Tahniah Bonnie!
Atlet Paralimpik Sarawak, Bonnie Bunyau Rangkul Pingat Emas Kejohanan Angkat Berat Para Dunia 2021. Setelah kejayaan Pandelela merangkul kejuaraan piala dunia FINA minggu lalu, arena sukan negara sekali dihadiahkan dengan kilauan pingat emas piala dunia apabila atlet paralimpik Malaysia, Bonnie Bunyau Gustin memenangi kejohanan tersebut.
Bonnie yang merupakan atlet paralimpik yang berasal dari Kuching, Sarawak telah mengulangi kejayaan yang diperolehinya dua tahun lalu di kejohanan sama yang berlangsung di Nur-Sultan, Kazakhstan.
Bonnie pecah rekod lagi
Untuk edisi 2021, Bonnie telah berjaya meraih pingat emas dengan angkatan seberat 226 kilogram dalam kategori lelaki di atas 72 kilogram. Angkatan ini sekaligus memperbaiki rekod terbaik peribadinya iaitu 207 kilogram yang dibuat semasa Kejohanan Angkat Berat Para 2019 di Kazakhstan.
Kejohanan angkat berat para yang berlangsung di Bangkok, Thailand tahun ini turut menyaksikan pemenang pingat emas Paralimpik London 2012, Nader Moradi dari Iran meraih pingat perak dengan angkatan 204 kilogram manakala atlet dari Kazakhstan, Alexandr Daskov berjaya memenangi pingat gangsa dengan angkatan 140 kilogram.
Peluang cerah rangkul pingat di Paralimpik Tokyo 2021
Susulan kejayaan Bonnie, jurulatihnya, Jamil Adam memberitahu bahawa Bonnie berada di landasan yang tepat untuk menyajikan aksi terbaik di Sukan Paralimpik Tokyo pada 24 Ogos kelak. Tambah beliau, Bonnie juga mempamerkan prestasi yang lebih baik daripada kejohanan-kejohanan sebelum ini.
Anak kelahiran Sarawak yang berusia 22 tahun ini juga kini menduduki kedudukan pertama untuk Paralimpik Tokyo dalam acara angkat berat kategori atas 72 kilogram. Walau bagaimanapun, kedudukan pertama yang terakhir akan dikemaskini semula selepas kejohanan Piala Dunia Angkat Berat Para Fazza Dubai Ke-11, bulan depan.
Pencapaian cemerlang atlet angkat berat Sarawak di pentas dunia
Dalam kejohanan tersebut, tiga lagi atlet lain yang berasal dari Sarawak turut menghadiahkan pingat dalam kategori masing-masing.
Bibiana Ahmad turut merangkul pingat emas sekaligus memperbaiki catatan peribadinya iaitu daripada 70 kg kepada 80 kg dalam kategori wanita atas 67 kilogram. Bibiana merupakan satu-satunya atlet yang mengambil bahagian dalam acara tersebut. Sementara itu, atlet paralimpik lelaki kategori atas 88 kg, Nicodemus Manggoi Moses turut merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 190 kg manakala Sona Agan, atlet angkat berat wanita bawah 73 kilogram memecahkan rekod peribadinya dengan mengangkat berat sebanyak 90 kilogram tetapi hanya sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.
Malaysia berada di tangga ketiga kejuaraan tersebut secara keseluruhannya.
Bonnie atlet elit luar biasa
Bonnie mengejutkan atlet angkat berat paralimpik dunia pada tahun 2019 apabila beliau berjaya memperolehi 2 kejuaraan angkat berat (gelaran junior dan utama) mengalahkan juara paralimpik dunia, Paul Kehinde dan Liu Lei. Bukan itu sahaja, pencapaian luar biasa Bonnie telah pun bermula sejak tahun 2017 apabila beliau berjaya memecahkan rekod dunia remaja pada usia 17 tahun.
Berikut merupakan biodata dan sedikit sebanyak pencapaian sukan atlet angkat berat Paralimpik Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin.
- Nama penuh : Bonnie Bunyau anak Gustin
- Jenis kelainan upaya : Bantut sejak lahir
- Asal : Kuching, Sarawak
- Ahli keluarga : Gustin anak Jenang (bapa-atlet angkat berat paralimpik Malaysia), Bryan Junency Anak Gustin (abang-atlet angkat berat paralimpik Malaysia)
Pencapaian angkat berat paralimpik Bonnie
2017
- Penampilan pertama di pentas antarabangsa. Memenangi pingat emas dalam kategori remaja lelaki 65 kg Kejohanan Angkat Berat IPC Remaja Dunia, Dubai dengan angkatan 141 kg.
- Memecahkan rekod peribadi serta rekod kejohanan seberat 127 kg milik atlet Iran, Amir Sajjad Youssefi Zadeh pada 2014.
- Pingat emas World Para Powerlifting Junior Championships di Mexico. Cipta rekod baru (156 kg) daripada rekod asal kejohanan kategori lelaki 65 kg seberat 145 kg.
2018
- Pingat emas World Para Powerlifting World Cup in Dubai. Rekod baharu seberat 157 kg dicipta memadamkan rekod dunia peribadinya di Mexico.
- Pingat emas kategori junior lelaki 65 kg Para Powerlifting Asia-Oceania Open Championships, Kitakyushu, Jepun. Cipta rekod baharu kejohanan seberat 180 kg, memadamkan rekod 157 kg di Dubai.
- Pingat emas Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Perak dengan angkatan seberat 170 kg. Rekod baharu kejohanan.
- Pingat perak Sukan Para Asia Indonesia 2018 dengan angkatan berat 204 kg.
2019
- Pingat emas kategori lelaki junior bawah 65 kg World Para Powerlifting Championship, Nur-Sultan, Kazakhstan.
- Pingat emas kategori lelaki atas 65 kg World Para Powerlifting Championship, Nur-Sultan, Kazakhstan dengan angkatan seberat 207 kg.
- Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik, Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS
2021
- Pingat emas kategori lelaki atas 72 kg Kejohanan Angkat Berat Para Bangkok, Thailand 2021. Cipta rekod peribadi baharu dengan angkatan seberat 226 kg berbanding 207 kg di Kazakhstan 2019.
- Layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2021.