Kerajaan Sarawak Pertimbang Perluas Pendidikan Percuma untuk Pelajar IPTA
Pendidikan Percuma IPTA Di Sarawak Bakal Diperluas Kepada Pelajar UiTM. Langkah progresif Kerajaan Sarawak dalam menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya bakal diperluaskan lagi kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), khususnya melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak.
Menurut Rektor UiTM Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah, cadangan ini telah disambut positif oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa kunjungan hormat yang berlangsung baru-baru ini.

Kampus UiTM Mukah Bakal Jadi Hab Penyelidikan Padi di Sarawak
“Kita mencadangkan agar biasiswa atau pendidikan percuma ini turut meliputi pelajar institusi awam, terutama sekali UiTM Cawangan Sarawak, dan cadangan ini mendapat persetujuan secara prinsip oleh Premier Sarawak sebagai kesinambungan kepada usaha sedia ada,” katanya.
Cadangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan bakat tempatan di negeri tersebut.
Selain pendidikan percuma, Premier Sarawak turut mencadangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan UiTM bagi memperkasakan sektor pertanian di negeri ini. UiTM Sarawak, khususnya kampus Mukah, dicadangkan sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang penanaman padi, dengan tumpuan kepada inovasi benih padi, peningkatan produktiviti, serta hasil tuaian yang lebih baik.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Firdaus turut memaklumkan bahawa pihak universiti telah mencadangkan penubuhan Kursi Tun Openg History and Heritage bagi menggalakkan kajian mendalam tentang perkembangan Islam serta sejarah kebudayaan di Sarawak.
Usaha ini dijangka membawa impak positif bukan sahaja kepada pembangunan akademik tetapi turut memperkaya nilai sejarah dan budaya negeri Sarawak.

