Dikatakan etnik Kejaman ini berasal daripada Belaga
Kenali Suku Kaum Kejaman Sebuah Etnik Minoriti Di Sarawak. Suku kaum Kejaman adalah satu daripada kaum etnik yang sudah lama menetap di negeri Sarawak. Bukan saja orang luar, penduduk Sarawak juga pastinya tidak pernah tahu wujudnya kaum ini. Kaum Kejaman ini hanya boleh ditemui di bumi Sarawak.

Kaum ini boleh didapati di sebuah perkampungan kaum kecil di daerah Belaga, di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di Hulu Sungai Rajang yang merupakan sungai terpanjang di negara ini, menghala ke Bakun.
Etnik Kejaman merupakan sub etnik suku kaum Kajang
Kejaman ialah salah satu etnik kecil di Belaga yang bernaung di bawah masyarakat Kajang bersama beberapa suku etnik kecil lain iaitu Punan, Sekapan, Lahanan dan Sihan. Mereka membuka dua perkampungan di Hulu Sungai Rajang dengan jumlah penduduk lebih kurang 1,300 orang.
Berpecah kepada dua perkampungan iaitu di Rumah Panjang Kejaman Long Segaham dan Long Litten akibat krisis peperangan antara kaum pada kurun ke-18, masyarakat itu hanya boleh ditemui jauh di hulu Belaga selepas melalui pelbagai kesukaran untuk ke perkampungan mereka.

Keunikan kaum itu bukan sekadar namanya yang pelik, malah apabila diselami budaya serta cara hidup masyarakat hulu itu, mereka lebih selesa tinggal jauh daripada kemudahan asas yang dinikmati orang lain serta turut sukar untuk ke bandar atau pekan berhampiran, Belaga atau Bintulu.
Etnik ini masih boleh dijumpai di Belaga
Untuk membongkar misteri etnik ini memerlukan perjalanan selama tiga jam dengan bot ke pekan Belaga atau menaiki pacuan empat roda melalui laluan hutan balak dengan liku perjalanan menyukarkan, penduduk Kejaman rela terus hidup dengan cara tersendiri, bergantung harap kepada hasil hutan dan sungai untuk meneruskan kehidupan serba mencabar.
Meskipun namanya seakan-akan memberi gambaran masyarakat itu memiliki sifat kejam, realiti sebenarnya masyarakat Kejaman kaya dengan budi bahasa. Mereka mengekalkan keunikan budaya.

Dengan mengekalkan cara hidup perkampungan rumah panjang di samping mempertahankan budaya turun temurun, menjadikan masyarakat itu sangat unik.
Namun, kesukaran mengunjungi perkampungan mereka menyebabkan etnik itu sukar didekati. Ketiadaan kemudahan pengangkutan selain jarak yang sangat jauh menjadi masalah utama kepada masyarakat luar untuk menemui mereka. Hanya ada tiga pilihan. Pacuan empat roda dan bot panjang dari Bintulu atau bot ekspres Sibu ke Bakun.