Popia sira yang sedap adalah popia sira yang rangup!
Ini Resepi Mudah Buat Popia Sira Goreng Yang Rangup Dan Lazat. Popia adalah salah satu jenis hidangan sangat versatil kerana ia boleh diolah menjadi pelbagai jenis hidangan minum petang yang sedap dan lazat. Contohnya seperti samosa, jajan mahupun popia goreng dengan pelbagai jenis inti yang menyelerakan.
Untuk artikel kali ini, kami akan kongsikan kepada anda resepi mudah untuk membuat popia sira goreng yang pasti sedap sehingga menjilat jari. Jom!
Bahan-bahan
A) Bahan untuk sira
- 2 sudu minyak masak
- 1 ulas bawang putih (dicincang halus)
- 1/2 inci halia (dicincang halus)
- 2 sudu cili kisar
- Setengah botol sos cili
- 1/2 senduk gula
- Sedikit perasa ajinomoto
B) Bahan untuk popia
- 1/2 biji sengkuang
- 1 batang lobak merah
- 2 genggam tauge
- Kulit popia bersaiz besar
- 1 biji telur
Cara-cara membuatnya
1. Buat sira terlebih dahulu. Panaskan minyak di dalam periuk atau kuali kecil, kemudian tumiskan bawang putih, dan halia sehingga nampak keperang-perangan. Kemudian, masukkan cili kisar sehingga naik bau dan betul-betul masak.
2. Setelah itu, masukkan sos cili dan gaul sebati. Masukkan gula dan gaul sehingga sira nampak berkilat dan ringan. Tambah sedikit perasa. Tutup api dan biarkan sejuk.
3. Untuk popia pula, cincang halus sengkuang dan lobak merah. Buangkan ekor tauge jika perlu. Kemudian celurkan satu persatu bahan ini ke dalam air panas yang dibubuh sedikit cuka bagi mengelakkan inti layu selepas dicelur.
4. Kemudian, ambil sekeping kulit popia dan lipat penjuru hujung. Letakkan inti mengikut citarasa anda dan gulungkan. Jangan lupa untuk lipatkan penjuru sebelah kanan dan kiri dan gulungkan habis. Lekatkan hujung gulungan dengan menggunakan telur yang telah dikacau.
5. Dalam kuali dengan minyak yang panas, goreng popia sehingga nampak keemasan. Angkat dan sejukkan seketika.
6. Setelah sira dan popia sejuk, barulah anda boleh menyalutkan popia ke dalam sira dan taburkan serbuk kacang atau bijan sebagai hiasan.
Siap untuk dihidang dan dimakan!
Mudah sahaja, kan? Anda pun boleh buat sendiri di rumah. Kalau anda mengidam, jangan lupa untuk simpan resepi ini dan kongsikan kepada rakan-rakan anda juga! Video resepi boleh anda layari di Youtube kami : https://www.youtube.com/c/iloveborneo
Selamat mencuba!