Kenapa tak pernah tahu manisan ini wujud selama ni?
Pengasas Lokal Malaysia Terkejut Dengan Keenakan Manisan Tradisional Sarawak Ini. Populariti makanan Sarawak yang semakin meningkat di Semenanjung Malaysia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Selain Kek Butter Mita yang baru-baru ini menjadi status cenderahati ‘wajib’ dari Sarawak, kini mungkin anda juga akan tercari-cari manisan tradisional ini pula.
Baru-baru ini, satu perkongsian di media sosial telah menarik perhatian ramai apabila pengasas sebuah perusahaan penjagaan wajah Malaysia memuji keenakan manisan tradisional dari Sarawak yang dikenali sebagai Alus Manis atau Gula Mitai.

Video yang dimuat naik di platform TikTok itu menunjukkan pasangan suami isteri tersebut yang kagum dengan keunikan rasa kuih tersebut. Dalam video berkenaan, mereka menyuarakan rasa terkejut kerana tidak mengetahui kewujudan kuih ini lebih awal.
“Kenapa kita tak tahu kuih ni awal-awal, kalau tahu dah beli banyak dah,” ujar mereka dalam hantaran tersebut.
Kelembutan Alus Manis curi perhatian, cair dalam mulut, sedap tak terkata
Pasangan tersebut juga turut memuji tekstur manisan tradisional Sarawak itu, dengan menyatakan bahawa manisan tersebut “cair dalam mulut” dan menganggapnya sebagai manisan tersedap, yang belum pernah mereka jumpa seumpamanya di Kuala Lumpur.
Dalam hantaran yang sama, mereka turut mempersoalkan mengapa manisan tradisional ini tidak popular dan dieksport ke Kuala Lumpur, memandangkan potensinya untuk menjadi rebutan di pasaran ibu kota adalah tinggi. Perkongsian ini secara tidak langsung telah memperkenalkan warisan kulinari Sarawak kepada penduduk di Semenanjung Malaysia.
Alus Manis, manisan tradisional Sarawak yang semakin dilupakan
Manisan tradisional ini memukau dengan kelembutan teksturnya yang gebu. Setiap gigitan memberikan pengalaman yang istimewa apabila manisan ini mula cair dalam mulut secara perlahan-lahan, meninggalkan rasa lemak yang seimbang. Keunikannya bertambah dengan kehadiran inti di bahagian tengah yang memberikan kejutan dan kelainan pada setiap gigitan.
Kesempurnaan gabungan antara tekstur yang gebu, rasa yang lemak dan kehadiran inti yang istimewa menjadikan Alus Manis satu warisan masakan Sarawak yang patut dibanggakan dan dipelihara.
Penemuan ini menunjukkan betapa kayanya khazanah makanan tradisional Malaysia, khususnya dari Sarawak, yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh masyarakat di kawasan lain. Bagi pembuatan Alus Manis, anda boleh pergi ke laman sesawang Facebook.

