Ajinomoto 100% Organik? Macam tak percaya!
Daun Liar di Hutan Borneo Ini Rupanya Boleh Beri Rasa Mirip Ajinomoto. Penggunaan monosodium glutamat (MSG) dalam masakan membolehkan makanan yang dimasak bertambah enak dan menyelerakan. Rasa umami yang mengangkat kesedapan sesuatu makanan menyebabkan penambahan MSG dalam makanan adalah sesuatu yang wajib bagi sesetengah individu dan tukang masak.
Namun demikian, pernahkah anda terfikir bagaimana masyarakat pada zaman dahulu melazatkan makanan mereka walaupun tanpa MSG? Tahukah anda bahawa terdapat satu tumbuhan liar yang boleh menggantikan MSG kerana rasanya memang 100% sama? Tumbuhan ini dinamakan sebagai daun sengkubak atau daun sansakng babao yang banyak terdapat di Kalimantan Barat. Wow!
Daun Sengkubak Tumbuhan Ajaib di Hutan Kalimantan Barat
Daun sengkubak atau nama saintifiknya Pycnarrhena cauliflora sering digunakan oleh penduduk di daerah Kalimantan Barat, Indonesia sebagai penyedap rasa dalam masakan mereka. Dikhabarkan, daun sengkubak ini dapat menyeimbangkan rasa dan berfungsi sama seperti perasa tambahan MSG Ajinomoto.
Menurut penduduk di sana, daun sengkubak ini tumbuh di kawasan hutan yang lebat manakala daunnya dipetik dan dicampurkan ke dalam masakan secara terus. Ada juga yang menumbuknya hingga lumat dan mengeringkannya agar mudah untuk disimpan dan senang digunakan. Di Kalimantan Barat, daun sengkubak ini digunakan secara meluas oleh komuniti Dayak dan Melayu di sana, terutamanya di daerah Sanggau, Sekadau, Sintang, Melawi dan Kapuas Hulu.
Kajian Dapati Daun Sengkubak Mempunyai Kandungan Asid Glutamik Semulajadi yang Tinggi
Untuk pengetahuan anda, kajian yang dilakukan oleh pakar daripada Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) Universitas Tanjungpura, Pontianak, Indonesia mendapati bahawa daun sengkubak ini memiliki banyak khasiat semulajadi seperti protein, karbohidrat, mineral dan vitamin.
Menariknya, penyebab utama daun ini mempunyai sensasi rasa umami adalah disebabkan kandungan asid glutamiknya yang tinggi iaitu pada kadar 5.8% manakala kandungan protein adalah pada kadar 16.82%. Asid glutamik inilah yang memberi keseimbangan rasa kepada masakan sama ada sayuran, daging atau pun ikan.
Menurut pensyarah Universitas Tanjungpura, Puji Ardiningsih, perasa tambahan sintetik iaitu MSG mengandungi garam monosodium dan menyebabkan ia tidak sesuai untuk dimakan dalam kandungan yang banyak terutamanya bagi penghidap tekanan darah tinggi. Namun, berbeza pula dengan daun sengkubak yang hanya mempunyai komponen asid glutamik semulajadi dan tiada had yang boleh memudaratkan kesihatan.
Turut Digunakan dalam Masakan di Sabah dan Sarawak
Penggunaan daun sengkubak dalam masakan ternyata bukan hanya ada di Kalimantan Barat namun juga terdapat dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak. Bagi masyarakat suku kaum Kenyah di Miri dan Baram, daun ini disebut sebagai daun bekai. Bagi suku kaum Iban pula, daun ini dipanggil sebagai daun tubu. Bagi masyarakat di Sabah pula, ada yang menggelar nya sebagai daun ansank atau daun tapa. Ia biasanya dicampurkan ke dalam masakan pucuk ubi atau rebung.
Fakta Tentang Rasa Umami, Penambah Nikmat dalam Makanan
Keseimbangan rasa yang dihasilkan oleh perasa makanan tambahan sama ada menerusi MSG atau daun sengkubak dikesan oleh deria rasa kelima manusia selain deria rasa manis, masin, masam dan pahit. Deria rasa umami ini telah disahkan terdapat pada lidah manusia oleh para saintis (Umami Information Centre) pada tahun 2002. Rasa umami ini juga menandakan bahawa tubuh badan telah menerima protein dan mencetuskan isyarat agar air liur dan jus gastrik dihasilkan bagi melancarkan sistem pencernaan.
Boleh dikatakan hampir setiap makanan mempunyai rasa umami tanpa perlu menambah perasa tambahan. Namun demikian, kandungan umami dalam sesuatu makanan akan meningkat sekiranya ia telah ranum atau melalui proses fermentasi.
Mungkin selepas ini anda boleh menikmati makanan dengan menggantikan MSG dengan alternatif yang lebih sihat. Tapi untuk mendapatkan bekalan daun sengkubak ini pula mungkin agak sukar melainkan anda tinggal di kawasan berhampiran hutan dan jauh dari bandar. Apa pendapat anda? Yeay or nay?
Jangan lupa like dan share post ini dan sebarkan info baru ini kepada rakan dan keluarga anda.