• Cerita Borneo
  • Tempat
  • Aktiviti
  • Event
  • Makan
  • Cerita Borneo
  • Tempat
  • Aktiviti
  • Event
  • Makan
Mulakan Carian
  • Cerita Borneo
  • Tempat
  • Aktiviti
  • Event
  • Makan
Ikuti Kami
  • Polisi Kerahsiaan
  • Terma Dan Syarat
Part Of Borneo Digital
Cerita Borneo

Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya

Oleh
Ismail NA
10 Mac 2021
Kongsi
8 Min Bacaan

Konflik di antara kaum Madura dan Melayu Sambas di Kalimantan Barat, Indonesia.

Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya. Kebiasaannya, pagi raya Aidilfitri adalah masa untuk semua orang saling bermaaf-maafan dan berdamai semula. Namun, lain pula kisahnya pada pagi raya Aidilfitri di Sambas pada tahun 1999. Satu peristiwa hitam telah menghantui penduduk di kawasan Sambas sehingga ke hari ini kerana ia bermula dengan satu jenayah kecil yang membawa kepada ketegangan antara dua kaum sehingga akhirnya meragut nyawa penduduk.

Isi Isi Penting
  • Konflik di antara kaum Madura dan Melayu Sambas di Kalimantan Barat, Indonesia.
  • Tragedi berasal dari penangkapan pemuda Madura yang dituduh mencuri
  • Kaum Madura dan Melayu Sambas bermasam muka, hubungan kaum semakin keruh
  • Rusuhan berterusan sehingga setahun, perintah berkurung terpaksa diisytiharkan
  • Penduduk Madura akhirnya diusir ke Pontianak dan Singkawang
  • Tugu Ketupat Berdarah dibina bagi memperingati mangsa korban tragedi
  • Baca juga artikel tentang Pontianak, bandar di Kalimantan Barat ini :

Tragedi Ketupat Berdarah berlaku di Kampung Parit Setia, Sambas, Kalimantan Barat pada tanggal 19 Januari 1999 yang bersamaan dengan 1 Syawal 1419H. Pada pagi Aidilfitri yang hening itu, selesai sahaja Solat Sunat Aidilfitri, masyarakat Madura mengamuk dan menyerang kaum Melayu Sambas sehingga menyebabkan kematian 3 orang pemuda.

Tragedi berasal dari penangkapan pemuda Madura yang dituduh mencuri

Peristiwa asal yang membawa kepada pergaduhan antara dua etnik ini adalah bermula daripada penangkapan sekumpulan pemuda Madura pada bulan Ramadan tahun yang sama.

Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya
Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya

Namun, terdapat banyak versi cerita tentang punca penangkapan pemuda Madura tersebut. Ada yang mengatakan bahawa 3 orang pemuda Madura ini ditangkap kerana memecah masuk rumah orang Melayu ketika mabuk. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka mengganggu penduduk Melayu dengan mengetuk pintu rumah dan bertutur secara kasar dengan tuan rumah. Malah, ada juga yang mendakwa pemuda Madura ini tertangkap kerana mencuri ayam.

Cerita yang paling lengkap pula adalah versi pemuda Madura ini memecah masuk ke rumah orang Melayu dengan niat untuk mencuri. Setelah tuan rumah sedar akan kehadiran pencuri di rumahnya, tuan rumah tersebut menjerit dan segera menerima pertolongan daripada orang kampung. Lantas, pencuri itu pun ditangkap.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila berlaku situasi tuduh-menuduh melibatkan masyarakat Melayu Sambas dan pemuda Madura semasa penangkapan tersebut. Lama-kelamaan, ada di antara penduduk yang hilang sabar sehingga mendatangkan kecederaan kepada pemuda Madura tersebut.

