‘Saya Tak Sedar Naik Kren’ — Lelaki Berada 126m di Udara, Dakwa Dibisik Suara Halus
Lelaki Sleepwalk Panjat Kren Setinggi 126 Meter, Dakwa Dengar Bisikan Misteri. Kejadian awal pagi yang mencemaskan melibatkan seorang lelaki memanjat kren setinggi 126 meter di tapak pembinaan di Luyang telah mengejutkan orang ramai, malah menimbulkan pelbagai persoalan.
Lelaki terbabit, yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dan bekerja di tapak pembinaan berkenaan, mendakwa beliau tidak sedar langsung perbuatannya.

Menurutnya, dia “terbangun” dan mendapati dirinya berada di atas kren tersebut, sambil menambah bahawa dia mendengar ‘bisikan’ yang menyuruhnya naik ke puncak kren. menurut laporan media tempatan.
Tindakan pantas penyelamat
Orang awam yang menyaksikan kejadian sekitar jam 7 pagi itu segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas melihat lelaki berkenaan berjalan di atas palang kren pada ketinggian yang amat berbahaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Sr Asst Fire Officer Zeno Tinggalan, berkata seramai 8 anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 3 kilometer dari balai, selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6:57 pagi.
Turun sendiri selepas dipujuk
Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, mereka mendapati lelaki itu berada di hujung kren yang terletak di atas bangunan yang masih dalam pembinaan.
“Selepas lebih kurang 30 minit memujuk, lelaki itu akhirnya berjaya ditenangkan dan turun sendiri dengan selamat tanpa sebarang insiden,” kata Zeno.
Lelaki tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Tiada kecederaan dilaporkan
Walaupun kejadian itu mencetuskan panik, lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 8:02 pagi, selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sebarang risiko di lokasi kejadian.
Apa yang berlaku sebenarnya?
Kenyataan lelaki tersebut — bahawa dia sleepwalk dan mendengar bisikan yang menyuruhnya memanjat kren — kini menjadi tanda tanya dalam kalangan orang ramai.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap kesihatan mental dan tidak mengambil mudah sebarang simptom luar biasa, terutamanya yang boleh membahayakan diri atau orang lain.

