Kembara Ais Krim Bajet, Menjelajahi Pelbagai Rasa Ais Krim di Kuching, Sarawak
Ini Port Ais Krim Bajet Anda Boleh Cuba Di Kuching. Kuching, Sarawak bukan sahaja dikenali kerana kecantikannya, tetapi juga sebagai tempat yang menawarkan pelbagai makanan enak, termasuk ais krim. Bagi pencinta ais krim yang ingin mencuba pelbagai rasa yang unik tanpa perlu ‘membebankan’ bajet anda, Kuching adalah destinasi yang sempurna.
Cuaca Kuching kadang-kadang random. Apabila hujan, ia benar-benar hujan. Tetapi apabila Kuching dilanda cuaca panas, ia betul-betul panas! Selain ais krim typical seperti Baskin Robbins, kita ada juga gerai-gerai ais krim tempatan yang kita kunjung ketika cuaca panas. Bukan sahaja dijual dengan harga yang murah (tak sampai RM5, kebiasaannya), ais krim buatan lokal ini sedap juga dengan adanya pelbagai perisa ditawarkan.
Dalam artikel ini, kami akan mengkaji beberapa tempat di Kuching yang menawarkan ais krim bajet berkualiti tinggi yang patut dicuba. Oleh itu, jika anda seorang pelancong atau penduduk tempatan yang ingin menjelajahi ais krim sedap dengan bajet yang terhad, mari kita lihat beberapa pilihan menarik.
1. Sunny Hill Ice Cream

Antara ais krim bajet terkenal di Kuching, premis ini dibina pada tahun 1963 dan telah menjadi salah satu ais krim paling legend di Kuching!
Yang membuatkan kedai ais krim ini unik adalah mereka akan menghidangkan dua jenis perisa setiap hari. Perisa-perisa ini terdiri daripada Vanilla, Coklat, Jagung dan Strawberi dan akan berputar sepanjang minggu. Selain ais krim klasik seperti ais krim kon, anda boleh menikmati banana split ais krim dan bagi mereka yang mahu makan di rumah, anda boleh tapau satu tab ais krim besar untuk dinikmati di rumah dengan seisi keluarga!

Maklumat lain
Lokasi: Jln Bukit Cahaya, Sunny Hill Garden, 93250 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 8am-9pm (kecuali Sabtu tutup)
Nombor telefon: 082-412 475
2. R.G. Ais Krim Gula Apong, Open Air Market

Juga salah satu port ais krim terkenal di Kuching, anda tidak akan terlepas pandang kedai ini ketika di Open Air Market. Ini kerana kedai ini selalunya ada satu barisan panjang menunggu giliran untuk menempah ais krim mereka terutamanya pada waktu malam. Ada juga orang sanggup datang lepas tengah malam untuk elak menunggu dalam barisan lama-lama kerana ia dikatakan orang akan perlu menunggu selama satu jam untuk giliran mereka.
Terkenal dengan penggunaan sirap gula apong sebagai topping ais krim, anda juga boleh pilih untuk meletak topping tambahan seperti kacang, cornflake, atau biskut. Disebalik muenggunakan kon, mereka menggunakan cawan dan roti untuk ais krim mereka. Sekiranya anda ada sweet tooth (penggemar makanan manis), ais krim ini memang cun untuk anda!

Maklumat lain
Lokasi: No.11 Tower 93000, Wet Market & Hawker Centre, 93100 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 2pm-5am (kecuali Ahad 2pm-12am)
Nombor telefon: 016-891 0001
3. Frosty Boy Ice Cream, Jolly Good Food Corner MJC

Walaupun ais krim ini tidak seterkenal seperti port ais krim yang disenaraikan di atas, ais krim ini telah beroperasi beberapa tahun semenjak awal 2000-an dan menjadi kunjungan warga-warga sekitar MJC. Ia terletak di dalam sebuah kedai makan dan beroperasi sebagai salah satu gerai di sana.

Ais krim ini hanya menawarkan ais krim vanilla namun yang membuatkan ais krim ini serba boleh adalah penggunaan topping yang pelbagai jenis. Selain sirap coklat, mereka juga menggunakan topping seperti cornflake, sprinkles, oreo dan sebagainya. Gerai ini juga menawarkan ais skrim dengan harga yang berpatutan!
Maklumat penting
Lokasi: BF 101, Jalan Batu Kawa, Batu Kawah Newtownship, 93250 Kuching, Sarawak
Waktu operasi: 6:30am-11pm (kecuali Selasa tutup)
Nombor telefon: 082-457 864
Kuching, dengan pelbagai pilihan ais krim bajet yang best, adalah syurga bagi pencinta ais krim. Dari kedai ais krim tempatan hingga gerai makanan jalanan, terdapat banyak tempat di bandar ini yang menawarkan ais krim yang sedap tanpa perlu ‘membebankan’ bajet anda. Jadi, apabila anda berada di Kuching, jangan lepaskan peluang untuk mencuba pelbagai rasa ais krim yang unik dan memuaskan di pelbagai tempat yang disebutkan dalam artikel ini. Mari nikmati ais krim bajet anda dan terokailah nikmat makanan di bandar yang menakjubkan ini!