Pemilik Rumah Buat Laporan Polis Selepas Penyewa Ditangkap Perlombongan Bitcoin
Pemilik Terkejut Rumah Di Miri Dijadikan Pusat Perlombongan Bitcoin. Baru-baru ini, satu video tular di TikTok menunjukkan seorang pemilik rumah di Miri, Sarawak terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka apabila penyewa rumah mereka ditangkap oleh Sarawak Energy (SEB) kerana menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram.
Dalam video tersebut, pemilik rumah berkongsi pengalaman pahit mereka apabila penyewa terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang, mengakibatkan siasatan oleh pihak berkuasa tempatan.

Laporan Polis dan Siasatan SEB
Susulan dari video tular tersebut, pemilik rumah yang sama memuat naik video sambungan di TikTok, memaklumkan bahawa mereka telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut. Sarawak Energy, bersama-sama pemilik rumah dan ejen hartanah, telah dipanggil untuk sesi temubual bagi siasatan lanjut.
Antara dokumen yang diperlukan untuk siasatan termasuklah tarikh tandatangan perjanjian penyewaan dan tarikh dokumen tersebut dimeterai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Selain itu, foto bacaan meter elektrik sebelum penyewa berpindah masuk juga diminta oleh Sarawak Energy. Pihak berkuasa juga menasihatkan pemilik rumah untuk menghubungi penyewa tersebut, namun usaha itu gagal kerana panggilan tidak dijawab.
Setakat 3 Oktober 2024, kes ini masih dalam siasatan oleh pihak SEB dan polis. Pemilik rumah menegaskan pentingnya melantik ejen hartanah yang bertauliah dan berlesen untuk menguruskan hartanah, kerana ini membolehkan mereka mempunyai rekod yang lengkap dan sah jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

