Tokoh Pendidik Sabah Bangkitkan Nama Malaysia di Persada Dunia
Tiga Guru Dari Sabah Ini Terpilih Jadi Finalis Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024. Tiga guru dari Sabah, Sydney Engelbert Ganggang dari Kolej Vokasional Keningau, Stefanus Lucas dari SK Pendidikan Khas Tuaran dan Jennedy Pungawon dari SMK Langkon, Kota Marudu, telah berjaya disenaraipendekkan sebagai finalis bagi anugerah berprestij Cambridge Dedicated Teacher Awards 2024.
Mereka berada dalam kalangan 90 orang calon daripada seluruh dunia yang terpilih daripada 14,800 pencalonan yang diterima dari 141 buah negara.
Tiga Guru Dari Sabah Ini Terpilih Jadi Finalis Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024
Sydney Engelbert Ganggang dipilih berdasarkan sumbangannya dalam bidang pendidikan melalui penubuhan program pengantarabangsaan melalui dunia maya dengan sekolah-sekolah di rantau Asia Tenggara. Usaha beliau untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran para pelajar telah membawa kepada pengasasan program kelas pertukaran dalam talian pada tahun 2022 dengan beberapa sekolah vokasional di Filipina, Kemboja, dan Indonesia.
Program selama tiga bulan setiap tahun itu melibatkan 112 pelajar dari empat negara dengan 45 orang pelajar daripada Kolej Vokasional Keningau pada tahun pertama. Pada tahun berikutnya, bilangan itu meningkat kepada 252 pelajar dengan 70 daripadanya dari sekolah Sydney. Program ini telah membolehkan pelajar-pelajar meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris, berkomunikasi, kefahaman budaya, dan mempelajari topik-topik baharu. Malah, salah seorang pelajar berjaya mengetuai kelas induk dalam talian secara bersiri bersama guru-guru dari luar negara terutamanya dari Eropah dan Afrika.
Sementara itu, Stefanus Lucas merupakan guru muzik yang inovatif yang mengamalkan prinsip ‘Fokus kepada kebolehan, bukan kekurangan’ dalam pengajarannya kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas. Beliau merintis projek ‘Suara Kami @ Our Voices’ yang memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi dan persembahan, memupuk keyakinan pelajar untuk mengekspresikan diri.
Bagi merapatkan jurang untuk pelajar yang mengalami masalah penglihatan, Stefanus juga mencipta alat bantuan pengajaran daripada bahan terpakai seperti bakul telor bagi memudahkan pembelajaran not muzik dengan lebih menarik dan mudah diakses. Kumpulan muzik sekolah tersebut telah meraih pelbagai anugerah seperti Diploma Perak dari Kejohanan Folklore Eropah Ke-14 ‘Euro Folk 2022’ dan johan dalam Pertandingan Muzik Antarabangsa Dunia USA pada 2021.
Jennedy Pungawon atau mesra dipanggil Cikgu Ned pula berjaya tersenarai pendek hasil sumbangannya dalam membentuk murid-muridnya menjadi insan yang lebih yakin. Beliau membantu mengatasi masalah kerisauan sosial dalam kalangan murid-muridnya dengan memberikan peluang seperti pertandingan berucap awam. Termasuk seorang bekas muridnya yang berjaya menjadi johan peringkat daerah dan menduduki kedudukan lima teratas di Sabah dalam pertandingan tersebut hasil bimbingan Cikgu Ned.
Ketiga-tiga guru ini berjaya tersenarai pendek dalam anugerah tersebut berdasarkan sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Kejayaan ini menunjukkan komitmen guru-guru Malaysia dalam mendidik generasi akan datang dengan ilmu dan nilai murni.