Kisah Dato’ Permaisuri yang ramai orang tidak tahu.
Siapakah Sebenarnya Dato Permaisuri, Nama Legenda Yang Sinonim Dengan Bandaraya Miri. Penduduk Miri di Sarawak tentunya sinonim dengan nama Dato’ Permaisuri. Mana tidaknya, kebanyakan tempat pasti dinamakan dengan nama Dato’ Permaisuri. Contohnya seperti SMK Dato’ Permaisuri dan nama jalan iaitu Jalan Dato’ Permaisuri.
Tapi, pernahkah anda terfikir siapakah sebenarnya gerangan Dato’ Permaisuri ini? Mengapa beliau begitu diingati sehingga menjadi nama jalan dan sekolah di Miri?
Dato’ Permaisuri, puteri yang menegakkan ajaran Islam di Miri
Pasti anda menyangka Dato’ Permaisuri adalah gelaran untuk seorang lelaki. Hakikatnya, Dato’ Permaisuri merupakan seorang wanita yang mempunyai darah kerabat diraja kerajaan Melayu. Keturunan kerajaan Melayu Dato’ Permaisuri dikatakan menjadi penyumbang besar dalam perkembangan Islam di Miri ketika pembukaan kawasan itu.
Terdapat bermacam teori tentang hikayat Dato’ Permaisuri ini. Dalam artikel kali ini, kami bawakan kepada anda kisah Dato’ Permaisuri sebagai isteri kerabat diraja Kesultanan Brunei dahulu kala.
Puteri cantik jelita dari Empayar Riau-Johor
Dato’ Permaisuri merupakan seorang puteri cantik jelita Raja Jarom dari Empayar Riau-Johor. Sudah menjadi kebiasaan kerajaan Melayu terdahulu untuk mengadakan perkahwinan diraja bagi mengukuhkan kerajaan mereka. Maka, beliau dikahwinkan dengan putera Kesultanan Brunei dalam majlis perkahwinan diraja yang penuh adat istiadat dan gilang gemilang.
Hubungan di antara kerajaan Johor-Riau dan Brunei agak baik, maka rutin kunjung-mengunjung antara kedua-dua sudah menjadi suatu kebiasaan. Setelah tinggal di Johor buat seketika, suami Dato’ Permaisuri memohon restu daripada mertuanya untuk kembali ke negara asal nya iaitu Brunei.
Malapetaka menimpa ketika pelayaran pulang ke Brunei
Walau bagaimanapun, pelayaran mereka kembali ke Brunei tidak selancar yang disangka. Setibanya mereka di sebuah tanjung yang luas, cuaca yang asalnya cerah berubah menjadi ribut taufan. Laut yang tenang bertukar gelora ganas sehingga menyebabkan kapal layar mereka karam.
Walau bagaimanapun, suami Dato’ Permaisuri hanya mempunyai satu pilihan untuk menyelamatkan orang yang tersayang. Suaminya berada dalam dilema apabila terpaksa memilih sama ada untuk menyelamatkan ibu kandungnya yang turut berada dalam kapal itu atau pun isterinya, Dato’ Permaisuri.
Akhirnya, suaminya memilih untuk menyelamatkan ibu kandungnya. Keputusan itu merupakan keputusan yang sukar buat suaminya namun apakan daya, diluah mati emak, ditelan mati bapa. Jelas suaminya, ahli keluarga sukar diganti berbanding kehilangan isteri yang boleh diganti dengan isteri yang baru. Dato’ Permaisuri akur dengan keputusan suaminya dan bertawakal kepada Allah akan nasibnya di laut bergelora itu.
Umur panjang, Dato’ Permaisuri terdampar di Miri
Dipendekkan cerita, Dato’ Permaisuri diselamatkan oleh orang di pesisir pantai Miri apabila melihat beliau terdampar di sana dan dijaga sehinggalah beliau sihat seperti sedia kala.
Pada waktu itu, penduduk di Miri baru sahaja menerima kedatangan Islam sebagai agama di Miri. Kehadiran Dato’ Permaisuri Kemala serta merta disanjung oleh rakyat tempatan kerana beliau merupakan sosok wanita yang berbudi pekerti, lemah lembut dan seorang penganut Islam yang baik.
Tambahan pula, asal usulnya yang merupakan puteri kepada sultan di Kerajaan Johor-Riau menguatkan lagi rasa hormat penduduk kerana kerajaan tersebut terkenal sebagai kerajaan yang mengembangkan agama Islam di nusantara.
Sepanjang bermastautin di Miri, Dato Permaisuri Kemala telah menyumbang kepada kemegahan syiar Islam dengan membawa masuk para pendakwah ke bumi Miri. Berita ini kedengaran sehingga ke kerajaan Kesultanan Brunei.
Khabar Dato’ Permaisuri menggembirakan suaminya di Brunei
Masih ingatkah anda kepada suami kepada Dato’ Permaisuri? Suaminya yang berjaya menyelamatkan diri dan hidup di Brunei mendengar perkhabaran tersebut. Sudah tentu, si suami sungguh gembira mendengar berita bahawa isterinya yang disangka telah lemas ditelan gelombang laut rupanya masih hidup. Si suami segera belayar ke Miri untuk mengajak isterinya bersama kembali.
Kedatangan suaminya itu disambut baik oleh Dato’ Permaisuri Kemala. Walau bagaimanapun, Dato’ Permaisuri ternyata masih kecewa dan terkilan dengan suaminya gara-gara peristiwa kapal karam yang lalu. Segala pujuk rayu si suami tidak dapat melembutkan hati Dato’ Permaisuri untuk kembali bersamanya.
Akhirnya, si suami pulang ke Brunei tanpa membawa apa-apa. Dato’ Permaisuri Kemala pula terus menetap di Miri sambil meneruskan perjuangan menegakkan ajaran Islam sehingga ke akhir hayatnya.
Makamnya di Miri masih dijaga dengan baik
Begitulah kisah suka duka Dato’ Permaisuri yang sinonim dengan Miri. Dato’ Permaisuri boleh dikatakan sebagai individu yang mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan agama Islam di Miri.
Maka, tidak hairanlah sekiranya makam Dato’ Permaisuri dijaga dengan baik malah diwartakan oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya kepada bumi Miri.