Tingkatkan kesedaran anda.
Ketahui 3 Jenis Gangguan Seksual Atas Talian Dan Langkah Mengatasinya. Gangguan seksual bukan sahaja terhad kepada gangguan secara fizikal tetapi juga gangguan secara atas talian. Memandangkan medium komunikasi untuk kita berhubung di seluruh dunia kini beralih ke platform media sosial dan atas talian, isu gangguan seksual ini juga semakin berleluasa.
Melalui kiriman di Facebook Sarawak Women for Women Society, mereka telah memberikan beberapa contoh gangguan seksual dan bagaimana untuk membendung perkara tersebut daripada semakin berleluasa.
1. Catfishing
Catfishing ialah fenomena di mana seseorang individu menyamar menjadi individu lain di laman media sosial atau platform internet yang lain. Mereka memperdaya mangsa untuk terjebak dengan hubungan romantik atau hubungan emosi dengan menipu tentang maklumat diri, dan menggunakan identiti orang lain serta lingkungan sosial mereka. Biasanya perkara ini berlaku untuk jangka masa yang lama.

Contohnya seperti mencipta nama, gambar profil, usia dan latar belakang sosial yang palsu.
Contoh pendedahan mangsa Catfish boleh anda tonton menerusi sebuah rancangan televisyen ‘Catfish’.
2. Grooming
Aktiviti jenayah yang melibatkan seorang individu dewasa yang berkawan dengan kanak-kanak secara atas talian. Lebih menakutkan, individu seperti ini berkawan dengan kanak-kanak dengan motif untuk melakukan hubungan seksual dengan mereka.
Sebagai contoh, individu yang cuba untuk berkawan atau rapat dengan kanak-kanak atau berbaik dengan ibu bapa mereka agar mereka dapat berkawan dengan anak-anak mereka.

Sumber : Facebook
3. Sexting
Sexting ialah istilah gabungan untuk sex dan text. Ia merupakan satu perlakuan menghantar atau menerima gambar seks, video atau teks lucah menggunakan teknologi seperti khidmat pesanan ringkas, Whatsapp, media sosial, emel dan sebagainya.
Misalnya seperti menghantar gambar bogel di media sosial, menghantar pesanan di inbox atau messages (DM/PM) untuk memulakan perbualan lucah, serta menggunakan peranti teknologi sebagai medium intim.

Anda sentiasa berhak untuk katakan ‘Tidak’ jika diajak
Di zaman yang menggunakan internet sebagai penghubung, kita sepatutnya menjadi pengguna yang lebih bijak kerana individu yang berniat jahat pasti akan menggunakan kesempatan ini untuk kepuasan diri.
Anda sentiasa mempunyai hak untuk berkata ‘Tidak’ dan menolak untuk meneruskan perbualan sekiranya anda menyedari telah diganggu secara seksual semasa berada di atas talian.

Bukan itu sahaja, anda juga berhak meninggalkan perbualan dengan serta merta memadam, block atau menukarkan profil individu tersebut ke mod senyap. Kalau dah cakap baik-baik pun mereka tetap memaksa, jangan takut untuk berbuat demikian.
Langkah mengatasi gangguan seksual atas talian
Ibu bapa : Ajar anak anda kenal pasti pemangsa gangguan seksual atas talian
Kanak-kanak kurang mengerti jika mereka ditipu atau diperalatkan oleh pemangsa ini. Jadi, ia adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak anda tentang perlakuan yang dianggap sebagai gangguan seksual.
Bukan itu sahaja, beritahu mereka bagaimana taktik pemangsa gangguan ini bertindak dan cara untuk mengenal pastinya.

Pasangan : Hormati pasangan anda
Jika anda mempunyai pasangan, tanya terlebih dahulu jika mereka selesa berbual tentang perkara sedemikian. Anda mungkin ingin membuat kejutan untuk mereka namun pertanyaan ini penting bagi membina rasa hormat antara satu sama lain.
Simpan perbualan intim antara anda dan pasangan anda sahaja. Ketahui bahawa perbualan tersebut dihantar kepada anda berasaskan kepercayaan dalam perhubungan anda.

Penyebaran gambar intim tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan dan boleh dihukum. Bahkan, jika anda menyebarkan gambar individu di bawa usia 18 tahun, anda boleh disabitkan kesalahan pornografi kanak-kanak.
Rakan : Beranikan diri untuk menegur mereka
Jika anda melihat rakan anda sedang melakukan gangguan seksual terhadap seseorang, jangan teragak-agak untuk menegur bahawa perkara yang mereka lakukan adalah salah sama sekali.
Beritahu mereka bahawa perkara tersebut tidak baik dan minta mereka agar memadamkan gambar atau teks lucah. Bukan itu sahaja, halang mereka daripada mengkongsikan kembali gambar atau teks tersebut kerana pemilik yang menyebarkannya mungkin berniat jahat atau ingin membalas dendam kepada mangsanya. Secara tidak langsung, anda turut menghalang rakan anda untuk menyakiti orang lain.
Elakkan untuk melihat gambar atau teks lucah sebagai tanda solidariti dan hormat kepada mangsa gangguan seksual. Padam semuanya jika anda menerima mesej lucah.
Marilah kita sama-sama tingkatkan kesedaran tentang gangguan seksual agar pemangsa tidak sewenang-wenangnya memperalatkan anda atau orang sekeliling sebagai pemuas nafsu mereka.