Bekas isteri hangout pun nak panas?
Ugut Tetak Bekas Isteri Dan Rakan Kerana Kerap Keluar, Lelaki Sabah Ditahan. Begitulah amarah seorang lelaki berusia 36 tahun yang membawa kepada penangkapannya pada 21 Januari lalu. Niat jahatnya terbongkar apabila dia ditahan polis berhampiran sebuah gerai makan di Jalan Chen Fook, Tawau pada pukul 4:20 petang, lapor Harian Metro.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, kejadian bermula pada malam Jumaat, 17 Januari, apabila suspek menelefon seorang wanita berusia 31 tahun sekitar jam 10 malam. Dalam perbualan panas itu, suspek meluahkan rasa marah terhadap mangsa yang sering keluar bersama bekas isterinya tanpa kebenaran.

“Semasa panggilan tersebut, suspek mengugut untuk menetak mangsa dan bekas isterinya. Mangsa yang bimbang dengan ugutan suspek kemudian membuat laporan polis,” kata Jasmin, menurut laporan media tempatan.
Rupa-rupanya Ada Rekod Lama
Hasil siasatan mendedahkan bahawa suspek bukan ‘orang baru’ dalam dunia jenayah. Dia mempunyai dua rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan pernah ditangkap atas kesalahan pencerobohan.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan. Setakat ini, suspek ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Moral cerita?
Jangan main ugut-ugut kalau tak nak masuk lokap, terutama kalau hati masih tak reda dengan cerita lama. Untuk yang lain, stay safe dan jangan lupa lapor kepada pihak berkuasa kalau berdepan situasi macam ni.

