Para mangsa yang masih hidup tidak mempunyai pilihan lain
Terpaksa Jadi Kanibal Untuk Terus Hidup, Ini Kisah Mangsa Terselamat Nahas Pesawat Andes 1972. Pada 13 Oktober 1972, sebuah pesawat membawa sepasukan ragbi termasuk beberapa rakan, ahli keluarga dan kru mereka ke Chile dari Uruguay, Amerika Selatan.
Namun, apabila juruterbang mereka membuat kesilapan semasa penerbangan, pesawat yang mereka naiki terhempas di banjaran pergunungan Andes. Dengan separuh daripada penumpang mati, baki mangsa yang terselamat terpaksa berusaha keras untuk bertahan.
Pasukan ragbi amatur Old Christians Club dari Montevideo, Uruguay dijadualkan untuk bermain di Chile
Anggota pasukan ragbi amatur ini dari Uruguay dijadualkan untuk bermain perlawanan menentang Old Boys Club, sebuah pasukan ragbi Inggeris di Santiago, Chile.
Presiden kelab, Daniel Juan, menyewa sebuah turboprop berkembar Tentera Udara Uruguay Fairchild FH-227D untuk membawa pasukan terbabit ke Santiago melalui Andes.
Pesawat terbabit membawa 40 penumpang dan lima anak kapal, termasuk Kolonel Julio Cesar Ferradas iaitu seorang juruterbang Tentera Udara yang berpengalaman. Dia ditemani oleh seorang juruterbang bersama iaitu Leftenan Kolonel Dante Hector Lagurara.
Oleh kerana ada 10 tempat duduk tambahan, ahli pasukan Old Christians Club menjemput beberapa rakan dan ahli keluarga untuk menemani mereka. Salah seorang penumpang ialah Graziela Mariani, yang menempah sebuah tempat duduk yang dibatalkan pada saat-saat terakhir agar dia dapat menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya.
Setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Carrasco pada 12 Oktober 1972, mereka terpaksa berhenti untuk bermalam di Mendoza, Argentina akibat ribut di kawasan Andes.
Salah sangka yang membawa nahas
Pada keesokan hari, keadaan di Andes masih belum bertambah baik tetapi perubahan dijangka pada awal petang.
Juruterbang menunggu dan berlepas pada jam 2:18PM dari Mendoza dan membawa pesawat itu ke arah selatan menuju lampu isyarat Malargue pada tahap penerbangan 18,000 kaki.
Semasa itu, Lagurara menyiarkan radio Malargue dengan kedudukan mereka dan memberitahu mereka bahawa pesawat tersebut akan mencapai Plancho Pass setinggi 2,515 meter pada jam 3:21PM. Planchon Pass adalah titik tangan kawalan lalu lintas udara dari satu sisi Andes ke sisi lain, dengan pengawal di Mendoza memindahkan tugas pengesanan penerbangan ke kawalan lalu lintas udara Pudahuel di Santiago, Chile.
Sekali menyerebangi pergunungan di Chile, selatan Curico, pesawat berkenaan sepatutnya membelok ke utara dan memulai turun ke lapangan terbang Pudahuel di Santiago, Chile.
Juruterbang Ferradas telah terbang melalui pergunungan Andes sebanyak 29 kali sebelum ini. Semasa penerbangan, dia melatih juruterbang Lagurara, yang merupakan juruterbang pesawat tersebut pada masa itu.
Sementara itu, pesawat tersebut berusia 4 tahun dan mempunyai 792 airframe hours. Ia juga dianggap oleh beberapa juruterbang lain sebagai kurang bertenaga, dan telah digelar ‘lead-sled’.
Apabila mereka melalui Andes, awan mengaburkan gunung. Akibat keadaan tersebut, juruterbang terbang dalam keadaan instrument meteorological pada ketinggian 18,000 kaki dan tidak dapat memastikan lokasi mereka secara visual.
Meskipun beberapa laporan menyatakan juruterbang menganggarkan kedudukannya dengan salah menggunakan dead reckoning, juruterbang itu bergantung pada navigasi radio. Di Planchon Pass, iaitu titik tangan kawalan lalu lintas udara dari satu sisi Andes ke sisi lain, mereka masih terbang sejauh 60-70 km untuk tiba di Curico.
