Apa itu Awal Muharram?
Sejarah Di Sebalik Awal Muharram, Bermulanya Tahun Baru Dalam Kalendar Islam. Bagi umat Islam, peristiwa penting yang menandakan permulaan tahun baharu disebut sebagai Awal Muharram atau Maal Hijrah. Kalendar Islam disebut sebagai kalendar Hijrah bersempena peristiwa hijrah atau perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tanggal 12 Rabiul Awal.
Hijrah tersebut berlaku sekitar tahun 622 Masihi dan telah dikira sebagai tahun pertama dalam kalendar Hijrah. Pada tanggal 10 Ogos 2021, kalendar ini telah masuk tahun baharu 1443 Hijrah, menandakan 1443 tahun selepas peristiwa Hijrah Nabi Muhammad.
Hari pertama dalam kalendar Hijrah pula adalah berdasarkan hari penghijrahan Nabi Muhammad SAW, namun berbeza dengan kalendar Masihi, ia bermula pada hari kelahiran Nabi Isa AS. Kalendar Hijrah telah diisytiharkan secara rasmi semasa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab dan mempunyai sekitar 354 sehingga 355 hari dalam setahun. Khalifah Umar telah memilih tarikh 1 Muharram sebagai awal tahun kalendar Hijrah.

Walaupun mempunyai bilangan bulan yang sama dengan kalendar Masihi, namun penentuan awal tahunnya adalah berdasarkan pergerakan bulan.
Penentuan hari dalam kalendar Hijrah adalah berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi manakala penentuan dalam kalendar Masihi atau dalam bahasa Inggerisnya, kalendar Gregory, adalah berdasarkan pergerakan sistem suria dan menandakan permulaan bagi setiap musim seperti musim luruh, bunga, panas dan sejuk.
Kisah hijrah Nabi Muhammad yang menjadi tunjang utama kalendar Hijrah
Seperti yang ramai sedia maklum, di awal kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah, beliau menghadapi pelbagai rintangan dan tentangan untuk mengembangkan dakwah Islamnya di Kota Mekah iaitu kota di mana baginda tinggal.
Keputusan untuk melakukan hijrah ini adalah berdasarkan suruhan Allah yang menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad agar umat Islam berpindah ke Madinah (dahulu dgelar Yathrib) untuk mengembangkan dakwah di sana terlebih dahulu berbanding di Mekah. Hal ini kerana Nabi Muhammad SAW serta umat Islam menerima tentangan yang begitu hebat di Mekah sehingga mampu mengancam nyawa mereka. Malah, telah berlaku kekejaman dan penganiayaan yang melampau ke atas mereka.

Kemuncak penentangan adalah pada malam Hijrah di mana rumah Nabi Muhammad telah dikepung oleh 11 pahlawan Bani Quraisy (bangsa keturunan Arab) yang gagah perkasa dan berniat hendak membunuh baginda. Namun demikian, atas mukjizat (kekuasaan yang dikurniakan Allah kepada nabi yang dikehendakiNya), mata pahlawan tersebut tiba-tiba gelap dan diserang mengantuk yang teramat sehingga pedang di tangan mereka jatuh. Malah, sewaktu Rasulullah ditemani Saidina Abu Bakar As-Siddiq melarikan diri dari rumah itu, tiada siapa di antara pahlwan itu yang nampak dengan mata kasar.
Hampir ditangkap namun mata musuh dikaburi oleh keajaiban dari Allah SWT
Dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah dan Saidina Abu Bakar sempat bersembunyi di dalam Gua Thur selama 3 hari 3 malam. Hal ini bagi memastikan baginda terselamat daripada dibunuh di Madinah memandangkan Bani Quraisy mengetahui bahawa Rasulullah akan ke kota itu.
Para pemuda Bani Quraisy telah ditawarkan hadiah sebanyak 100 ekor unta jika berjaya menjumpai Rasulullah. Ketika mereka berada berhampiran Gua Thur, mereka mendengar bunyi cicak dari dalam gua. Pemuda itu mengesyaki bahawa terdapat manusia di situ. Namun, persembunyian Rasulullah dan Abu Bakar itu dikaburi oleh Allah SWT dengan kehadiran sepasang burung merpati serta telur dalam sarang di hadapan gua. Bukan itu sahaja, pintu gua itu juga diselaputi dengan sarang labah-labah.

Jika ikut logik akal, sarang labah-labah itu akan rosak jika ada manusia yang cuba memasukinya. Pemuda tersebut beranggapan bahawa Nabi Muhammad tidak berada di situ melihatkan keadaan sarang labah-labah itu yang seperti sudah lama dan diibaratkan seperti sarang yang wujud sebelum kelahiran baginda lagi. Lalu mereka pun beredar dari situ.
Mukjizat Nabi Muhammad selamatkan nyawa sahabatnya
Sewaktu Nabi Muhammad tidur di pangkuan Saidina Abu Bakar pada malam berikutnya, pergelangan kaki Saidina Abu Bakar telah dipatuk ular namun beliau hanya mendiamkan diri dan tidak berganjak sedikitpun kerana takut Rasulullah terjaga dan mengganggu tidurnya. Namun, air mata tidak dapat ditahan dari mata Abu Bakar dek kerana bisa ular yang sangat menyakitkan itu sehingga air matanya jatuh terkena pipi Rasulullah. Rasulullah terjaga. Setelah mengetahui sahabatnya itu dipatuk ular, Nabi Muhammad yang mempunyai mukjizat yang luar biasa daripada Allah SWT segera mengusapkan air liurnya pada patukan itu dan serta merta sakit patukan itu hilang.
Setelah dipastikan selamat, Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar telah keluar dari gua itu dan meneruskan perjalanan hijrah ke Madinah. Kira-kira 10 km sebelum sampai ke Madinah, baginda serta rakan-rakannya sempat singgah di sebuah perkampungan di namakan Quba’. Di situlah, baginda dan para sahabat mendirikan sebuah binaan batu bata untuk mereka beristirehat dan menunaikan solat. Malah, batu kiblat pertama juga diletakkan di binaan tersebut yang kemudiannya menjadi masjid pertama umat Islam.
Masjid Quba’ ini masih kukuh berdiri sehingga ke hari ini di Madinah. Tempat tersebut juga masih dinamakan sebagai Quba’.

