Trend yang semakin meningkat dalam berat badan berlebihan, obesiti dan tabiat pemakanan yang tidak sihat.
Malaysia Pegang Rekod Remaja Dan Kanak-Kanak Obesiti Kedua Tertinggi Di Asia Tenggara. Malaysia kini memegang rekod kedua tertinggi dalam kejadian obesiti kanak-kanak dan remaja Asia Tenggara.
Maklumat ini dibongkar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang amat risau berkenaan trend naik mendadak dalam jumlah kes obesiti, berat badan berlebihan dan gaya hidup pemakanan yang kurang sihat.
Ramai pelajar tidak melakukan senaman secara aktif, sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa dengan permainan video.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan dari 24.6% pada tahun 2012 hingga 30.5% pada 2022 untuk golongan kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun.
“Kanak-kanak dengan berat badan berlebihan atau obes mempunyai risiko yang tinggi untuk menderita penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi apabila mereka memasuki alam dewasa,” tegas beliau dalam majlis perasmian Program Projek Intervensi C-HAT di Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuching.
Berkenaan Program C-HAT, Timbalan Menteri menjelaskan bahawa program ini adalah sebahagian dari Pelan Tindakan Kebangsaan Pemakanan, di bawah Strategi 5, yang berfokus kepada intervensi berdasarkan komuniti dan penyelidikan inovatif untuk menjangkaui lebih ramai individu.
“Program ini dilaksanakan berdasarkan model intervensi komprehensif yang melibatkan aspek pemakanan, aktiviti fizikal, kesihatan mental, dan komponen psikologi,” kata Lukanisman.
Sebanyak 49 sekolah dari 10 negeri dan lebih kurang 2,427 pelajar akan dilibatkan dalam program intervensi ini. Program ini akan dikerjakan dengan kerjasama antara KKM, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta dengan sokongan dari UNICEF.
Program C-HAT, yang merupakan singkatan dari ‘Cara Hidup Anda Terbaik’, dibentuk untuk mengatasi isu obesiti di kalangan pelajar sekolah.
Program ini berhasrat untuk mengikuti jejak kejayaan Program Smart Fit Weight Management yang telah dijalankan di beberapa sekolah di Perak dan Pulau Pinang, serta Program Kurang Obesiti di Johor.
“Saya amat berharap program ini akan mencapai matlamatnya dan membawa impak positif yang kita semua boleh berbangga,” kata Timbalan Menteri. Beliau juga menggariskan kepentingan kerjasama dari semua pihak yang terlibat – termasuk KKM, KPM, pengetua sekolah, guru, PIBG, dan ibu bapa – dalam menjayakan program ini.