Kebiasaannya, waktu penerbangan ke Curico mengambil masa 11 minit tetapi hanya 3 minit kemudian, juruterbang Lagurara menghubungi Santiago dan memberitahu bahawa mereka akan lalu Curico dan belok ke utara. Pada masa itu, dia meminta izin dari kawalan lalu lintas udara untuk turun.
Pengawal di Santiago, tanpa menyedari pesawat tersebut masih berada di banjaran pergunungan Andes, membenarkan mereka untuk turun hingga 11,500 kaki.
Analisis jalan penerbangan mereka mendapati bahawa juruterbang itu tidak hanya berpusing terlalu awal, tetapi menuju ke arah 014 darjah, ketika sepatutnya beralih ke 030 darjah.
Pesawat terhempas
Apabila pesawat itu turun, pergolakan teruk melemparkan pesawat ke atas dan ke bawah. Salah seorang penumpang, Nando Parrado, teringat bahawa pesawat itu terkena aliran bawah yang menyebabkan pesawat terbabit jatuh beberapa ratus kaki dan keluar dari awan.
Pada ketika itu, pemain ragbi dalam pesawat bergurau tentang perkara itu namun mereka menyedari bahawa pesawat mereka berada sangat dekat dengan gunung.
Menurut Roberto Canessa, salah seorang survivor nahas itu, dia mengatakan dia menyangka juruterbang mereka membelok ke utara terlalu cepat dan mulai turun ke Santiago ketika pesawat mereka masih tinggi di pergunungan Andes. Pesawat itu mulai naik sehingga hampir menegak dan berhenti dan bergetar. Semasa itu, penggera pesawat berbunyi dan mengejutkan semua penumpang.
Juruterbang menggunakan daya maksimum dalam usaha untuk mendapatkan ketinggian. Malangnya, ia sudah terlambat apabila pesawat itu melanggar gunung dua atau tiga kali (berdasarkan keterangan dan bukti saksi tempat kejadian).
Pada jam 3:34PM, bahagian bawah ekor pesawat telah melanggar permatang gunung pada jarak 4,200 meter. Perlanggaran seterusnya memutuskan sayap kanan pesawat. Ketika kon ekor tertanggal, ia mengambil bahagian belakang badan pesawat termasuk dua baris tempat duduk di bahagian belakang kabin penumpang, dapur, tempat simpanan bagasi, penstabil menegak dan mendatar, meninggalkan lubang celah di bahagian belakang badan kapal.
Tiga penumpang, seorang navigator dan seorang pramugara hilang dengan bahagian ekor tersebut.
Pesawat terbabit lalu naik sejauh 200 meter selama beberapa saat sehingga sayap kiri dilanggar, menanggalkannya. Salah satu propeller menghiring badan pesawat ketika sayap tersebut dipotong dan menyebabkan dua penumpang jatuh dari belakang pesawat yang terbuka.
Bahagian depan pesawat terbang melintasi udara sebelum meluncur menuruni lereng curam dengan kelajuan 350 kmph sebelum bertembung dengan tebing salji.
Impak tersebut menghancurkan kokpit dan memerangkap kedua-dua juruterbang di dalamnya. Juruterbang Ferradas meninggal dunia di tempat kejadian.
Dari 45 orang yang berada di dalam pesawat, tiga penumpang dan dua anak kapal di bahagian ekor terbunuh ketika ia pecah
Berikutan kejadian, dua penumpang iaitu Daniel Shaw dan Carlos Valeta jatuh dari belakang pesawat. Walaupun Valeta selamat dari kejatuhannya, dia tersandung di glasier yang diliputi salji dan kemudian jatuh ke salji yang dalam. Dia lalu meninggal dunia akibat sesak nafas dan mayatnya hanya ditemui oleh rakan penumpang pada 14 Disember.
4 penumpang pesawat terkorban akibat kesan badan pesawat yang terhempas tebing salji – doktor pasukan Dr Francisco Nicola dan isterinya Esther Nicola, Eugenia Parrado dan Fernando Vazquez, seorang pelajar perubatan.
Sementara itu, juruterbang Lagurara cedera parah dan terperangkap di kokpit yang telah hancur. Dia meminta salah seorang penumpang untuk mencari pistolnya dan menembaknya tetapi penumpang tersebut menolak permintaan Lagurara.
33 penumpang masih hidup, walaupun banyak yang cedera parah dengan luka termasuk patah kaki yang disebabkan oleh tempat duduk pesawat runtuh ke depan terhadap bahagian bagasi dan kabin juruterbang.
