Amboi netizen, kalau bab membahan memang nombor satu.
Dakwa Pekerja Mesti Ada ‘Kabel’, Netizen Bahan Syarikat Gergasi Sarawak Ini. Ramai pencari kerja di luar sana yang kini sedang mencari pekerjaan. Apatah lagi mereka yang baru bergraduat. Memang tidak dinafikan, perjuangan ini kadang kala amat memenatkan dan sangat perih.
Namun, kalau ada yang dapat kerja sebab ‘kabel’, itu memang bikin panas hati. Baru-baru ini, ada pula satu cerita kurang enak berkaitan ‘kabel‘.
Menerusi sebuah hantaran di laman Facebook rasminya, syarikat gergasi Sarawak ini memuat naik sebuah foto para pekerjanya dengan kapsyen yang lazim dimuat naik oleh mana-mana syarikat korporat.
Dalam hantaran yang sama, syarikat tersebut turut mengajak orang ramai yang berkelayakan dan berminat untuk mengisi jawatan kosong di laman sesawang mereka.
Netizen dakwa nak kerja syarikat ini mesti ada ‘family’
Namun, entah bagaimana, netizen pula tiba-tiba menjadikan hantaran foto ini sebagai bahan jenaka. Rata-ratanya mengaitkan syarikat ini dengan sindiran yang mengandungi perkataan ‘keluarga’, ‘family’ dan yang paling suss iaitu ‘kabel’.
Istilah ‘kabel’ dalam kalangan masyarakat Malaysia ini sudah tidak asing lagi. Terutamanya semasa pencarian kerja. Istilah ‘kabel’ bermaksud orang berjawatan tinggi, atau individu dalam organisasi yang berkait rapat dengan si pencari kerja.
Seseorang yang mendapat pekerjaan di sesebuah syarikat atau organisasi dengan bantuan tangan ghaib ini sering disebut sebagai ‘kabel kencang’, meskipun terdapat calon lain yang lebih layak dan sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan.
Menurut netizen, syarikat gergasi ini didakwa mengamalkan pengambilan pekerja berpandukan ‘kabel’ atau pekerja yang sudah berada di dalam organisasi itu. Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihan dakwaan ini.
Lebih 1,000 komen berbaur sinis dilayangkan di ruangan komen hantaran syarikat berkenaan
Netizen nyata menempiaskan sindiran sinis mereka ke atas syarikat ini di ruangan komen mereka. Sehingga kini, hantaran berkenaan telah tular dan meraih lebih daripada 3,400 shares.
Ada juga yang menceritakan pengalaman rakan mereka yang memohon pekerjaan di syarikat berkenaan dan tidak diterima meskipun memiliki kelulusan yang berkaitan serta pengalaman yang luas. Apakan daya.
Setakat ini, semua dakwaan ini hanyalah ura-ura dan cakap-cakap daripada netizen. Kepada syarikat-syarikat di luar sana, harap korang berlaku adil kepada para pencari kerja yang benar-benar berkelayakan dan ikhlas ingin mencurah bakti. Barulah negara kita ini bebas daripada diskriminasi dan boleh membangun, betul tak?