Sudah pasti meriah menjelang musim perayaan
5 Perkara Menarik Tentang Sambutan Hari Raya Di Sarawak. Suasana di Sarawak sememangnya meriah menjelang setiap musim perayaan seperti tujuh hari beraya masih memakai baju kurung untuk perempuan dan baju melayu untuk lelaki. Sudah menjadi kebiasaan untuk masyarakat majmuk di sini menyambut pelbagai perayaan bersama.
1. Kelupis
Ketupat lemang merupakan makanan ruji semasa Hari Raya di Semenanjung. Manakala, kelupis merupakan hidangan popular di Sarawak.
Rasanya sama seperti ketupat pulut, tetapi ia lebih lembut, berkanji dan lebih manis. Selalunya kelupis akan dihidangkan bersama rendang, kari, sekaya dan telur.
Ini adalah hidangan tradisional Borneo kerana selain orang Melayu, orang Iban juga menyediakan kelupis dan ketupat pada hari perayaan mereka iaitu Hari Gawai.
2. Air Soda lemoned dan Sundrop
Semasa sambutan Hari Raya, kedua-dua air ini sangat popular untuk dihidangkan kepada tetamu. Air soda atau ‘lemenet’ dalam botol hitam sering dihasilkan di Sibu dan Kuching serta ia popular di kalangan orang Melayu yang ingin mengimbau suasana klasik dan malar hijau (evergreen) sambutan Hari Raya.
Sundrop adalah alternatif kepada air Lemenet untuk tetamu yang tidak mahu mengambil air berkarbonat. Sundrop ialah air oren yang dihasilkan dari produk tempatan.
3. Baju Melayu
Semasa Hari Raya, berbaju Melayu adalah sangat bergaya atau ‘trendy’ di Sarawak. Ada juga yang berpakaian Melayu sehingga Hari Raya ke-7. Mereka akan memakai baju berwarna berbeza mengikut tema masing-masing. Hari raya pertama mungkin hijau, keesokan harinya merah, dan lusa mungkin kuning. Malah, baju melayu tahun lepas akan dipakai Kembali sebagai penaik seri.
Bukan itu sahaja, malah pada Hari Raya keempat atau seterusnya, anak-anak muda makan di McDonald’s sambil masih berpakaian Melayu serta bersongkok.
Bukan sahaja dipakai orang Melayu, malah orang Iban dan Bidayuh turut memakai baju Melayu atau baju kurung semasa menziarahi rumah kawan-kawan untuk beraya. Bahkan, baju Melayu sulam cabut dan ‘simo’ menjadi satu kebanggaan Melayu Sarawak memakainya.
4. Bertuntong
Orang di Semenanjung ramai meletakkan panjut atau pelita di kampung mereka. Manakala, di Kampung Sarawak pula akan memasang mandong atau bertuntong.
Idea ini serupa dengan menggunakan lampu pelita minyak. Cuma, kalau bertuntong mereka akan memasangnya di pintu gerbang masuk ke kampung. Malah ada wakil rakyat yang menyediakan dana kepada masyarakat supaya dapat mendirikan pintu gerbang dan dipertandingkan.
5. Selama 7 hari kemeriahan dirasai
Hari Raya adalah perayaan yang sangat meriah di Sarawak. Sambutan yang dirasai berlangsung selama tujuh hari.
Realitinya, aktiviti rumah terbuka sentiasa diadakan, malah apabila Syawal sudah hampir seminggu, tetamu tetap berkunjung walaupun sudah lewat malam. Bahkan, pejabat sesebuah syarikat turut dihiasi, dan diadakan majlis perayaan.
Untuk menyambut tetamu, tetamu dan tuan rumah sentiasa berpakaian lengkap berbaju Melayu bersamping dan berbaju kurung.