Dua pelajar perubatan tahun pertama, Canessa dan Gustavo Zerbino, bertindak pantas untuk menilai keparahan luka penumpang lain dan merawat mereka yang paling dapat dibantu. Nando Parrado mengalami kecederaan pada bahagian tengkorak dan berada dalam koma selama 3 hari. Oleh kerana rakan-rakannya menyangka bahawa dia telah meninggal dunia, mereka meletakkan badannya bersama mayat lain di bahagian belakang pesawat yang terbuka. Kepalanya diletakkan di atas salji yang sejuk, yang sebenarnya mencegah otaknya bengkak dan menyelamatkannya.
Enrique Platero pula mempunyai kepingan logam yang tersangkut di perutnya yang ketika dikeluarkan membawa beberapa inci ususnya keluar, namun dia segera mula membantu orang lain.
Kedua-dua kaki Arturo Nogueira patah di beberapa tempat. Tiada penumpang yang mengalami patah tulang terselamat susulan itu.
Hampir diselamatkan tetapi tidak dilihat
Pada masa ini, Chilean Air Search And Rescue Service (SARS) telah melaksanakan operasi menyelamat dari tengah hari hingga malam. Pada hari kedua, 11 pesawat dari Argentina, Chile dan Uruguay berusaha mencari pesawat tersebut. Kawasan pencarian merangkumi lokasi mereka dan beberapa pesawat terbang di dekat lokasi nahas.
Mereka yang terselamat cuba menggunakan gincu yang dijumpai dari bagasi untuk menulis ‘SOS’ di bumbung pesawat, tetapi mereka berhenti setelah menyedari bahawa mereka tidak mempunyai cukup gincu untuk membuat huruf yang dapat dilihat dari udara.
Mereka melihat tiga pesawat terbang di atas, tetapi tidak berjaya untuk menarik perhatian mereka. Pada masa itu juga, kru pesawat tidak dapat melihat pesawat putih di atas lautan salji yang putih. Keadaan yang teruk itu memberi sedikit harapan kepada pencari dan usaha pencarian dibatalkan setelah 8 hari.
Pada 21 Oktober, setelah melakukan pencarian selama 142 jam dan 30 minit, operasi pencarian dan menyelamat dibatalkan akibat tiada harapan untuk menemui mereka.
Mereka yang terselamat menemui sebuah radio transistor kecil yang tersekat di antara tempat duduk di pesawat, dan Roy Harley memperbaiki antena yang sangat panjang menggunakan kabel elektrik dari pesawat. Dia mendengar berita bahawa pencarian dibatalkan pada hari ke-11 sejak terhempas di gunung.
72 hari penyeksaan
Pada malam pertama, 5 lagi penumpang meninggal dunia iaitu Lagurara, Francisco Abal, Graziela Mariani, Felipe Maquirriain dan Julio Martinez-Lamaz.
Para penumpang mengeluarkan tempat duduk yang rosak dan serpihan lain dari pesawat itu dan menggunakan badan kapal berkenaan sebagai sebuah tempat perlindungan. Baki 27 orang itu lalu melindungi diri mereka dalam kapal tersebut, dengan menutup hujung pesawat yang terbuka dengan menggunakan bagasi, tempat duduk dan salji sebagai usaha menahan sejuk.
Fito Strauch merancang cara untuk mendapatkan air dalam keadaan beku dengan menggunakan logam dari bawah tempat duduk dan meletakkan salji di atasnya. Solar collector akan mencairkan salji yang menetes ke dalam botol anggur kosong.
Untuk mencegah snow blindness, dia juga memperbaiki kacamata hitam dengan menggunakan pelindung matahari di kabin juruterbang, wayar dan tali bra. Mereka menanggalkan penutup tempat duduk yang sebahagian dibuat dari bulu dan menggunakannya untuk kehangatan. Selain itu, mereka turut menggunakan bantal tempat duduk sebagai kasut salji. Marcelo Perez, kapten pasukan ragbi tersebut, menjadi pemimpin mereka.
Setelah 3 hari berada dalam keadaan koma, Nando Parrado terbangun untuk mengetahui adiknya, Susana Parrado yang berusia 19 tahun, cedera parah. Walaupun dia berusaha untuk menyelamatkan adiknya, Susana meninggal dunia akibat kecederaannya.
