Peti perlindungan bayi di Borneo Medical Centre Kuching
Tangani Masalah Kes Pembuangan Bayi, BMC Sediakan Peti Perlindungan Bayi Di Kuching. Baru-baru ini, gempar sebuah berita yang cukup menyayat hati di mana seorang bayi perempuan baru lahir cukup sifat yang masih lagi bertali pusat ditemui di kawasan semak dekat sebuah kawasan perumahan di Bandar Baru Samariang, Kuching.
Oleh hal demikian, seorang remaja wanita berusia 14 tahun telah diberkas polis serta kekasihnya yang berusia 18 tahun untuk membantu siasatan dalam kes pembuangan bayi berkenaan.
Berasa terkesan dengan kes yang cukup menyayat hati tersebut, Borneo Medical Centre (BMC) di Kuching telah mengeluarkan satu kenyataan di mana mereka ada menyediakan peti perlindungan bayi di hospital mereka.
Dalam kenyataan tersebut, BMC berkata bahawa pihak mereka mengambil serius mengenai isu kes sebegini bagi mengelak masalah pembuangan serta pengabaian bayi secara berleluasa.
Peti perlindungan bayi atau lebih dikenali sebagai ‘Baby Hatch’ ini ini merupakan satu inisiatif bagi menyelamatkan nyawa tidak berdosa ini di mana ibu bapa bayi boleh meletakkan bayi di peti selamat yang terletak di penjuru luar bilik kecemasan yang tersembunyi tanpa pengawasan CCTV.
Ibu bapa bayi boleh meletakkan bayi mereka di dalam peti perlindungan tersebut tanpa diketahui identitinya bagi menyelamatkan kedua-dua pihak.
Bayi yang telah diletakkan di dalam peti perlindungan berkenaan kemudiannya akan mendapat penjagaan, rawatan serta perhatian perubatan yang rapi dari pihak yang sewajarnya.