SK Bakuku johan dan naib johan pertandingan kitar semula kategori Sekolah Rendah
Murid SK Bakuku Sabah Ungguli Pertandingan Kitar Semula The KIDDOS Carnival. Murid-murid dari sekolah pedalaman Tenom , Sekolah Kebangsaan (SK) Bakuku berjaya merangkul tempat pertama dan kedua dalam Pertandingan Kitar Semula The KIDDOS Carnival bagi kategori sekolah rendah, yang diadakan sempena Taman Bandukan Music Festival pada 29 November 2024.
Acara tersebut berlangsung di Ficus Hall, Taman Bandukan Riverside Resort dan ianya dianjurkan oleh Persatuan Boneo Bayu Kreatif Keningau. Tempat pertama dan kedua masing-masing berjaya membawa pulang plak, sijil penghargaan, dan wang tunai RM500 dan RM 300 tajaan De Success Tupperware.

Pasukan sekolah ini mempertaruhkan produk kitar semula yang merupakan bahan bahan inovasi pembelajaran yang dinamakan Kotak ABC dan Pembaris Suku Kata. Kotak ABC merupakan bahan bantu mengajar yang terdiri daripada pelbagai permainan papan bertujuan untuk mengajar kanak-kanak mengenali dan menyebut huruf dengan tepat. Ianya diperbuat daripada bahan kitar semula seperti kotak, tikar getah, tutup botol, kertas terpakai dan pembungkus plastik.
Produk ini dipilih sebagai juara bagi kategori ini manakala produk kedua yang dianugerahkan naib johan adalah Pembaris Suku Kata yang dibangunkan untuk melatih pelajar dalam penguasaan suku kata termasuklah mengeja dan menyebut. Produk ini dibangunkan menggunakan bahan kitar semula seperti kertas terpakai, kotak, lidi dan span. Kedua-dua pasukan tersebut terdiri daripada empat orang adik – beradik iaitu Joan Eve Dominic & Joanna Elma Dominic, Joshua Evan Dominic dan Jayden Eric Dominic.
Guru Besar SK Bakuku , Julius Antodin menyatakan rasa bangga dan gembira atas kejayaan murid-murid tersebut. Dia menyatakan bahawa usaha sebegini mampu memberi pendedahan awal kepada murid murid ini untuk menjadi lebih kreatif dalam menggunakan semula bahan bahan terpakai serta membantu mereka meningkatkan kemahiran berkomunikasi mereka. Dia berharap ianya akan menjadi inspirasi kepada warga sekolah itu untuk terus meneroka bidang inovasi.

