Walaupun tiada kemeriahan seperti tahun tahun biasa, ada juga sudut positifnya jua
Hari Raya Aidilfitri Paling Sederhana Dalam Sejarah, Ada Baiknya Jua. Tanpa kita sedari, 30 hari dalam Ramadhan pun telah meninggalkan kita. Begitu pantas rasanya apatah lagi dengan kehidupan harian kita yang sentiasa bertanya ‘ berapa kes positif baharu hari ini? ‘.
Itulah norma baharu kita sehingga mungkin adanya vaksin yang ditemui, dan setelah vaksin itu pula sampai ke setiap badan manusia yang masih bernyawa di dunia ketika itu.
Hari Raya Aidilftri tahun ini semestinya menjadi sambutan yang paling sederhana dalam sejarah hidup kita semua. Bukan kerana tiada gelak tawa ahli keluarga, namun dengan cara kita menyambutnya.
Tiada pembaziran, tiada menunjuk-nunjuk
Saban tahun, perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri disalahgunakan oleh sesetengah individu untuk pelbagai tujuan. Ada yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga, ada yang berhias dengan niat menunjuk nunjuk dan ada juga yang menjadikan sambutan ini sebagai satu medium untuk mencari publisiti.
Tidak kurang juga yang berbelanja melebihi kemampuan, sehinggakan ketiadaan bonus atau bantuan khas ketika perayaan boleh ‘menjejaskan’ sambutan mereka.
Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 yang bermaksud :
“Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing. Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Sebenarnya kita menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah bertujuan untuk meraikan kemenangan kita yang telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Perkara ini juga pernah diingatkan oleh Nor Hartini binti Saari dalam satu tulisan beliau di dalam Utusan Malaysia 9 tahun dahulu.
Antara perkara yang diingatkan beliau adalah seperti berikut :
“Dalam hal ini Islam menggariskan panduan tentang cara bagaimana kita meraikan Hari Raya agar semua yang kita lakukan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.”
“Misalnya,di malam hari raya kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah melaungkan kalimah-kalimah takbir, tahmid, bersolat tasbih, berdoa, berzikir dan sebagainya. Kerana itu, janganlah kita merayakan malam hari raya tersebut dengan membazirkan wang dengan membakar mercun atau melakukan perkara-perkara yang merugikan diri yang boleh mendatangkan bahaya dan mengganggu ketenteraman orang ramai seperti berlumba di jalan raya dan sebagainya.”
“Manakala di hari raya pula kita disunatkan untuk bersederhana dengan memakai pakaian yang baharu, memakai bau-bauan yang harum, menunaikan sembahyang sunat hari raya dan diikuti dengan amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai sambil bermaaf-maafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.”
“Dalam masa yang sama kita juga digalakkan untuk bersederhana terutama dalam menjamu selera. Kita hendaklah berpada-pada dalam menjamah hidangan yang disediakan di rumah terbuka dan makan sekadar yang perlu dengan keperluan diri sahaja. Begitu juga sebagai tuan rumah kita juga perlu merancang apakah menu hidangan yang sesuai kepada tetamu agar hidangan tersebut tidak terlalu banyak sehingga berlaku pembaziran yang dibenci oleh Allah SWT.”
Mengharungi masa hadapan yang lebih decentralised
Dugaan yang kita hadapi tahun ini juga secara tidak langsung memberi gambaran tentang masa depan kita yang lebih decentralised . Norma norma baharu yang terutamanya menggalakan penjarakan sosial semestinya akan ‘menghalang’ kita dari melakukan apa apa aktiviti dengan jumlah manusia yang ramai.
Begitu juga dengan perniagaan, lebih sukar untuk mengendalikan perniagaan yang besar buat masa sekarang berbanding daripada mengendalikan perniagaan dalam skala yang lebih kecil. Dalam pada masa yang sama, muncul juga peluang baharu untuk peniaga yang berani mendepani masa dengan beralih kepada solusi secara atas talian bagi memasarkan barangan mereka.
Jika kebiasaanya, bulan ramadhan dan hari raya akan meriah dengan persiapan umpama ‘pesta tahunan’, tahun ini juga kita lihat bagaimana semuanya ‘distrupted‘. Usahawan dicabar untuk berfikir cara lain untuk memasarkan barangan mereka. Pengguna pula, diajar untuk lebih berjimat cermat dan berbelanja sederhana juga dalam outlook ekonomi global yang tidak menentu.
Mungkin masa untuk teruskan besederhana dalam kehidupan
Dugaan yang kita tempuhi ini juga, mungkin satu peringatan agar kita lebih besederhana dalam kehidupan. Tiada lagi percutian ke luar negara yang bakal memenuhi timeline media sosial, tiada lagi gambar buffet mahal di hotel dan tiada lagi majlis sambutan hari jadi berskala besar yang boleh dimegahkan dengan niat untuk ‘memberi semangat’ kepada orang lain.
Mungkin juga, ini merupakan satu cabaran kepada kita untuk lebih membantu ekonomi tempatan seperti melakukan pelancongan domestik, membeli barangan buatan tempatan dan juga lebih membantu peniaga kecil kecilan yang berniaga secara atas talian.
Tiada juga pembaziran dana kerajaan hanya untuk menghadiri ‘meeting’ yang sebenarnya boleh sahaja diselesaikan dengan video conferencing tanpa perlu mengambil penerbangan ke destinasi tersebut hanya untuk merasa karipap dan air teh dihidangkan di atas meja.
Bagi yang berjauhan pula, mungkin inilah masanya di mana teknologi memainkan peranan penting dalam menghubungkan anda dengan insan yang tersayang. Dengan masa depan dunia penerbangan yang meramalkan tiket semakin mahal dan juga pelbagai kekangan seperti kuarantin 14 hari dan sebagainya, pasti lebih sukar bertemu secara fizikal selepas ini.
Hari Raya Aidilfitri kali ini, mungkin detik permulaan bagi kita menginsafi diri dan merenung kembali keperluan untuk kita besederhana dalam kehidupan.