Ini Pandangan Ahli Akademik Mengenai Minggu Orientasi
Individu Ini Kongsi Pendapat Tradisi Lama Minggu Orientasi Perlu Dirombak. Melalui sebuah hantaran di Facebook, Dr. Rozanizam Zakaria, menurutnya seorang akademik dan psikiatri, membangkitkan isu penting mengenai minggu orientasi universiti.
Dalam dunia moden ini, beliau melihat cara orientasi pelajar baharu yang dijalankan seolah-olah masih terperangkap dalam pendekatan tahun 1994.

Strategi lama tidak lagi sesuai untuk menangani masalah generasi masa kini.
Beliau berkongsi pengalamannya menonton video di mana fasilitator universiti melakukan ‘prank’ terhadap pelajar baharu semasa minggu orientasi. Aktiviti seperti ini dilihat kurang relevan dalam era moden, di mana cabaran yang dihadapi pelajar sudah berubah. Menurutnya, pendekatan orientasi sekarang masih berkisar kepada joget-joget, poco-poco, dan aktiviti yang memenatkan secara fizikal. Tambahan pula, ceramah yang diadakan kerap kali tidak mendapat perhatian sepenuhnya kerana pelajar tertidur atau kepenatan selepas seharian menjalani aktiviti.
Beliau yang pernah mendaftar di Adelaide University pada tahun 2004, Dr. Rozanizam membandingkan pengalaman beliau dengan orientasi yang lebih fokus kepada pembelajaran berdikari dan pengenalan kepada sistem universiti. Di sana, tiada fasilitator yang menjerit-jerit, tiada acara hiburan yang memenatkan, dan pelajar diberi ruang untuk belajar dan memahami dunia orang dewasa. Pendekatan ini diakui lebih matang dan relevan dalam membentuk daya tahan dan kematangan pelajar, tanpa memerlukan aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan dengan pembelajaran sebenar.
Beliau juga menegaskan bahawa strategi lama tidak lagi sesuai untuk menangani masalah generasi masa kini. Pelajar hari ini berdepan dengan cabaran mental dan emosi yang lebih berat. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu menyesuaikan cara mendidik dan membimbing pelajar, terutama dalam menghadapi tekanan kehidupan universiti yang lebih mencabar.
Dari sudut pandangnya sebagai seorang akademik dan psikiatri, beliau mengajak untuk mengambil pendekatan yang lebih membina. Menurutnya, kita harus sama-sama bertanggungjawab dalam mencorakkan generasi muda, bukan sahaja melalui sistem pendidikan, tetapi juga dalam memahami emosi dan keperluan mereka. Orientasi bukan sekadar acara seronok-seronok, tetapi platform untuk mempersiapkan pelajar menghadapi realiti kehidupan universiti dan seterusnya.
Dr. Rozanizam mengakhiri hantarannya dengan seruan untuk berubah. “Yesterday’s strategies will not work for tomorrow’s problems. Adapt!” Satu peringatan tegas bahawa pendekatan lama tidak akan membantu menghadapi cabaran masa depan. Kita perlu belajar untuk bergerak maju dengan cara yang lebih relevan dan sesuai dengan zaman.

