Sistem integrasi maklumat rakyat yang dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam kerajaan
Panduan Lengkap Mendaftar Dan Kemaskini PADU. Pangkalan Data Utama (PADU) adalah sebuah sistem yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi untuk mengumpul dan mengurus maklumat profil individu dan isi rumah yang meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia. Sistem ini bertujuan untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar subsidi secara bersasar, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkasa sistem sosial, merapatkan jurang sosioekonomi dan mengoptimumkan penggunaan sumber.
Sistem PADU akan mengintegrasikan data pentadbiran daripada pelbagai sumber seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan lain-lain. Data ini akan dikemas kini secara berkala dan boleh disemak dan dikemaskini oleh rakyat sendiri secara terus melalui portal rasmi PADU. Rakyat juga boleh memberi maklum balas kepada kerajaan melalui sistem ini.
Kemaskini maklumat anda sebelum 31 Mac 2024
Sistem PADU dilancarkan pada 2 Januari 2024 dan rakyat diminta untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat mereka sebelum 31 Mac 2024. Ini adalah penting untuk memastikan rakyat menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan (sekiranya layak) daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat. Rakyat yang tidak mengemas kini maklumat mereka berisiko tercicir daripada subsidi bersasar.
Untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem PADU, rakyat perlu menyediakan maklumat asas seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit dan e-mel yang sah. Rakyat juga perlu mengisi OTP yang diterima melalui SMS dan menetapkan kata laluan yang selamat. Selepas itu, rakyat boleh log masuk ke sistem PADU dan menyemak serta mengemaskini profil mereka.
LANGKAH 1: Daftar akaun sistem PADU
1. Klik pautan https://padu.gov.my/auth/daftar
2. Isi maklumat peribadi seperti “Nama Penuh”, “Nombor Kad Pengenalan” dan “Poskod”. Pastikan kesemua maklumat ini sepadan dengan maklumat dalam kad pengenalan anda.
3. Tekan butang “Seterusnya”. Anda akan menerima kod pengesahan OTP menerusi nombor yang telah anda daftarkan tadi.
4. Masukkan kod pengesahan OTP dan tekan butang “Seterusnya” untuk menetapkan kata laluan.
5. Setelah itu, anda akan diminta untuk membuat pengesahan identiti e-KYC menerusi kod imbas QR yang disediakan. Pengesahan identiti e-KYC ini mengkehendaki anda untuk memuat naik kedua-dua halaman kad pengenalan anda serta gambar swafoto.
*Namun demikian, anda juga boleh melakukan pengesahan tersebut setelah anda log masuk dan kemaskini maklumat peribadi anda dalam sistem PADU.
LANGKAH 2: Kemaskini maklumat asas dalam sistem PADU
Dalam sistem ini, terdapat 8 kategori maklumat yang perlu anda lengkapkan. Berikut adalah butiran lanjut:
1. Maklumat Asas – merangkumi nombor kad pengenalan, nama penuh, tarikh lahir, status kewarganegaraan, taraf perkahwinan, status OKU, pesakit terlantar atau tidak, nombor telefon bimbit, alamat e-mel, maklumat bank, dan jenis e-dompet yang sering digunakan.
2. Alamat – merangkumi alamat kediaman, jenis kediaman semasa, dan pemilikan kediaman semasa. Jika anda musykil, anda boleh menekan butang biru berhuruf i untuk mengetahui maksud terperinci tentang maklumat yang diminta.
3. Pendidikan – merangkumi sijil tertinggi (peringkat tertinggi pendidikan) dan bidang pengajian.
4. Isi Rumah – Pilih di antara Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR). Bagi individu yang berusia 15 tahun dan ke atas dan memiliki pendapatan sendiri, anda digalakkan untuk memilih KIR. Jika anda tidak memiliki anak, isteri atau sebarang tanggungan, anda tidak perlu menambah ahli isi rumah. Namun, jika ada, tambahkan dalam senarai dengan menekan butang “+ Tambah Ahli Isi Rumah”.
5. Pekerjaan – merangkumi status pekerjaan, kategori pekerjaan dan aktiviti utama, nama, alamat tempat bekerja, jarak sehala dari kediaman, dan pendapatan bulanan (RM).
6. Pendapatan – merangkumi sumber pendatan bulanan, atau berkala, harta, pelaburan dan royalti, serta terimaan sekali terima (one-off).
7. Komitmen – merangkumi bayaran bulanan semasa, seperti pinjaman perumahan, kenderaan, pinjaman/perbelanjaan pendidikan, pinjaman peribadi, dan insurans pendidikan/kesihatan.
8. Bantuan – jenis bantuan yang diterima setakat dalam tempoh 12 bulan ke belakang. Contohnya seperti bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
LANGKAH 3: Imbas kod QR e-KYC untuk pengesahan profil kemaskini maklumat
Setelah tamat kemaskini, di seksyen terakhir, anda akan diminta untuk membuat pengesahan e-KYC dengan mengimbas kod QR yang disediakan, mengambil gambar halaman depan dan belakang kad pengenalan serta gambar swafoto.
Dan itu sahaja! Anda berjaya mengemaskini data anda dalam sistem PADU. YEAY!
Apa jadi kalau saya tidak mendaftar sistem PADU?
Anda boleh menyemak dan mengubah maklumat anda di dalam PADU sehingga 31 Mac 2024. Jika anda tidak mahu menyertai PADU, anda boleh memilih untuk keluar tanpa sebarang akibat. Namun demikian, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu bahawa jika anda tidak ada dalam PADU, anda mungkin tidak layak atau tercicir daripada mendapat subsidi dan perlindungan sosial daripada kerajaan pada masa akan datang. Jadi, anda dinasihatkan untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat anda supaya anda tidak tercicir walaupun anda layak.
PADU menggunakan data yang sudah ada dalam sistem kerajaan untuk mengenal pasti ciri-ciri isi rumah anda. Data ini akan menentukan sama ada anda layak untuk mendapat subsidi atau tidak. Jadi, tidak ada alasan untuk anda marah dan berputih mata jika anda tidak menjadi penerima subsidi kerana anda sendiri memilih untuk tidak mengisi maklumat dalam PADU.
Bagaimana dengan pakcik makcik, mak bapa yang tinggal di kampung atau kawasan pedalaman yang kurang akses internet?
Bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau terpencil yang tidak mempunyai akses internet, pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menjalankan program khas untuk membantu mereka mendaftar ke dalam PADU secara manual.
Selain itu, anda sebagai penjaga juga boleh membawa mereka pergi ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi), pejabat daerah atau pejabat kerajaan yang berdekatan untuk mendaftar secara manual.
Sistem PADU adalah selamat, komprehensif dan “near real time” bagi membolehkan kerajaan membuat analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan. Sistem ini juga berpacukan data bagi membolehkan penggubalan dasar dan proses membuat keputusan yang lebih tepat dan efektif. Sistem PADU adalah satu langkah maju bagi Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan berdaya saing.