Misteri ‘4 jari’ terjawab, Sabah alami tunggakan gaji sejak Mac
Pemain Tunjuk Isyarat 4 Jari, Sekali Lagi Sabah FC Berdepan Isu Tunggakan Gaji. Isu tunggakan gaji kembali menghantui Sabah FC, menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong setia mereka.
Kebimbangan ini muncul selepas beberapa pemain utama seperti Farhan Roslan dan Saddil Ramdani menunjukkan isyarat empat jari selepas kemenangan mereka menundukkan PSIS Semarang 2-1 dalam aksi RCTI Premium Sports di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia pada Ahad lepas.

Pemain Tunjuk Isyarat 4 Jari, Sekali Lagi Sabah FC Berdepan Isu Tunggakan Gaji
Isyarat tersebut segera mencetuskan spekulasi dalam kalangan penyokong yang ingin mengetahui situasi sebenar kewangan pasukan Sabah FC. Menurut sumber terdekat, pasukan tersebut telah mengalami masalah tunggakan gaji sejak Mac lalu. Dikatakan bahawa dana penajaan sebanyak RM6 juta yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan pasukan sepanjang tahun telah habis digunakan pada awal tahun ini.
“Sabah mengalami tunggakan gaji sejak Mac. Penaja RM6 juta perlu ditanya kepada pihak pengurusan kerana RM6 juta perbelanjaan hanya untuk bulan Januari dan Februari sahaja. Ada lagi 11 bulan untuk Sabah terus bersaing dalam liga,” kata sumber tersebut kepada media tempatan.
Laporan terdahulu menyebut bahawa Sabah FC menghadapi masalah ini kerana kesukaran mendapatkan penaja. Walaupun demikian, isu tersebut tidak dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
Namun begitu, masalah kewangan ini tidak menghalang prestasi cemerlang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee. Mereka masih berada di kedudukan ketiga Liga Super 2023 dan menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam Piala AFC dengan melayakkan diri ke peringkat kalah mati, satu pencapaian yang amat diraikan oleh ramai.
