Spesies tumbuhan periuk kera gergasi yang baru ditemui di Sabah dinamakan sempena nama orang utan
Penemuan Periuk Kera Rare Dinamakan Sempena Orang Utan Di Sabah. Baru-baru ini, penyelidik dari Sabah Forestry Department’s Forest Research Centre (FRC) bersama rakan-rakan dari Australia telah menemui satu spesies baharu pokok periuk kera gergasi di kawasan pergunungan ultramafik di tengah Sabah. Nama spesies baharu ini? Nepenthes pongoides – dan ia dinamakan bersempena dengan orang utan.
Kenapa? Sebab tumbuhan ini menyerupai bulu tebal dan kemerahan si “abang-abang” besar di hutan, iaitu orang utan (Pongo).

Hasil Kolaborasi Hebat Malaysia-Australia
Penyelidikan ini diketuai oleh Alviana Damit dari FRC dan Dr. Alastair Robinson dari Royal Botanic Gardens Victoria, Melbourne. Dengan permit yang sah, pasukan ini merentas kawasan akses terhad di Sabah untuk mendokumentasikan tumbuhan luar biasa ini.
Menurut Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, penemuan ini akan memberi impak positif kepada usaha pemeliharaan biodiversiti di Sabah.
Tapi yang menariknya, pokok ini bukanlah baru ditemui semalam. Sebenarnya, ia sudah pernah difoto semasa ekspedisi pada tahun 2004, tapi masa tu ia ‘terlepas pandang’ sebab gambar yang ada agak terhad. Hanya pada tahun 2018, foto baharu yang lebih jelas memberi petanda kepada ahli botani bahawa ini adalah spesies yang belum dikenali.
“Ia pengalaman yang luar biasa dapat jadi yang pertama mengkaji tumbuhan ini,” kata Alviana, menurut laporan media tempatan.
Beliau yang sudah bertahun-tahun mengkaji Nepenthes di Sabah, turut gembira dapat bekerjasama dengan Dr. Alastair. Menurutnya, kolaborasi seperti ini penting untuk memastikan Malaysia sendiri menjadi pakar dalam tumbuhan tempatan.
Tumbuhan Periuk Kera Yang Rare Dan Unik
Apa yang membezakan Nepenthes pongoides daripada pokok periuk kera lain? Nah, saiznya yang besar, daunnya yang unik, serta lapisan bulu merah panjang yang menutupi pokok ini. Lagi syok, pasukan penyelidik turut menemui “barang bukti” dalam periuk kera tersebut – dari kumbang, lipan, sehinggalah ketam air tawar! Legend betul.

Penemuan ini berlaku pada hari ketiga ekspedisi mereka pada tahun 2023. Dengan hanya 39 individu matang ditemui di dua populasi kecil, tumbuhan ini telah diklasifikasikan sebagai Kritis Terancam (Critically Endangered) oleh IUCN Red List.
“Menggunakan nama orang utan yang juga spesies terancam, ada simbolisme yang kuat di situ – satu peringatan tentang betapa pentingnya usaha pemeliharaan,” kata salah seorang ahli pasukan.
Ancaman Kepada Periuk Kera
Malangnya, ancaman utama kepada spesies Nepenthes ialah pengumpulan haram disebabkan nilainya yang tinggi sebagai tanaman hiasan. Bahkan, dua spesies Nepenthes sudah pun pupus di habitat liar kerana aktiviti ini.
Jadi, penemuan Nepenthes pongoides adalah satu amaran penting – kita perlu lindungi tumbuhan ini sebelum ia menjadi sejarah.
Ke Hebatannya?
Penemuan ini diterbitkan dalam jurnal botani berprestij, Australian Journal of Botany, dengan tajuk: Sabah’s hidden giant: Nepenthes pongoides, a micro-endemic tropical pitcher plant from northern Borneo.
Ekspedisi ini dibiayai oleh geran dari International Carnivorous Plant Society Inc (USA) dan National Conservation Trust Fund (NCTF) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia (NRES).
Jom Hargai Khazanah Kita
Penemuan seperti ini membuktikan Sabah dan Malaysia masih lagi kaya dengan khazanah alam yang menakjubkan. Tapi kalau kita tak jaga dengan baik, sayanglah kalau spesies unik macam Nepenthes pongoides ini hilang.
Jadi, lain kali kalau masuk hutan Sabah, pandang-pandanglah! Mana tahu anda bertemu ‘abang besar’ periuk kera ini. Tapi ingat, jangan kacau atau kutip ya – biarkan ia kekal di habitat semula jadi. Sayangi hutan, sayangi warisan kita!

