Ini kisah di sebalik ibadah korban yang dilakukan oleh umat Muslim menjelang Hari Raya Aidil Adha.
Ini Kisah Mengapa Umat Muslim Menyembelih Haiwan Pada Hari Raya Aidil Adha. Setiap tahun, umat Muslim di seluruh dunia menyambut dua perayaan utama iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.
Ramai yang mengetahui Hari Raya Aidil Fitri kerana umat Islam akan berpuasa selama sebulan sebelum sambutan tersebut. Namun, ramai yang kurang arif tentang signifikan Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali dengan nama Hari Raya Korban.
Latar belakang Hari Raya Aidil Adha
Untuk pengetahuan umum, Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban disambut pada hari ke-10 bulan Zul Hijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. Dalam sejarah Islam, tarikh ini adalah tarikh yang sangat penting kerana pada hari ini, Adam dan Hawa telah dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia. Kedua-duanya kemudian berjumpa semula di Padang Arafah, luar bandar Mekah, Arab Saudi.
Namun demikian, ada satu peristiwa yang menyebabkan umat Muslim menyembelih haiwan seperti unta, lembu, kambing, kerbau, biri-biri atau kibas pada Hari Raya Aidil Adha dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Aktiviti penyembelihan ini disebut sebagai ibadah korban.
Mengapa ibadah korban?
Ibadah korban ini adalah untuk memperingati pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail bagi membuktikan ketaatannya kepada Allah SWT.
Nabi Ibrahim, nabi yang lama menunggu kehadiran cahaya mata
Sebelum peristiwa sembelihan ini, Nabi Ibrahim A.S. telah menantikan kehadiran cahaya mata dalam tempoh masa yang sangat lama. Asalnya, perkahwinan dengan isterinya yang pertama, Siti Sarah tidak mendapat sebarang zuriat. Siti Sarah telah memberi keizinan kepada Nabi Ibrahim untuk mengahwini hambanya iaitu Siti Hajar. Perkahwinannya bersama Siti Hajar dan Nabi Ibrahim ini telah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Nabi Ismail.
Sebelum Nabi Ibrahim dikurniakan anak, Nabi Ibrahim tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat. Doa Nabi Ibrahim ini termaktub dalam surah Ash-Syafaat surah 37 ayat 100 dalam Al-Quran.
“Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah kepada aku (seorang anak) yang tergolong daripada orang-orang soleh,”
Surah Ash-Syafaat, surah 37, ayat 100
Nabi Ibrahim pernah bernazar jika mendapat zuriat
Malah, Nabi Ibrahim A.S. juga sempat bernazar (berjanji untuk berbuat sesuatu sekiranya hajat tercapai kerana Allah SWT) untuk mengorbankan sejumlah kambing, lembu dan unta setiap tahun sekiranya dikurniakan anak. Malah, baginda juga sedia untuk menyembelih anaknya yang dikurniakan kepadanya sekiranya Allah SWT memerintahkannya untuk berbuat demikian.
Baginda tidak keberatan untuk melakukan rutin tersebut kerana Nabi Ibrahim A.S. sememangnya mengerjakan korban sebanyak 1,000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta setiap tahun semasa musim haji untuk diagihkan kepada insan yang memerlukan.
Allah SWT menuntut ‘janji’ Nabi Ibrahim
Pada malam hari ke-8 bulan Zulhijjah, di malam tarwiyah, Nabi Ibrahim A.S telah bermimpi bahawa Allah telah menurunkan perintah agar baginda memenuhi nazar yang pernah dibuatnya dahulu sekiranya mendapat zuriat. Allah SWT menagih nazar Nabi Ibrahim A.S. yang dilupakannya setelah mendapat Nabi Ismail.
“Wahai Ibrahim! Penuhilah nazarmu.”
Suruhan Allah SWT dalam mimpi Nabi Ibrahim A.S.