Kaum Madura dan Melayu Sambas bermasam muka, hubungan kaum semakin keruh

Sejak dari hari itu, penduduk Madura dan Melayu Sambas saling bermasam muka kerana bagi penduduk Madura, pemuda tempoh hari yang dituduh mencuri tidak berniat untuk melakukan jenayah tersebut tetapi sebaliknya hanya tersalah rumah selepas mereka mabuk meminum arak. Jelas perkara seperti itu menurut mereka tidak perlu diperbesarkan kerana ia membawa imej negatif terhadap kaum Madura.

Walau bagaimanapun, penduduk Melayu Sambas tetap tidak berpuas hati dengan alasan tersebut dan terus-menerus menuduh orang Madura sebagai pencuri sehingga ia menjadi buah mulut di perkampungan yang berhampiran.

Lantaran hubungan tegang itu, masyarakat Madura yang sekian lama memendam amarah akhirnya mengambil keputusan drastik dengan membuat rusuhan dan amukan tatkala semua orang Melayu sedang bermaaf-maafan di pagi Syawal. Perkelahian itu kemudian menjadi tidak terkawal sehingga orang Madura mengeluarkan senjata peribadi mereka yang dipanggil celurit untuk berlawan. Kesannya, 3 orang pemuda Melayu Sambas terkorban gara-gara rusuhan tersebut.

Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya
Celurit, senjata tradisional Madura
Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya
Wajah lelaki kaum Madura
Sumber : Wikipedia

Untuk pengetahuan anda, sejarah perkauman antara 2 kaum ini sebenarnya sudah lama tercetus. Pada tahun 1933, masyarakat Madura yang terdiri daripada 25 orang hamba dibawa masuk oleh seorang nakhoda ke bumi Sambas untuk dijual kepada saudagar Melayu di sana. Hamba-hamba Madura ini kemudiannya dijadikan buruh untuk meneroka hutan dan seterusnya dijadikan kebun dan ladang. Namun demikian, bebanan kerja yang melampau dan kudrat yang tidak diberi sebarang upah seperti yang dijanjikan telah mencetuskan penentagan orang Madura terhadap orang Melayu Sambas sehingga memaksa campur tangan pihak Istana kerajaan Sukadana Ketapang untuk mendamaikan mereka.

Barangkali sejarah ini masih lagi terpahat dalam hati kedua-dua kaum yang menunggu masa untuk hangat dan menjadi besar semula.

Rusuhan berterusan sehingga setahun, perintah berkurung terpaksa diisytiharkan

Tragedi ini kemudiannya tersebar ke perkampungan malah daerah-daerah lain di Kalimantan Barat. Bagi menuntut keadilan untuk pemuda Melayu Sambas yang terkorban, penduduk Melayu Sambas merasakan bahawa perbuatan orang Madura ini perlu dibalas dengan balasan yang setimpal dengan hutang nyawa dan darah yang mereka tumpahkan.

Rentetan tragedi itu, rusuhan berlaku secara berterusan selama setahun iaitu dari Januari 1999 sehingga awal tahun 2000. Rusuhan ini begitu teruk sehinggakan perintah berkurung terpaksa diisytiharkan dan angkatan bersenjata terpaksa dikerah bagi meredakan keadaan. Walau bagaimanapun, perasaan benci semakin menebal di antara kedua-dua kaum. Masyarakat Dayak yang sememangnya tidak menyukai kaum Madura turut membantu kaum Melayu Sambas memerangi amukan kaum Madura.

Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya
Rusuhan di Sambas sekitar tahun 1999-2000
Sumber : Boombastis.com

Rusuhan tersebut telah mengakibatkan banyak kerugian dan kehilangan nyawa. Seramai 1,189 orang mati terbunuh, 168 cedera parah dan 34 orang cedera ringan manakala kerosakan harta benda melibatkan 3,833 rumah terbakar dan rosak teruk, 12 buah kereta dan 9 motosikal dibakar, 8 buah masjid dibakar dan 2 buah sekolah rosak teruk.

