Antara tempat menarik untuk bercuti Di Labuan
Tempat Menarik Di Labuan Yang Anda Perlu Lawati. Terletak hanya beberapa jam perjalanan bot dari Kota Kinabalu, dan menjadi laluan feri untuk ke Brunei adalah sebuah pulau yang mempesonakan, Labuan. Siapa sangka sebuah pulau yang tenang dengan pantai-pantai indah terkenal di seluruh dunia ini pernah melalui zaman kegelapan sewaktu perang dunia pertama dan kedua yang memusnahkan sebahagian besar bangunan-bangunan di pulau ini.
Namun inilah juga yang menjadikan Labuan cukup istimewa, dasar lautnya menjadi tarikan untuk diterokai penyelam dalam dan luar negara kerana kapal-kapal yang karam dari peperangan suatu ketika dahulu dan peninggalan-peninggalan jajahan yang menimbulkan rasa ingin tahu.
1. Tanah Perkuburan Perang Labuan

Ini adalah sebuah tanah perkuburan yang aman dan terjaga dengan baik di mana askar-askar dari Perang Dunia II dikebumikan. Ia adalah tempat bersejarah, dan kunjungan ke sini menawarkan peluang untuk memberi penghormatan dan mempelajari tentang sejarah kawasan ini semasa perang.
Labuan War Memorial Cemetary menempatkan tanah perkuburan tentera-tentera yang gugur sewaktu pencerobohan Jepun di Kepulauan Borneo pada tahun 1945. Terdapat sebanyak 1,788 buah kubur di memorial ini yang turut menempatkan warga Australia dan India.
Antara lain yang turut disemadikan di sini adalah Jack Mackey (1922–1945) dan Tom Derrick (1914–1945) yang pernah menerima Anugerah Kepujian Keberanian Victoria Cross.
Maklumat penting
Alamat: 87000 Labuan, Labuan Federal Territory
Nombor telefon: +441628 507200
2. Menara Jam Labuan (Labuan Clock Tower)

Sudah puas berjalan di sana-sini sekitar Labuan, tiba-tiba terdengar bunyi dong! dong! dong! sebuah jam, dari mana lagi datangnya bunyi ini di tengah bandaraya Labuan kalau bukan dari Menara Jam Labuan yang penuh bersejarah.
Pada asalnya, menara jam ini dibina pada tahun 1906 sumbangan daripada seorang peniaga terkemuka Melaka, Chee Swee Cheng. Menara ini merupakan salah satu daripada empat buah struktur lain di Bandar Labuan yang terselamat daripada pengeboman tentera bersekutu.
Sedihnya pada tahun 1948 pihak British telah merobohkan menara jam ini dengan janji ia akan dibina kembali, namun begitu, menara ini sebaliknya telah dibina kembali oleh Perbadanan Labuan pada tahun 2002.
Jadi, menara jam yang anda dapat lihat kini adalah replika menara yang asal. Untuk pengetahuan anda, jam ini akan mengeluarkan bunyi pada setiap jam, oleh itu, rancang masa anda betul-betul untuk mendengar bunyinya ya?
Maklumat penting
Alamat: Jalan Tanjung Purun, Bandar Labuan, 87000 Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan
Masa jam berbunyi: Mengeluarkan bunyi pada setiap jam
3. Pantai Pancur Hitam

House of Millions of Peace, itulah nama yang diberikan kepada Pantai Pancur Hitam. Diberikan gelaran sedemikian kerana keindahan pemandangan dan ketenangan angin sepoi-sepoi bahasa pantai ini menjadikan ia pilihan ramai jutawan untuk membina rumah mewah di sini.
Keindahannya yang memukau turut menarik perhatian dunia sehingga dianugerahkan dengan Anugerah United Nation COBSEA Clean Beach 2008. Sambil-sambil menikmati pemandangan yang indah di pantai ini anda boleh membeli makanan yang dijual di tepi pantai seperti air kelapa, sosej, bertih jagung, coklat dan banyak lagi, barulah syok menikmati pemandangan sambil mengisi perutkan?
Maklumat penting
Alamat: Pantai Pancur Hitam, 87000
4. Pantai Pohon Batu

Pantai Pohon Batu adalah sebuah pantai yang terletak sebaris dengan Pantai Pancur Hitam. Untuk pengetahuan anda, Pantai Pohon Batu terkenal dengan panorama indahnya sewaktu matahari terbenam. Jika anda ke sini, anda juga dapat melihat warung-warung kayu yang dibuka di tepian pantai indah ini dengan jualan makanan laut segar.
Tiada apa yang lebih menyeronokkan jiwa daripada menikmati pemandangan mempesonakan bawah lindungan pokok-pokok kasuarina dengan makanan yang masih segar hasil tangkapan nelayan di sini.
Maklumat penting
Alamat: Pohon Batu Smpang 26 (Pohon Batu), Labuan
5. Taman Damai & Tugu Penyerahan Jepun

Di tepian Pantai Layang-layang, terletaknya dua lagi tarikan lain di Labuan iaitu Taman Damai & Tugu Penyerahan Jepun. Taman Damai dibina dengan sumbangan daripada Japan Shipbuilding Industry Foundation dan juga keluarga mereka yang terkorban sewaktu pencerobohan Jepun.
Pembinaan taman ini adalah untuk menjadi simbol keharmonian antara Malaysia dan Jepun. Di sebelahnya pula terletak Tugu Penyerahan Jepun, di sinilah peristiwa bersejarah di mana Angkatan Tentera Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Masao Baba telah menyerah kepada Tentera Australia pada tarikh 10 September 1945. Banyak perkara bersejarah yang dapat anak anda pelajari di sini bukan? Lain perasaannya apabila dapat melawat lokasi bersejarah ini sendiri.
Maklumat penting
Alamat: 87000 Labuan, Labuan Federal Territory
Waktu operasi: 24 jam
6. Muzium Marin Labuan

