Setiap pinggan yang dihasilkan adalah unik dan istimewa.
Motif Iban Pada Pinggan Lukisan Artis Sarawak Ini Pelihara Tradisi Etnik. Masyarakat Iban di Sarawak pada zaman dahulu amat meminati pinggan yang diperbuat daripada seramik.
Hasil corak pinggan mangkuk seramik yang cantik adalah dengan menggunakan corak flora dan fauna yang kebanyakannya menggunakan gabungan dua warna hitam dan putih atau gabungan 3 warna hitam, putih dan merah hati atau gabungan putih, hitam biru atau merah hati.
Setiap pinggan yang dihasilkan mempunyai cerita dan kisahnya tersendiri.

Peralatan pinggan mangkuk merupakan simbol kekayaan
Dalam tradisi masyarakat Iban, mereka suka menyimpan peralatan pinggan mangkuk di dalam jumlah yang banyak sehingga beratus lebih set. Perkara ini merupakan simbol kekayaan kerana pada masa dahulu amatlah sukar untuk mendapat pinggan mangkuk tersebut.
Pinggan dan mangkuk seramik ini kebiasaannya digunakan dalam majlis keramaian seperti upacara miring yang disambut sempena bermulanya perayaan gawai, upacara menerima hantu pala dan digunakan dalam pelbagai majlis perayaan masyarakat Iban.
Kini, koleksi pinggan lama atau antik sukar ditemui dan disebabkan itulah pinggan antik Iban ini amat tinggi nilainya dan berharga di kalangan masyarakat Sarawak atau di kalangan masyarakat yang minat menyimpan koleksi pinggan antik ini. Tradisi membuat pinggan antik sudah semakin hilang ditelan zaman kerana proses pembuatannya yang rumit dan memakan masa yang lama.

Helena menghasilkan seni pembuatan Pinggan Antik Sarawak
Untuk mengkalkan tradisi pembuatan pinggan seramik antik ini, Helena David Kalum yang berasal dari Betong merupakan seorang usahawan di bawah bimbingan SIRIM Sarawak serta Perbadanan Kemajuan kraftangan Cawangan Sarawak telah memulakan usaha untuk menghasilkan seni pembuatan Pinggan Antik Sarawak.
Pinggan Antik Iban hasil tangan daripada Helena David Kalum ini masih lagi mengekalkan nilai tradisi lama melalui cara pembuatannya serta corak motif lukisan di atas setiap pinggan yang dihsilkan. Kebanyakan corak motif lukisan yang digunakan ialah corak bunga terung pipit, teku engkelait, buah lelambak pecah lapan dan sebagainya.
Di samping itu, Helena juga telah membuat dan menjual manik dan aksesori seramik yang melambangkan reka bentuk tradisional Sarawak. Sejak April 2021, Helena yang kini berpangkalan di Kuching telah menambah lagi hasil perniagaannya dengan membuat pinggan seramik yang dilukis dengan tangan bermotifkan tradisional Iban.

Mulakan belajar membuat pinggan seramik semasa PKP
Menurut Helena ketika ditemu bual oleh The Star, dia mendapat inspirasi untuk mula belajar membuat pinggan seramik ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dahulu. Selama tempoh berada di rumah, Helena menghabiskan masanya untuk menyempurnakan kraf yang berunsurkan rekaan Iban tersebut.
Setiap pinggan yang direka mempunyai keistimewaan dan keindahan yang tersendiri. Oleh kerana setiap motif rekaanya yang unik, sukar buat dirinya untuk menentukan motif kegemarannya.
Helena bekerjasama dengan Presiden Persatuan Usahawan Digital Bersepadu Sarawak (Idea) Roslan Razali untuk memastikan warna motif Iban di pinggan yang direka adalah sesuai dan menarik.
Bersama para pekerjanya, dia menjalankan perniagaannya di inkubator dan pusat latihan Kementerian Pembangunan Industri di Demak Laut. Di pusat tersebut, Helena menjalani latihan bagaimana mendapatkan pasaran yang lebih besar, baik di dalam negeri dan juga di seluruh dunia.

Beralih ke platform media sosial untuk mempromosikan produk
Oleh kerana terdapat batas dalam pergerakan di musim pandemik, dia telah mengubah strategi pemasarannya dan beralih ke platform media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk mempromosikan produk buatan hasil tangannya.
Pinggan yang direka Helena ini mendapat sambutan yang baik oleh orang ramai sehingga pelanggan dari Britain, Australia dan China juga telah jatuh cinta dengan hasil rekaan pinggan tradisional ini.
Setiap pinggan yang dibuat berukuran antara 20cm hingga 28cm dan setiap satu pinggan, mengambil masa 1 hingga 3 hari untuk dilukis bergantung kepada coraknya. Walaupun perkara ini memakan masa yang agak lama, namun Helena berasa tenang setiap kali dia melukis setiap pinggan.
Helena amat berbangga akan budaya dan tradisi kaum Iban yang diwarisinya. Dia ingin melihat tradisi ini turun ke generasi yang berikutnya agar ianya tidak hilang ditelan zaman.