8 Makanan Bawa Tuah Yang Dihidangkan Semasa Tahun Baru Cina Hari Tahun Baru Cina. Tibanya musim perayaan, pasti banyak jenis hidangan yang dimasak bagi menyambut hari istimewa serta untuk ahli keluarganya, terutamanya ahli keluarga yang jarang dapat bercuti dan datang dari jauh.
Bagi masyarakat Cina, juadah yang dijamu sewaktu perayaan Tahun Baru ini juga bukan-bukanlah juadah yang biasa-biasa. Hampir kesemuanya membawa makna yang elok dan paling penting, membawa tuah! Dalam artikel kali ini, kami senaraikan 8 juadah ‘bawa tuah’ yang wajib ada sewaktu sambutan Tahun Baru Cina.
Jom baca sampai habis!
1
Hidangan Ikan
Hidangan ikan kukus adalah salah satu daripada hidangan wajib yang dihidangkan semasa sambutan Tahun Baru Cina. Bagi sesetengah masyarakat Cina terutamanya di kawasan Sungai Yangtze di China, cara memakan juga sangat penting bagi memastikan tahun tersebut dipenuhi dengan kebaikan dan keberuntungan. Contohnya, hidangan ikan mestilah hidangan yang terakhir ditinggalkan bersama sedikit sisa, yang menandakan bahawa terdapat baki di setiap hujung tahun. Bukan itu sahaja, bahagian kepala haruslah dihidangkan menghadap tetamu atau orang yang lebih tua bagi menghormati mereka. Anggota lain hanya boleh menikmati hidangan ikan tersebut setelah tetamu dan orang tua terlebih dahulu menikmati hidangan ikan tersebut. Suasana ini biasanya disambut dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.
2
Yee Sang
Yee Sang adalah sejenis salad dengan hirisan ikan dan sayuran-sayuran berperencah yang ditarik oleh sekumpulan individu yang duduk semeja sewaktu sambutan Tahun Baru Cina. Hidangan ini dianggap bertuah kerana makna di sebalik bahan utamanya. Yusheng atau 鱼生, yusang dalam dialek Kantonis, membawa maksud kekayaan yang melimpah ruah serta umur yang panjang. Bahan-bahan untuk menghasilkan Yee Sang ini berbeza-beza mengikut citarasa masing-masing. Walaupun asal usul sebenar hidangan Yee Sang ini masih menjadi perdebatan antara dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura, namun Malaysia percaya bahawa perbuatan menarik Yee Sang dan resipi moden dengan kombinasi aneka warna ini dimulakan oleh Loke Ching Fatt, seorang lelaki Cina dari Seremban, Negeri Sembilan. Bagi masyarakat Kantonis, Yusheng kebiasaannya dimakan pada hari Renri, hari ketujuh Tahun Baru Cina. Beliau menghidupkan semula resipi Yusheng yang kian dilupakan, mengolah semula resipi dan dijadikan sebagai trademark bagi menaikkan semula perniagaan restorannya selepas zaman penjajahan Jepun.
3
Dumpling Cina
Tahukah anda dumpling mempunyai makna yang berkait rapat dengan kekayaan? Dumpling merupakan hidangan klasik yang turut membawa tuah kepada masyarakat Cina. Menurut legenda, semakin banyak dumpling yang anda makan pada hari Tahun Baru Cina, maka semakin banyak wang yang bakal anda perolehi pada tahun tersebut. Dumpling yang menjadi tradisi dimakan pada Tahun Baru Cina adalah dumpling berinti kobis dan lobak putih, yang menandakan bahawa kulit seseorang akan menjadi cerah. Memakan dumpling dengan inti ini juga dikatakan boleh melembutkan mood seseorang. Dumpling yang hendak dihidang juga hendaklah disusun dalam barisan dan bukannya dalam bentuk bulatan. Hal ini kerana masyarakat Cina percaya bahawa dumpling yang disusun dalam bentuk bulatan menandakan bahawa hidup seseorang tidak akan kemana-mana, seperti mana bulatan yang tidak berpangkal atau bercabang.
