Fenomena Unik di Banjaran Crocker
Pemuda Kongsi Fenomena Graviti Terbalik Di Keningau Bikin Kagum Netizen. Fenomena yang ditunjukkan oleh pengguna TikTok @famyaziz ini sememangnya menarik perhatian ramai. Beliau memperkenalkan satu kawasan yang unik di Keningau, Sabah, yang dikenali sebagai Bukit Puji Tuhan, di mana fenomena “graviti terbalik” berlaku.
Dalam video tersebut, beliau menunjukkan bagaimana sebotol air yang sepatutnya menurun ke bawah di kawasan berkenaan, sebaliknya “bergerak” ke arah bertentangan—iaitu naik ke atas bukannya menurun.

Bukit Graviti Terbalik di Banjaran Crocker, Sabah
Fenomena seperti ini bukan sahaja terdapat di Keningau, malah terdapat beberapa lokasi lain di dunia yang memiliki tarikan serupa. Biasanya dikenali sebagai “misteri graviti terbalik” atau “gravity hill,” fenomena ini mencetuskan perasaan kagum dan rasa ingin tahu dalam kalangan pengunjung. Orang ramai menyaksikan objek—termasuklah botol atau kereta—bergerak ke atas di tempat-tempat seperti ini, meskipun secara logiknya, ia sepatutnya menuruni bukit
Namun, daripada sudut sains, ini hanyalah ilusi optik. Kawasan persekitaran yang miring dan sudut pandang tertentu di jalan tersebut membuatkan kita rasa seperti permukaan menurun, tetapi hakikatnya ia adalah cerun ke atas yang sangat halus. Disebabkan ilusi ini, objek yang dilihat “menentang graviti” sebenarnya hanya bergerak ke bawah di cerun yang sangat ringan. Kesannya menyebabkan kita merasa seolah-olah graviti tidak bertindak dengan cara yang biasa.
Video TikTok ini telah mencapai lebih daripada 553,000 tontonan dengan ribuan tanda suka dan komen, menunjukkan betapa ramainya orang yang teruja dengan fenomena ini. Pelbagai komen menyatakan minat untuk datang ke Banjaran Crocker dan menyaksikan sendiri “keajaiban” Bukit Puji Tuhan ini.
Dengan populariti yang meningkat menerusi platform media sosial, Bukit Puji Tuhan berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan di Keningau. Para pengunjung yang tertarik untuk menyaksikan fenomena ini pasti akan dapat pengalaman yang unik dan menambah senarai tempat menarik di Sabah.