Selebihnya perlu mengadapi kesukaran yang teruk untuk bertahan malam apabila suhu turun hingga −30 ° C. Kesemua penumpang itu membesar berhampiran laut, malah kebanyakan daripada mereka tidak pernah melihat salji sebelum itu dan tiada mempunyai pengalaman di tempat tinggi.
Mereka yang terselamat kekurangan bekalan perubatan, pakaian dan peralatan khusus cuaca sejuk, makanan, dan hanya mempunyai 3 pasang cermin mata hitam untuk membantu mencegah snow blindness.
Terpaksa jadi kanibal akibat tiada pilihan lain untuk terus hidup
Dengan hanya 8 batang coklat, satu tin kerang, tiga balang kecil jem, satu tin kacang almond, sebilangan kurma, gula-gula, plum kering, dan beberapa botol wain, mereka terpaksa membahagikan makanan mereka kepada jumlah yang sangat kecil untuk menjadikan bekalan mereka bertahan selama mungkin.
Nando Parrado hanya memakan sebiji kacang dicelup coklat selama 3 hari.
Namun, akibat tiada tumbuh-tumbuhan semula jadi dan tiada binatang di glasier itu, makanan mereka habis setelah seminggu. Mereka cuba memakan sebahagian kapal terbang seperti kapas di dalam tempat duduk tetapi jatuh sakit kemudian.
Mengetahui bahawa usaha penyelamatan telah dihentikan dan menghadapi kelaparan dan kematian, mereka yang masih hidup bersetuju bahawa, sekiranya mereka mati, yang lain boleh memakan tubuh mereka untuk terus hidup.
Tanpa pilihan lain, mangsa yang selamat terpaksa memakan mayat rakan mereka yang sudah meninggal.
Menurut Roberto Canessa mengenai keputusan untuk memakan kedua-dua juruterbang dan rakan-rakan serta ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia, beliau berkata,
“Matlamat bersama kami adalah untuk bertahan – tetapi apa yang kami kekurangan adalah makanan. Kami kehabisan pilihan dan tiada tumbuh-tumbuhan atau kehidupan haiwan yang dapat dijumpai. Setelah beberapa hari, kami merasakan sensasi tubuh kami sendiri memakan diri untuk terus hidup. Tidak lama kemudian, kami menjadi terlalu lemah untuk pulih akibat kelaparan. Kami tahu jawapannya, tetapi ia terlalu mengerikan untuk direnungkan. Mayat rakan-rakan kami, rakan sepasukan kami, yang diawetkan di luar dalam salji dan ais, mengandungi protein penting untuk membantu kami terus hidup dan membantu kami bertahan. Tetapi, bolehkan kami melakukannya? Untuk sekian lama, kami terkilan. Saya keluar di salji, dan berdoa kepada Tuhan untuk mendapatkan petunjuk. Tanpa izinNya, saya merasakan saya akan melanggar ingatan rakan-rakan saya; bahawa saya akan mencuri jiwa mereka. Kami tertanya-tanya, adakah kami sudah datang gila sehingga memikirkan perkara ini. Adakah kami telah berubah menjadi savage? Atau adakah ini satu-satunya perkara yang waras untuk dilakukan.”
Akibat terlalu terdesak, mereka secara kolektif memutuskan untuk memakan daging dari mayat rakan-rakan mereka yang sudah mati.
Keputusan ini tidak dipandang ringan, kerana kebanyakan yang meninggal adalah rakan sekelas mereka, teman rapat atau saudara.
Canessa menggunakan sekeping kaca pecah dari kaca depan pesawat sebagai alat pemotong dan memberikan contoh dengan menelan sehiris daging beku seukuran batang mancis. Beberapa yang lain melakukan perkara yang sama di kemudian hari. Keesokan harinya, lebih banyak mangsa yang selamat memakan daging yang ditawarkan kepada mereka tetapi sebilangan kecil menolak keputusan itu kerana mereka berpendapat ia mencanggah moral mereka.
Daging mayat dikeringkan di bawah sinar matahari untuk membuatnya lebih senang dimakan.
Parrado melindungi mayat adik perempuannya dan ibunya dan mereka tidak pernah dimakan.
Keputusan yang tidak dipandang ringan tetapi tiada pilihan lain
Menurut Parrado dalam memoirnya, mereka cuba mencari penyelasaian lain sehingga sanggup memakan kulit yang terkoyak dari barang-barang bagasi tetapi bahan kimia yang digunakan untuk merawat kulit kerusi dan bagasi berkenaan lebih berbahaya.