Ketibaan Nabi Muhammad SAW di Kota Madinah disambut dengan penuh rasa gembira dan terbuka oleh masyarakat di situ. Bahkan, perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah adalah mendirikan solat Jumaat yang pertama dalam sejarah serta memberikan khutbah Jumaat yang pertama. Setelah itu, peristiwa Hijrah ini telah membuka lembaran baru dalam perkembangan ajaran Islam.

Hijrah ke Madinah menghapuskan semangat assabiah
Selepas Hijrah, Rasulullah telah berjaya menyatu padukan golongan Muhajirin (rakyat Mekah yang bersama dalam penghijrahan ke Madinah tanpa tempat tinggal dan harta) serta golongan Ansar (penduduk asal Kota Madinah) dengan memupuk hubungan persahabatan yang erat sesama mereka. Hal ini sekaligus dapat menghapuskan semangat assabiah atau berpuak-puak yang sangat menebal di Arab pada ketika itu.
Bukan itu sahaja, Nabi Muhammad juga telah membina masjid sebagai tempat penyatuan rakyat serta mewujudkan Piagam Madinah bagi memberikan kesaksamaan kepada rakyat Islam Madinah dan juga yang bukan beragama Islam (masyarakat Yahudi). Intipati terpenting dalam Piagam bagi menjamin kesejahteraan kota itu adalah rakyat bukan Islam bebas untuk menganut agama masing-masing selagi tidak menjejaskan kepentingan umum. Malah, semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama diberi perlindungan yang adil dan saksama.

Mengapa Kalendar Hijrah mula dibuat?
Namun, kalendar Hijrah ini bukanlah terus digunakan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ia mula digubal secara rasmi pada zaman pemerintahan khalifah kedua, Khalifah Umar Bin Al-Khattab iaitu kira-kira 17 tahun selepas peristiwa Hijrah. Penggunaan kalendar Hijrah ini adalah bagi menyelesaikan beberapa masalah yang timbul sewaktu pemerintahan sahabat baginda.

Menurut riwayat, Gabenor di Basrah, Iraq iaitu Saidina Abu Musa al-Ash’ari telah mengirimkan surat kepada Khalifah Umar dan mengadu bahawa surat yang dikirim oleh khalifah tidak mempunyai tarikh yang spesifik. Jadi, perkara ini menimbulkan kesukaran kepada penguasa untuk melaksanakan arahan khalifah.
Terdapat satu lagi pendapat mengatakan bahawa pada suatu hari, Saidina Umar telah menerima dokumen kewangan (sokkun) dan hanya tertulis bulan Syaaban. Namun, sahabat tidak dapat memastikan sama ada Syaaban tersebut di tahun semasa atau tahun sebelumnya. Maka, Saidina Umar berpendapat bahawa kalendar Hijrah perlu dibuat untuk memudahkan urusan pentadbiran dan juga aktiviti harian rakyat.
Saidina Umar juga dikatakan pernah diberitahu oleh seorang lelaki Yaman tentang amalan orang Yaman yang menggunakan kalendar khusus. Sahabat merasakan amalan tersebut adalah sesuatu yang boleh memudah dan menambahkan kecekapan kehidupan manusia. Maka, kalendar Hijrah dirasakannya perlu dibuat secara rasmi.
Kalendar Hijrah simbolik perubahan ke arah kebaikan, permulaan dan azam baharu
Begitulah sejarah di sebalik Awal Muharram atau Maal Hijrah yang menandakan permulaan baharu buat umat Islam. Hijrah ini juga membawa simbolik berubah ke arah kebaikan. Pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalendar ini adalah berdasarkan waktu di mana umat Islam baru sahaja selesai mengerjakan ibadah haji. Kepulangan dari mengerjakan Rukun Islam terakhir itu ibarat sebuah permulaan kepada hijrah baru umat Islam.
Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa pemilihan bulan Muharram ini adalah berdasarkan peristiwa Perjanjian Aqabah yang berlaku pada bulan sebelumnya iaitu bulan Zulhijjah. Perjanjian Aqabah adalah suatu perjanjian berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh tekad dan keazaman. Oleh sebab itu, bulan seterusnya iaitu bulan Muharram merupakan permulaan baru untuk melaksanakan hijrah ke arah tekad baru.

Maka, bersempena peristiwa ini, kalendar bulan Islam diberi nama kalendar Hijrah dan diguna pakai sehingga ke hari ini bagi menentukan hari dan sambutan penting masyarakat Islam.
12 bulan dalam kalendar Hijrah adalah seperti berikut;
- Muharram
- Safar
- Rabiul Awal
- Rabiul Akhir
- Jamadil Awal
- Jamadil Akhir
- Rejab
- Syaaban
- Ramadan
- Syawal
- Zulkaedah
- Zulhijjah
Selamat menyambut tahun baru Awal Muharram. Semoga kehidupan kita akan menjadi lebih berkat dan baik daripada sebelum ini.