4
Popia
Walaupun sudah menjadi makanan yang biasa anda lihat di restoran malah pelbagai perayaan lain di Malaysia, popia sebenarnya merupakan salah satu daripada hidangan bertuah di Tahun Baru Cina. Hidangan ini dibuat dalam bentuk gulungan silinder yang diisi dengan pelbagai jenis inti seperti sayur, daging atau bahan-bahan yang manis atau masin. Ia kemudian digoreng sehingga berwarna keemasan. Tradisi memakan popia ini berasal daripada tradisi hidangan sewaktu sambutan Festival Musim Panas di China. Bagi masyarakat Cina, popia ini melambangkan tuah yang baik memandangkan bentuknya yang seperti jongkong emas segi empat. Popia ini turut didapati dalam bentuk kecil dan diisi ke dalam balang, menjadikannya sesuai dimakan sebagai hidangan jajan.
5
Bak Kwa
Bak Kwa adalah sejenis kepingan daging, kebiasaaannya daging khinzir, yang wajib ada sewaktu sambutan Tahun Baru Cina. Snek masyarakat Hokkien ini dipercayai berasal daripada wilayah Fujian, China menggunakan teknik mengawet dan menyimpan daging pada zaman purba. Hal ini kerana daging pada zaman dahulu dianggap sebagai makanan mewah dan hanya dimakan pada waktu istimewa seperti Tahun Baru Cina. Disebabkan sifatnya yang kering dan tidak mudah rosak, bak kwa turut dijadikan sebagai salah satu item buah tangan dalam kalangan masyarakat Cina. Bak kwa juga merupakan simbol kemakmuran untuk tahun tersebut serta lambang kemewahan. Memiliki rasa masin-masin manis dengan aroma panggang, ketiadaan hidangan ini sewaktu sambutan Tahun Baru Cina ibarat sebuah jenayah!
6
Kuih Bakul aka Niángāo
Dalam bahasa Cina, kuih bakul, niángāo, atau kek beras pulut ini memiliki sebutan yang seakan-akan sama dengan maksud semakin tinggi dari tahun ke tahun. Persepsi masyarakat China mengenai ini frasa ini adalah kehidupan akan bertambah baik sekiranya kedudukan anda meningkat serta perniagaan anda semakin berkembang. Diperbuat daripada tepung beras pulut dengan campuran gula, hidangan ini juga pada asalnya merupakan hidangan yang dipersembahkan untuk para dewa dan nenek moyang.
7
Kuih Bangkit
Kuih bangkit juga merupakan salah satu daripada hidangan yang dipersembahkan untuk para nenek moyang dan kebiasaannya diletakkan di altar. Walaupun dinamakan sebagai kuih, namun hidangan ini sebenarnya adalah dalam bentuk biskut dan mempunyai rasa manis-manis pandan dan kelapa serta cair di dalam mulut. Kuih bangkit merupakan hidangan milik Peranakan Baba dan Nyonya dan diolah dalam pelbagai bentuk. Bentuk lazim adalah seperti bunga dan ikan koi. Contohnya, kuih bangkit yang berbentuk bunga Kekwa membawa maksud berpanjangan.
8
Oren Mandarin, Tangerin, dan Pomelo
Buah-buahan sitrus seperti oren tentunya tidak asing lagi apabila menjelang Tahun Baru Cina. Ia juga seolah-olah seperti sebuah simbolik menandakan bahawa musim perayaan sudah semakin hampir apabila anda menerima buah tangan daripada rakan-rakan berbangsa Cina dalam bentuk oren mandarin. Bagi masyarakat ini, oren mandarin, tangerin dan pomelo membawa kemakmuran yang berterusan, kekayaan dan kecukupan disebabkan bentuknya yang bulat dan berwarna jingga keemasan. Malah, perkataan oren dan tangerin dalam bahasa Cina mempunyai bunyi sebutan yang hampir sama dengan istilah berjaya dalam sebutan Cina. Buah pomelo pula melambangkan tuah yang baik dan kesatuan yang kuat dalam keluarga. Semakin hijau warna pomelo anda, maka ia lebih berkesan untuk menarik tuah yang bagus ke dalam rumah. Selalunya, buah pomelo ini diletakkan secara berpasangan dan lebih kepada dekorasi berbanding untuk dimakan.
Bagi yang menyambut tahun baru Cina, apakah juadah yang anda hidangkan pada hari istimewa ini? Kongsikan kepada kami di ruangan komen!
Lagi info menarik tentang Tahun Baru Cina yang boleh anda baca :