Mereka koyak bantal tempat duduk terbuka dengan harapan dapat mencari straw, tetapi hanya terdapat foam yang tidak dapat dimakan. Setiap usaha untuk mencari alternatif makan mendatangkan kesimpulan yang sama iaitu melainkan jika mereka ingin memakan pakaian yang dipakai mereka, tiada apa yang dapat dimakan selain aluminium, plastik ais dan batu.
Pada asalnya, mereka sangat memberontak dengan pengalaman itu sehingga mereka hanya mampu makan kulit, otot dan lemak. Apabila bekalan daging semakin kurang, mereka terpaksa memakan hati, paru-paru dan juga otak mayat.
Semua penumpang adalah Katolik. Ada yang takut ditimpa kecelakaan. Menurut salah seorang mangsa terselamat, ada yang merasionalisasi tindakan kanibalisme sebagai setara dengan Tubuh dan Darah Yesus Kristus di bawah penampilan roti dan anggur.
Beberapa orang pada awalnya mempunyai keberatan, walaupun setelah menyedari bahawa cara tersebut adalah satu-satunya cara untuk terus hidup. Mereka terpaksa berubah fikiran beberapa hari kemudian. Javier Methol dan isterinya Liliana, satu-satunya penumpang wanita yang masih hidup, adalah mangsa terselamat terakhir dalam kumpulan tersebut untuk memakan daging manusia.
Seorang yang kuat berpegang agama, Liliana pada asalnya membantah keputusan tersebut tetapi hanya dengan berat hati setuju apabila diberitahu untuk melihatnya sebagai sejenis ‘Holy Communion’.
Runtuhan salji yang mengorbankan 8 mangsa
17 hari selepas pesawat mereka terhempas, sebuah runtuhan salji menimpa pesawat mereka ketika mereka sedang tidur pada 29 Oktober.
Ia memenuhi badan pesawat dan mengorbankan 8 orang iaitu Enrique Platero, Liliana Methol, Gustavo Nicolich, Daniel Maspons, Juan Menendez, Diego Storm, Carlos Roque, dan Marcelo Perez.
Dengan kematian Perez, iaitu kapten pasukan dan pemimpin mereka, dan Liliana, yang telah menjaga mereka seperti ibu, mereka kehilangan motivasi untuk terus hidup.
Mangsa yang terselamat terperangkap di dalam pesawat menyedari bahawa mereka kehabisan udara. Mujur Parrado menjumpai tiang logam dari rak bagasi dan mencucuk lubang di bumbung badan pesawat untuk memberikan pengudaraan.
Dengan kesukaran yang cukup besar, pada 31 Oktober, mereka menggali terowong dari kokpit ke permukaan hanya untuk menghadapi ribut yang membuat mereka tiada pilihan lain selain tinggal di dalam badan pesawat tersebut.
Selama 3 hari, mereka terperangkap dalam ruang yang sangat sempit dengan ruang kepala kira-kira 1 meter, bersama mayat-mayat yang mati akibat runtuhan salji beberapa hari sebelumnya.
Tanpa pilihan lain, mereka mula memakan daging mayat-mayat tersebut.
Eduardo dan Fito Strauch serta Daniel Fernandez menjadi pemimpin dan mengambil alih mengambil daging mayat rakan-rakan mereka yang telah meninggal dan membahagikannya kepada yang lain.
Mengambil tindakan sendiri untuk mencari bantuan
Setelah tiga lagi mangsa meninggal akibat gangrene dan salah seorang enggan memakan daging manusia, mereka memutuskan untuk mencari bantuan.
Parrado, Canessa dan Vizintin dipilih oleh rakan-rakan mereka untuk mencari bantuan. Setelah beberapa hari dan mendapati bahawa pencarian bantuan akan mengambil masa yang lama serta mempertimbangkan bekalan makanan, Vizintin bersetuju untuk kembali ke pesawat bagi mengutamakan baki bekalan daging ke Parrado dan Canessa.
Kedua-dua rakan itu naik ke puncak yang memakan masa tiga jam untuk naik. Namun, mereka hanya melihat gunung sejauh kilometer di sekitarnya. Parrado melihat dua puncak yang lebih kecil di bahagian barat yang tidak diliputi salji dan melihat sebuah lembah di dasar gunung tempat mereka berdiri. Canessa bersetuju untuk pergi ke barat dan mereka mengikuti lereng gunung menuju lembah untuk menuruni jarak yang cukup jauh.
