Program tersebut dijangka bermula pada bulan Julai jika keadaan bertambah baik
Jepun Rancang Belanja RM60 Billion Untuk Bayar Sebahagian Kos Melancong. Data baru yang dikeluarkan nyata memberi tamparan hebat buat sektor pelancongan di Jepun apabila kedatangan pelancong menurun 99.9% pada bulan April.
Jumlah tersebut juga adalah jumlah paling teruk yang pernah dicatatkan semenjak Jepun mula merekodkan statistik kedatangan pelancong pada tahun 1964.
Kejatuhan jumlah pelancong pada bulan April ini juga merupakan kejatuhan bulan ketujuh secara berturut turut sejak bulan Oktober 2019 selepas beberapa isu seperti taufan dan juga kejatuhan pengunjung dari negara Korea.
Kerajaan Jepun Rancang Untuk Berbelanja Sebanyak RM60 Billion
Kerajaan Jepun kini merancang untuk menggalakkan sektor pelancongan tempatan dengan memberi subsidi perbelanjaan pelancongan sekiranya pandemik ini berjaya dikawal.
Difahamkan juga, perbelanjaan sebanyak RM60 billion itu dijangka bermula seawal bulan Julai 2020 menurut, Hiroshi Tabata Ketua Agensi yang menguruskan program tersebut.
Jepun mengembangkan sekatan perjalanan pada awal bulan April 2020 dan menghalang kemasukan warganegara dari 70 buah negara dari seluruh dunia termasuk China, Korea Selatan Amerika Syarikat dan juga kebanyakan negara Eropah.
Jepun mengenakan sekatan perjalanan sama juga seperti negara negara lain iaitu bagi mengelakkan penyebaran wabak yang kini telah dikesan di lebih 100 buah negara di seluruh dunia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelancong dari luar negara merupakan satu sektor yang berkembang pesat di Jepun, walaupun ekonomi mereka pada keseluruhannya sudah lama mendatar.
Namun begitu, kerana pandemik yang melanda sejak beberapa bulan yang lepas, Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan tahun ini juga telah ditangguhkan, mengakibatkan sektor pelancongan tersebut terjejas.