukan. Sebagai salah seorang pemain utama pasukan bola jaring kolej itu yang telah bertanding di pelbagai kejohanan, Angela mendapatkan ilham menulis esei tersebut daripada pengalaman bermain bersama dengan ahli sepasukannya.
Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada pelajar ini kerana pencapaian ini yang menunjukkan bahawa pelajar-pelajar vokasional mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang penulisan esei dengan menggunakan Bahasa Inggeris dimana kedua-dua kemahiran iaitu kemahiran bahasa dan kemahiran menulis adalah kemahiran yang sangat penting untuk dikuasai oleh pelajar-pelajar kolej vokasional.