Setelah mendapat mimpi ini, Nabi Ibrahim A.S keesokan harinya termenung seketika mengenangkan sama ada mimpi tersebut adalah benar-benar dari Allah SWT ataupun sekadar mainan syaitan. Disebabkan inilah hari ke-8 bulan Zulhijjah disebut sebagai Hari Tarwiyah iaitu hari berfikir.
Pada malam hari ke-9 bulan Zulhijjah, Nabi Ibrahim sekali lagi bermimpi perkara yang sama. Maka, pada keesokan harinya, hari ke-9 bulan Zulhijjah, Nabi Ibrahim pasti bahawa ia adalah benar-benar suruhan Allah SWT dan bukannya mimpi dari syaitan. Oleh sebab itulah, hari ke-9 bulan Zulhijjah (sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha) disebut sebagai Hari Arafah yang bermaksud kepastian atau mengetahui.
Anak sulung yang dinantikan sekian lama, Nabi Ismail dituntut sebagai sembelihan
Mimpi Nabi Ibrahim tidak terhenti di situ. Malam ke-10 bulan Zulhijjah turut didatangi dengan mimpi yang sama. Namun, dalam mimpi kali ini, Allah SWT memerintahkannya agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Nabi Ismail pada ketika itu berusia sekitar 7 tahun. Ada juga pendapat ulama yang mengatakan bahawa Nabi Ismail berusia 13 tahun. Nabi Ibrahim lantas terbangun dari tidur dan terus memeluk anaknya, Nabi Ismail sambil menangis sehingga waktu Subuh.
Hari ke-10 bulan Zulhijjah (Hari Raya Aidil Adha) disebut sebagai Hari Nahar, berasal dari perkataan Arab “nasrun” yang bermaksud sembelih.
Sebelum membawa anaknya ke Mina iaitu lokasi penyembelihan, Nabi Ibrahim A.S. meminta Siti Hajar untuk mendandan dan mempersiapkan Nabi Ismail dengan pakaian yang paling cantik dan bagus. Siti Hajar juga menyisir rambut anaknya sebelum mereka berangkat.
Setelah tiba di Mina, baginda mengkhabarkan hal tersebut kepada anaknya, Nabi Ismail dan meminta pendapat anaknya itu. Sesungguhnya ini adalah ujian yang amat berat buat Nabi Ibrahim A.S. kerana Nabi Ismail merupakan anak sulungnya. Apatah lagi baginda telah menantikan zuriat sejak sekian lama dan akhirnya diberikan Nabi Ismail pada usia Nabi Ibrahim mencecah 86 tahun.
Mendengar tentang mimpi tersebut, Nabi Ismail tidak gentar bahkan memberi keizinan kepada bapanya untuk menyembelihnya memandangkan ia adalah suruhan daripada Allah SWT. Nabi Ismail juga berjanji bahawa ia akan membuktikan bahawa dirinya termasuk dalam golongan manusia yang sabar. Jawapan Nabi Ismail ini juga dicatatkan dalam Al-Quran, surah Ash-Syafaat, surah 37. ayat 102.
“Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. InsyaAllah, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar,”
Ash-Syafaat, surah 37, ayat 102.
Iblis laknatullah sempat menghasut Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail
Pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini tidak terlepas dari hasutan iblis. Pada mulanya, iblis menghasut Nabi Ibrahim untuk membatalkan niatnya menyembelih Nabi Ismail. Namun, hasutan itu tidak diendahkan oleh Nabi Ibrahim. Iblis kemudiannya mencari Siti Hajar dan menyampaikan perkara yang ingin dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas Nabi Ismail.
Pada mulanya, Siti Hajar tidak menyangka Nabi Ibrahim akan berbuat demikian namun setelah diberitahu oleh Iblis bahawa Nabi Ibrahim disuruh berbuat demikian oleh Allah SWT, Siti Hajar yakin bahawa ia adalah suruhan yang benar dari Allah SWT dan tidak mengendahkan hasutan tersebut. Iblis kecewa kerana gagal menghasut Siti Hajar.