Setelah beberapa hari, mereka menjumpai sebuah sungai dan mengikutinya sehingga mereka sampai di sempadan antara tanah bersalji dan tanah tanpa salji.
Akhirnya, mereka menemui lebih banyak tanda-tanda kehadiran manusia seperti perkhemahan dan lembu. Pada hari ke-10, mereka berhenti untuk berehat dan Canessa tidak dapat melangkah lebih jauh.
Semasa mengumpulkan kayu untuk membina api, mereka melihat tiga orang menunggang kuda di seberang sungai terbabit. Mereka melambai meminta pertolongan dan salah seorang lelaki di seberang sungai melemparkan sehelai kertas dan pensil yang melekat pada batu ke arah mereka akibat sungai yang mengalir menyukarkan mereka untuk mendengar satu sama lain. Parrado menulis dalam surat itu:
“Saya datang dari sebuah pesawat yang terhempas di atas gunung. Saya warga Uruguay. Kami sudah berjalan selama 10 hari. Saya mempunyai seorang rakan cedera atas sini. Dalam pesawat ada 14 lagi penumpang cedera. Kami perlu keluar dari sini secepat mungkin dan kami tidak tahu bagaimana. Kami tiada makanan. Kami terlalu lemah. Bila kah kamu datang untuk mengambil kami? Tolong, kami tidak larat untuk berjalan. Di manakah kami?”
Lelaki tersebut, Sergio Catalan, seorang pengangkut barang menggunakan keldai dan warga Chile, memberi tanda bahawa dia memahami mereka dan kemudian mencari bantuan untuk menolong Parrado dan Canessa.
Sebelum bergerak, Sergio membaling beberapa buku roti kepada Parrado dan Canessa untuk dimakan.
Berjaya diselamatkan setelah 72 hari terkandas atas gunung
Baki mangsa yang terselamat akhirnya berjaya diselamatkan setelah menghabiskan 72 hari di pergunungan Andes. Penyelamatan mereka menjadi sensasi antarabangsa, kerana ramai tidak dapat bayangkan bagaimana mereka berjaya bertahan lama di kawasan seperti itu.
Pada mulanya, mangsa yang selamat bersetuju untuk tidak mengungkapkan apa yang mereka makan untuk bertahan hidup dan mengatakan bahawa mereka memakan sebilangan keju dan tumbuh-tumbuhan untuk bertahan – hanya mengungkapkan kebenaran kepada keluarga terdekat mereka.
Namun, ketika diberitahu bahawa mangsa yang selamat telah mengamalkan kanibalisme dan gambar daging yang dimakan disiarkan di surat khabar, mangsa yang selamat mengadakan sidang media, yang diwakili oleh Alfredo Delgado.
Dia membandingkan tindakan mereka dengan perbuatan Yesus Kristus semasa Perjamuan Terakhir (Last Supper). Pada mulanya, mereka mendapat reaksi negatif tetapi setelah mereka menjelaskan perjanjian yang telah dibuat oleh mereka secara kolektif untuk mengorbankan daging mereka jika mereka mati untuk membantu yang lain bertahan, kritikan berkurang dan keluarga para mangsa lebih memahami.
“Mungkin mereka yang mengetahui perkara ini akan berkata, “oh, saya tidak akan membuat itu.” Jika kamu ada di sana, dalam keadaan yang sangat mencabarkan, kamu akan terpaksa membuatnya,” kata Nando Parrado.
Pihak berkuasa dan keluarga mangsa memutuskan untuk mengebumikan jenazah berhampiran lokasi nahas. 12 lelaki dan seorang priest dari Chile dibawa ke lokasi nahas pada 18 Januari 1973. Anggota keluarga tidak dibenarkan hadir. Mereka menggali kubur sekitar 400 hingga 800 m dari badan pesawat di lokasi yang mereka anggap selamat dari runtuhan salji. Di dekat kubur terbabit, mereka membina mezbah batu sederhana dan meletakkan salib besi oren di atasnya sebagai penghormatan.
Sementara itu, seorang priest Katolik mendengar pengakuan mangsa yang selamat dan memberitahu mereka bahawa mereka tidak akan dihukum atas kesalahan antropophagy iaitu memakan daging manusia, kerana mereka terpaksa melakukannya memandangkan keadaan hidup mereka pada waktu itu dalam keadaan ekstrem.
Pada masa penulisan, semua kecuali seorang masih hidup.