Hidden gem yang mesti anda terokai di Sabah
Sungai Merabung, Trek Hutan Bagai Dunia Jurasik di Lahad Datu Sabah. Kalau di Sarawak, ada Empangan Bengoh yang menawarkan suasana empangan yang membiru dikelilingi oleh hutan dan air terjun seakan-akan kita melawat kembali ke zaman jurasik, di Sabah juga tidak kurang hebatnya. Terletak lebih kurang 40 minit dari bandar Lahad Datu, Sabah, terdapat sebuah tempat persembunyian yang menarik yang menawarkan lebih daripada sekadar pemandangan indah iaitu Sungai Merabung.
Ini bukan tempat pelancongan biasa; ia adalah satu pengembaraan, seolah-olah kita dibawa kembali ke zaman bumi ketika masih muda, dan dinosaur mungkin berkeliaran di tanah ini. Sungai Merabung adalah syurga pemburu adrenalin, tempat di mana sungai menjadi laluan dan hutan rimba menjadi saksinya.
Pergi ke Sungai Merabung
Perjalanan ke Merabung bermula dengan pemanduan dari Lahad Datu. Anda digalakkan untuk pergi ke sana menggunakan kereta memandangkan pilihan pengangkutan awam adalah terhad dan sebahagian daripada tarikannya terpencil dan hampir tidak terusik di kawasan itu.
Apa yang Membuat Sungai Merabung Begitu Istimewa?
Apa yang membezakan Merabung adalah pengalaman ‘river trekking’ yang pastinya tidak akan dapat dilupakan.
Tidak seperti pendakian biasa, di sini anda akan meredah persekitaran Merabung secara aktif – merangkak melalui celah, mendaki batu, berenang melalui air yang jernih, dan juga meluncur turun struktur semula jadi sungai.
Sebagaimana yang pernah dikongsikan oleh seorang pendaki yang pernah ke sana, Edlee Al-Aswad Black, hampir 80% daripada perjalanan menyelusuri Merabung ini adalah dengan cara trekking di dalam air sungai yang penuh batuan dan licin. Ia adalah pengalaman menggunakan seluruh badan yang mencabar tetapi memberi ganjaran pada setiap langkah.
Persediaan Untuk Meredah Sungai Merabung
Persediaan mental dan fizikal adalah sebahagian daripada pengembaraan Merabung. Jaket keselamatan adalah wajib, kerana kedalaman sungai boleh mengejutkan anda. Kaki juga perlu dilengkapi dengan baik, seperti memakai kasut ‘adidas kampung’ atau mana-mana kasut yang memiliki cengkaman kuat ke atas batu licin. Oleh kerana anda akan basah sepenuhnya sepanjang laluan, beg kalis air sangat penting untuk menjaga barangan anda terutamanya barangan elektronik seperti telefon dan kamera, agar sentiasa kering.
Bulan terbaik untuk pengalaman optimum adalah dari Mac hingga September apabila cuaca sudah kembali bersinar sepanjang hari dan sesuai untuk pengembaraan luar.
Dengan ekpedisi sejauh 3 km, jangkakan untuk kagum dengan keindahan alam semula jadi Sungai Merabung yang masih hijau dan menyejukkan mata. Landskap hijau melata dan fauna rare seperti spesis monyet Macaca adalah impian sesiapa sahaja, terutamanya jurugambar.
Awas ada pacat, amalkan tip daripada penduduk lokal ini
Dalam persekitaran yang subur ini, pacat adalah sebahagian daripada ekosistem. Para pengunjung dinasihatkan untuk membawa ubat serangga pacat untuk mengelakkan ‘penumpang’ yang tidak diundang. Satu tip menarik dari penduduk tempatan: Pensteril tangan (hand-sanitiser) juga boleh berfungsi sebagai racun serangga.
Mengapa anda mesti ke Merabung
Bagi mereka yang mempunyai semangat liar dan gagah, serta memiliki tubuh yang bersedia untuk cabaran fizikal, Merabung bukan sahaja disyorkan; malah ia adalah salah satu destinasi mesti lawat di Sabah. Keseronokan meneroka lanskap yang kekal tidak berubah selama beribu tahun pastinya boleh menjadi satu lagi bucketlist yang lengkap, bahkan mungkin anda boleh menemukan kegembiraan melalui cabaran menguji had diri di sini.
Kesimpulannya, Sungai Merabung adalah bukti alam semula jadi yang kaya raya Sabah. Ia adalah tempat yang tidak hanya menawarkan pemandangan tetapi membenam anda dalam intipati sebenar makna untuk meneroka. Jadi bawakan semangat pengembaraan anda, kasut pendakian terbaik anda, dan rasa ingin tahu – Merabung menanti anda!