Tidak berputus asa, Iblis menghasut mangsa terakhirnya iaitu Nabi Ismail. Namun, Nabi Ismail langsung tidak mempedulikan hasutan itu dan nekad untuk mengorbankan dirinya untuk suruhan itu. Iblis tercedera sebelah mata akibat dilontar batu oleh Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail dan melarikan diri.
Peristiwa aneh ketika Ibrahim menyembelih Ismail
Berbekalkan pisau dan tali, Nabi Ibrahim mengikat tangan dan kaki Nabi Ismail dan membaringkan anaknya dengan sisi mukanya menghadap tanah. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail berserah bulat-bulat dan bertawakal kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim menghalakan pisau ke leher Ismail dan menyembelihnya sekuat hati. Namun, tidak ada kesan apa-apa terhadap Ismail.
Lantas, Nabi Ismail menyuruh bapanya membuka ikatan agar ia tidak dilakukan seperti orang terpaksa.
Percubaan kedua pula dilakukan oleh Nabi Ibrahim setelah kaki dan tangan Nabi Ismail tidak diikat. Namun, dengan izin Allah, leher Nabi Ismail tetap tidak terluka. Nabi Ismail menyangka bahawa Nabi Ibrahim menjadi lemah kerana masih ada rasa sayang bapanya terhadap dirinya yang menyebabkan baginda tidak dapat disembelih.
Nabi Ibrahim A.S. cuba membelah sebiji batu dengan pisaunya dan batu tersebut serta merta terbelah dua. Baginda bertanya kepada pisaunya itu kenapa ia boleh memotong batu tetapi tidak dapat memotong daging. Seraya itu, dengan izin Allah SWT, batu tersebut menjawab pertanyaan Nabi Ibrahim;
“Wahai Ibrahim! Engkau mengarahkanku dengan berkata ‘Potonglah’, tetapi dalam masa yang sama Allah berfirman kepadaku ‘Jangan engkau potong’. Bagaimana mungkin aku hendak menderhaka kepada Tuhanku dan mengikut perintahmu?”
Setelah itu, Allah SWT berfirman;
“Dan (Kami) Allah menyeru : Wahai Ibrahim! Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata,“
Ash-Syafaat, surah 37, ayat 104:106
Nabi Ismail digantikan dengan kibas sebagai ganjaran ketaatan Nabi Ibrahim kepada Allah SWT
Menurut satu riwayat, Malaikat Jibril sempat menyaksikan saat Nabi Ibrahim mahu menyembelih Nabi Ismail dan kagum dengan ketaatan Nabi Ibrahim A.S. Malaikat Jibril membawa kambing kibas (kambing yang berekor kembang dan tebal seperti kelopak bunga) yang sihat sebagai ganti Nabi Ismail untuk dijadikan sembelihan seperti mana dalam firman Allah;
“Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”
Ash-Syafaat, surah 37, ayat 107
Dengan memuji kebesaran Allah SWT, kedua-duanya pun saling berpelukan dengan gembira sekali sambil bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan ketabahan dan kekuatan untuk mengharungi ujian dan amanat yang besar dari Allah SWT.
Malaikat Jibril yang kagum segera melafazkan asma Allah, “Allaahu Akbar, Allaahu Akbar.” Nabi Ibrahim menyambut dengan lafaz “Laa Ilaaha Illallaahu Allaahu Akbar”. Ismail mengikutinya dengan mengucapkan “Allaahu Akbar wa Lillaahil Hamdu”. Lafaz inilah yang kemudiannya sebagai dijadikan bacaan takbir saat Hari Raya Aidil Adha.
Begitulah kisah pengorbanan besar di sebalik ibadah korban yang dilakukan pada Hari Raya Aidil Adha setiap tahun. Ibadah korban ini telah disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah dan dilaksanakan oleh umat Muslim sehingga sekarang. Daging daripada haiwan korban ini akan diagihkan kepada orang ramai terutamanya golongan yang kurang bernasib baik dan fakir miskin.
Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha buat seluruh umat Muslim.