Namun demikian, pihak berkuasa yang dikerahkan juga tidak mampu melaksanakan langkah-langkah pencegahan rusuhan, apatah lagi meleraikan terus rusuhan sepanjang tahun itu. Namun demikian, pihak berkuasa berjaya membuat tangkapan untuk rusuhan tersebut. Hasil tangkapan melibatkan 208 orang tertuduh, namun demikian hanya 59 orang sahaja yang dihadapkan ke muka pengadilan.

Penduduk Madura akhirnya diusir ke Pontianak dan Singkawang

Akhirnya, 29,823 penduduk kaum Madura di Sambas, tidak kiralah sama ada lelaki atau perempuan, orang muda hinggalah ke orang tua diusir keluar dari Sambas ke Kotamadya Pontianak dan Kota Singkawang. Sehingga kini, mereka dikhabarkan tidak dibenarkan kembali semula ke Sambas ekoran tentangan keras penduduk Melayu di sana yang trauma dengan tragedi tersebut.

Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya
Penduduk Madura yang diusir keluar dari Sambas
Sumber : Boombastis.com

Tugu Ketupat Berdarah dibina bagi memperingati mangsa korban tragedi

Hari ini, jika anda berkunjung ke Sambas iaitu di Kampung Parit Setia, anda akan melihat sebuah tugu yang dinamakan sebagai Tugu Ketupat Berdarah. Tugu ini didirikan bagi memperingati 3 mangsa yang terkorban semasa rusuhan di pagi Syawal tahun 1999 dengan 3 tangan memegang sebuah ketupat yang menitis darah. Mangsa yang terbunuh adalah Wasli Bikran, Ayub Tahir dan Mahli Azis.

Tragedi Ketupat Berdarah Sambas 1999, Peristiwa Hitam Perkauman Di Pagi Raya
Sumber : FB Jawai Pariwisata

Tugu tersebut kekal sehingga ke hari ini untuk tatapan generasi akan datang. Melalui peristiwa ini juga, apa yang boleh dijadikan pengajaran adalah kita haruslah bersikap tolak ansur dan membuat penilaian yang rasional sebelum membuat sesuatu keputusan dan tidak bertindak melulu sepertimana kaum Melayu Sambas mencederakan pemuda Madura yang dituduh mencuri.

Bukan itu sahaja, sikap saling hormat menghormati budaya dan adat sesebuah masyarakat juga harus diterapkan dalam diri apatah lagi jika kita berada dalam suasana hidup masyarakat yang berbilang agama dan bangsa. Perbuatan meminum arak, mabuk dan mengganggu penduduk lain sepertimana yang dilakukan oleh pemuda Madura itu juga adalah sesuatu yang tidak elok, apatah lagi ia dilakukan pada bulan Ramadan, bulan yang dianggap suci dan mulia oleh penduduk Muslim di kawasan Sambas.

Baca juga artikel tentang Pontianak, bandar di Kalimantan Barat ini :

Kongsi Artikel Ini
Facebook Whatsapp Whatsapp Telegram
Previous Article TERKINI: Sarawak Catat 1 Kluster Baru Hari Ini, Dipercayai Berpunca Daripada Aktiviti Perkumpulan Keagamaan
Next Article Sarawak FC Baham Perak 3-0, Duduki Tangga Pertama Liga Perdana Setakat Ini

Advertorial

Grab 5-Star Eats Himpunkan Restoran Pilihan Rakyat Malaysia Untuk Pengalaman Makan Macam Orang Lokal
Cerita Borneo
Bukan Sekadar Iklan Biasa, Grab Bawa 5 Jenama Ini Terus Ke Rumah Anda Di Pesta Menuai Ini
Cerita Borneo
Ini Cara Mudah Bonding Dengan Anak Anda di Meja Makan Hujung Minggu Ini
Cerita Borneo
GrabCar Saver Solusi Tambang Jimat, Rahsia ‘Survival’ di Bandar Besar di Borneo
Cerita Borneo
Ikuti Kami
A Part Of Borneo Digital
  • Polisi Kerahsiaan
  • Terma Dan Syarat
Welcome Back!

Sign in to your account

Username or Email Address
Password

Lost your password?