Sempadan ghaib yang telah membentuk dua dunia berbeza
Misteri Garis Wallace, Sempadan Ghaib Di Kepulauan Melayu Yang Ditakuti Para Haiwan. Pernah anda mengetahui tentang kewujudan Garis Wallace? Sempadan misteri ini merentasi Kepulaun Melayu dan menjadi sebuah persoalan misteri sehingga ke hari ini. Sempadan yang diasaskan oleh pengembara dan saintis terkenal dari Britain, Sir Alfred Russel Wallace ini menjadi pemisah di antara dua dunia ekosistem yang sangat berbeza.
Lebih jauh ketara bezanya berbanding perbezaan antara ekosistem benua Asia dan benua Barat!
Bayangkan jika kini anda sedang berdiri di pantai Bali, memandang ke timur menuju Lombok. Tanpa anda sedari, anda sedang menatap pada titik terkecil sebuah sempadan ghaib yang dikenali sebagai Garis Wallace. Dengan jarak menjangkau 32 kilometer menerusi bayangan air yang kelihatan biasa-biasa saja itu, garisan misteri ini sebenarnya merentasi Kepulauan Melayu, memisahkan dua dunia yang berbeza.
Apa misterinya Garis Wallace ini?
Di sebelah barat Garisan Wallace, anda akan menjumpai spesis haiwan yang selalu anda temui di Asia seperti badak, gajah, dan harimau. Namun, sebaik sahaja melintasi garis ini, spesis yang terdapat di seberangnya berubah secara begitu drastik.
Haiwan yang ditemui di seberang garis ini hidup dalam ekologi yang berbeza sepenuhnya. Contohnya seperti marsupial, komodo, kakak tua, dan burung madu. Spesis yang jarang dilihat di Asia ini sebaliknya mendominasi pulau-pulau di sebelah timur meskipun masih dalam Kepulauan Melayu.
Perbezaan yang begitu ketara dalam kepelbagaian biologi ini telah menentukan sempadan biogeografi Garis Wallace.
Wallace menyedari bahawa perbezaan spesis ini bukan sahaja dipengaruhi oleh jarak tetapi juga…
Semasa ekspedisi lapan tahunnya di Kepulauan Melayu, Wallace mengamati dan merekodkan pelbagai jenis spesis dan bergerak melintasi satu pulau ke satu pulau yang lain. Dalam perjalanan dari Bali ke Lombok, beliau menyedari perubahan drastik spesis haiwan meskipun dalam pulau yang agak dekat.
Wallace menyedari bahawa garisan ini tidak tepat untuk ditentukan semata-mata menggunakan jaraknya yang dekat antara satu sama lain, tetapi juga turut dipengaruhi oleh faktor yang lebih penting.
Pulau-pulau di timur Jawa dan Borneo sebenarnya adalah serpihan daripada benua Australia sebelum dipecahkan melalui pergerakan plat tektonik.
Ketika Wallace meneroka lebih mendalam, beliau meramalkan bahawa pulau-pulau di sebelah barat pernah bersambung satu sama lain dan bersambung dengan benua Asia. Pulau-pulau di timur Jawa dan Borneo pula adalah sebenarnya sisa-sisa daripada benua Australia yang dahulu. Walau bagaimanapun, kenaikan paras laut sejak zaman-berzaman akhirnya mencipta jurang pemisah antara spesis haiwan ini.
Bukan itu sahaja, perairan dalam dengan arus yang kuat antara kedua kawasan tersebut juga bertindak sebagai penghalang untuk spesis ini bermigrasi, walaupun kawanan burung yang berada di udara.
Akibat peristiwa geologi kuno seperti pergerakan plat tektonik, beberapa spesis haiwan yang dahulunya dalam ekologi yang sama, telah terpisah daripada dataran asal, lalu membentuk sebuah geologi.
Plat tektonik dipercayai adalah jawapan kepada persoalan Wallace yang masih buntu memutuskan di manakah unjuran sempadan ini. Walau bagaimanapun, konsep ini baru diterima secara meluas pada tahun 1960-an. Plat tektonik inilah yang menjelaskan sifat dinamik planet kita, termasuk pembentukan dan deformasi benua, pembentukan rangkaian gunung, serta pulau.
Kepulauan Melayu pula, iaitu tempat terletaknya Garis Wallace, merupakan kawasan yang aktif secara tektonik. Beberapa plat tektonik telah bertembung dan bergeser, menghasilkan banyak gunung berapi dan peristiwa seismik di kawasan ini. Pada tahun 1980-an, para saintis menyimpulkan bahawa Garis Wallace ini adalah hasil dari pergerakan plat tektonik. Kawasan daratan yang dipisahkan oleh sempadan ini, dahulunya pernah bersambung dan dikenali sebagai Sunda dan Sahul.
Antara benua Sunda dan Sahul inilah terletak kawasan Wallacea, rangkaian pulau yang belum terjejas oleh sambungan darat di masa lalu. Pulau-pulau samudera ini berfungsi sebagai kanvas ekologi kosong, menunggu untuk diisi oleh spesis yang berkembang biak dan beradaptasi dengan cara yang unik. Itulah sebabnya Wallacea dikatakan sebagai gugusan pulau yang penuh dengan keajaiban evolusi.
Garisan Wallace bukan sekadar garis ghaib yang memisahkan dua dunia biologi. Ia adalah saksi utama perubahan besar yang telah terjadi di bumi selama berjuta-juta tahun. Garisan ini menghubungkan kita dengan sejarah planet kita yang epik, menunjukkan bagaimana kekuatan geologi telah membentuk kehidupan yang kita kenali hari ini.