Kerajaan Sarawak rancang bina 20,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13
Berita Baik, Kerajaan Sarawak Rancang Bina 20,000 Unit Rumah Mampu Milik. Dilaporkan bahawa kerajaan negeri telah merancang untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP) dari 2026 hingga 2030 di mana ia merupakan satu lonjakan besar berbanding kurang daripada 2,000 unit yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (12MP).
Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian, menjelaskan bahawa rancangan ini dibuat berdasarkan senarai menunggu sebanyak 15,000 pemohon yang masih mencari rumah mampu milik di negeri ini.

Berdasarkan kajian pakar
Dr Sim menegaskan bahawa ini bukan janji politik, sebaliknya cadangan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak dan pakar kewangan yang menilai keperluan serta kemampuan kewangan negeri.
“Dulu, hanya 2,000 rumah dibina dalam lima tahun sebab tak cukup duit. Sekarang, dalam 13MP, mereka cadangkan 20,000 unit sebab dana dah ada dan keperluan pun jelas,” katanya ketika berucap dalam Majlis Malam Media Tahun Baru Cina 2025 anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di Theatre Hotel malam tadi.

Masih menunggu kelulusan
Menurut Dr Sim, rancangan ini masih perlu melalui kelulusan kabinet Sarawak, tetapi jika diluluskan, ia akan memberi impak besar kepada permintaan rumah mampu milik di negeri ini.
“Selagi kerajaan terus mentadbir dengan baik, kebajikan rakyat Sarawak akan terus terjaga,” tambahnya.
Kalau sebelum ni ramai yang mengeluh tentang harga rumah yang melambung tinggi, adakah ini permulaan yang dinantikan oleh rakyat Sarawak? Sama-sama kita nantikan perkembangannya!