Bangunan dua tingkat yang berbentuk seperti kerang, Muzium Marin Labuan ini cukup menarik untuk dilawati bersama keluarga. Bagi anda yang tidak berani menyelam di dalam air laut, di sinilah anda dapat mendekati flora dan fauna marin yang bukan sahaja daripada kawasan laut, malahan juga dari paya bakau.
Lawatan ke muzium ini pasti membuat anda jatuh cinta dengan keindahan dan kekayaan spesies hidupan dalam laut, mungkin ramai yang nak jadi penyelam lepas ini? Di tingkat atas muzium ini pula mempamerkan banyak lagi maklumat tambahan yang lain yang melibatkan peralatan menyelam, peralatan memancing klasik dan moden, serta banyak lagi informasi berkaitan spesies hidupan marin.
Maklumat penting
Alamat: Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, Jalan Tanjung Purun, 87008 Labuan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9:00am – 5:00pm)
Bayaran masuk: Percuma
Kemudahan: Tempat letak kenderaan, surau, tandas, medan selera dan taman rekreasi
7. Ujana Kewangan

Ke mana nak dituju di Labuan ini kalau tiba-tiba teringin bershopping seperti di kota metropolitan? Di sinilah lokasinya, Ujana Kewangan ataupun lebih dikenali sebagai UK dalam kalangan penduduk tempatan. UK ini sebenarnya adalah pusat membeli-belah yang terdapat di Labuan.
Tapi yang membezakan pusat membeli-belah ini dengan di tempat lain adalah kerana ia adalah salah-satu daripada tempat bershopping yang bebas cukai untuk barangan seperti coklat, ya anda tidak salah dengar, bebas cukai. Nak bershopping coklat sehingga penuh satu luggage seperti di Langkawi? Datanglah ke Ujana Kewangan.
Maklumat penting
Alamat: Lot No. E008, Tingkat Bawah, Bangunan Financial Park, 87000 Wilayah Persekutuan
Waktu operasi: 9am hingga 10pm
Nombor telefon: 087-419 477
8. The Bird Park Labuan

Tidak jauh dari Muzium Chimney, terletaknya The Bird Park Labuan dengan 3 buah kubah besar dikelilingi oleh lanskap flora yang indah. Bagi anda yang suka melihat burung-burung yang dicipta dengan penuh warna-warni ini, dapatlah anda melihat dengan sepuas hati lebih daripada 580 spesies burung tanpa perlu membawa teropong yang berat. Semuanya ada di sekeliling anda. Satu perasaan yang pasti mengujakan sesiapa sahaja.
Maklumat penting
Alamat: 87000 Labuan, Labuan Federal Territory
Waktu Operasi: Hari Selasa hingga Ahad (9:00am-4:30pm), manakala Isnin (2:00pm – 4:30pm)
9. One Stop Duty-Free Shopping

Terletak betul-betul di tengah bandaraya Labuan, di One Stop Duty-free Shopping ini anda dapat menghabiskan hari terakhir anda sekeluarga di Labuan dengan membeli-belah pelbagai barangan menarik dengan harga yang bebas dari cukai.
Tiada perasaan yang lebih menggembirakan bila dapat bershopping di bawah harga jualan sebenar, ya tak? Antara yang boleh dijumpai di sini adalah coklat, mutiara dan banyak lagi produk lain yang dihasilkan penduduk tempatan seperti saho, sambal dan tapai.
Maklumat penting
Alamat: Bandar Labuan, 87000 Labuan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 9.00pm)
10. Masjid Jamek An’Nur

Satu-satunya masjid yang terletak di Wilayah Persekutuan Labuan, Masjid Jamek An’Nur ataupun Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan adalah sebuah masjid yang dibina pada tahun 1980 dengan gabungan seni bina Melayu Brunei dan Turki.
Reka bentuknya yang agak futuristik menjadikan ia tarikan yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong yang datang ke Labuan. Sebuah masjid yang cukup indah dan berbeza dari masjid yang lain. Jangan lepaskan peluang untuk singgah bersolat di sini.
Maklumat penting
Alamat: Masjid, Bandar Labuan, 87000 Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan
Waktu operasi: 24 jam
Nombor telefon: 087-414 212
Labuan menawarkan pelbagai tempat menarik yang sesuai untuk pelbagai jenis pengunjung, sama ada mereka mencari aktiviti bersejarah, alam semula jadi, sukan air, atau pengalaman membeli-belah bebas cukai. Dengan sejarahnya yang kaya, keindahan alam semula jadi, dan kemudahan moden. Pengunjung boleh menikmati ketenangan Tanah Perkuburan Perang Labuan, keindahan bawah air di Taman Marin Labuan, dan keajaiban sejarah di Chimney Museum.
Pantai-pantainya menawarkan tempat yang sempurna untuk berehat. Dengan kelebihan sebagai kawasan bebas cukai, pengunjung juga boleh menikmati manfaat membeli-belah dengan harga yang berkurangan. Keseluruhannya, Labuan adalah destinasi yang menarik dengan pelbagai pilihan aktiviti dan tarikan yang menjamin pengalaman yang tidak dapat dilupakan.