Penerbangan sulung ini untuk meraikan Tahun Baru Cina tahun ini
AirAsia Kini Tawar Penerbangan Pertama ‘Direct’ Dari Kota Kinabalu Ke Shanghai. Dilaporkan bahawa, sempena Tahun Baharu Cina yang bertuah, AirAsia kali ini ingin meraikan penerbangan sulungnya dari Kota Kinabalu ke Shanghai dengan 100 peratus muatan penumpang, sekaligus mencatat kejayaan pertama pada Tahun Naga ini.
Penerbangan sulung AK1516 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 9:30 malam pada 20 Februari 2024 dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai pada jam 2:00 pagi (waktu tempatan) pada 21 Februari 2024.
AK1517 dari Shanghai ke Kota Kinabalu
Dalam masa yang sama, pihak AirAsia juga mengalu-alukan penerbangan sulung AK1517 dari Shanghai ke Kota Kinabalu dengan muatan lebih daripada 90 peratus. Penerbangan tersebut disambut dengan meriah oleh Julinus Jeffrey Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) semasa ketibaan.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Christina Liew, beliau berbesar hati untuk menyambut penerbangan pertama AirAsia dari Shanghai hari ini. Ini adalah laluan antarabangsa ke-11 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan ini ke Sabah dengan tiga penerbangan mingguan. Beliau juga amat menghargai usaha AirAsia untuk terus meningkatkan peluang pelancongan di negeri ini, terutamanya dari pasaran China yang semakin berkembang.
Penerbangan jumlah laluan tertinggi ke dan dari Sabah
Sebagai syarikat penerbangan dengan jumlah laluan tertinggi ke dan dari Sabah, AirAsia memainkan peranan penting dalam menyediakan perjalanan dengan tambang berpatutan kepada semua dan terus menyumbang kepada ekonomi negeri termasuk peluang pekerjaan.
Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1,119 peratus kemasukan pelancong dari China antara tahun 2022 dan 2023. Kami berbangga dengan komitmen berterusan AirAsia yang terus melancarkan laluan baharu dan mengembangkan perkhidmatan mereka, seterusnya membuka peluang kepada peningkatan industri pelancongan dan ekonomi antara Malaysia dan China. Ini adalah permulaan yang hebat sempena sambutan Tahun Naga pada tahun ini,”ujar beliau lagi
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam juga berkata bahawa beliau juga berbesar hati untuk meraikan pelancaran laluan baharu ini yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Shanghai. Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, beliau yakin akan potensi laluan ini.
Sempena sambutan Tahun Baru Cina
Pelancaran ini juga dilancarkan pada masa yang tepat sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Festival Musim Bunga selain inisiatif kemasukan tanpa visa antara kedua-dua negara. Perkhidmatan AirAsia ke China terus berkembang seiring dengan permintaan kukuh. Laluan baharu ini juga penting bagi menyokong inisiatif kerajaan Malaysia yang mensasarkan lima juta pelancong dari China pada tahun ini.
Kami yakin laluan baharu ini akan terus mendapat permintaan dan berbangga dengan muatan penuh pada penerbangan sulung yang membuktikan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan baharu ini. Kami berharap untuk terus menawarkan perjalanan dengan tambang berpatutan antara dua destinasi popular ini pada masa akan datang,” jelas beliau lagi
Dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK), Shanghai merupakan destinasi keenam di Tanah Besar China yang boleh diakses dari Kota Kinabalu selain Hangzhou, Guangzhou, Shenzhen, Beijing dan Wuhan.