“Saya Tak Bayar Awak Untuk Sembahyang” – Dakwaan Pekerja Tak Dibenar Solat Di Sebuah Kedai Pizza Di Hopoh Buat Netizen Bengang
Tular Pemilik Kedai Pizza Di Kuching Hanya Beri Masa 10 Minit Untuk Pekerja Muslim Solat Jumaat. Baru kerja satu hari, tapi pengalaman yang anak kepada seorang individu ini lalui cukup mengejutkan. Perkara ini dikongsikan oleh pengguna Facebook, seorang individu yang mendakwa anaknya tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat sewaktu bekerja di sebuah kedai pizza di Wisma Hopoh, Kuching.
Menurut perkongsian tersebut, insiden berlaku pada hari Jumaat minggu lepas iaitu hari pertama anaknya bekerja. Bila anaknya meminta izin untuk solat Jumaat, dia didakwa hanya dibenarkan untuk solat selama 10 minit sahaja.

Majikan turut dikatakan bertanya, “Berapa kali sehari awak solat?”.
Disebabkan waktu kerja dari 9 pagi hingga 9 malam, anak individu tersebut menjelaskan bahawa dia perlu solat tiga kali ketika bekerja – Zohor, Asar dan Maghrib.
Namun yang paling mengejutkan, selepas daripada hari itu, anaknya langsung tidak dipanggil bekerja lagi. Lebih menyakitkan hati, menurut individu itu, majikan tersebut dilaporkan berkata kepada anaknya:
I’m not paying you to pray (Saya tak bayar awak untuk sembahyang)”, ujarnya menurut laman Facebook.
Individu tersebut turut menyatakan rasa kecewanya dengan kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai majikan tersebut membuat silap dengan mengeluarkan ayat sedemikian rupa. Beliau turut menggunakan hashtag #sayaboikot, memberi isyarat jelas bahawa kedai tersebut patut diboikot.
Netizen pun hangin satu badan
Ramai pengguna media sosial yang membaca perkongsian ini menyatakan rasa kecewa dan marah. Ada yang menyifatkan tindakan majikan itu sebagai tidak sensitif terhadap agama, malah bercanggah dengan hak pekerja.

Buat laporan terus ke Jabatan Buruh.. sbb nya terminate anak ktk gara2 solat.. bukan anak ktk ada molah kesalahan etika kerja.Biar company ya bayar pampasan ngan anak ktk, ujar salah seorang netizen.
Bahkan, ada juga menasihatkan untuk buat laporan terus ke Jabatan Buruh kerana syarikat telah menamatkan pekerjaan hanya disebabkan bersolat sedangkan tiada sebarang pelanggaran etika kerja dilakukan. Syarikat tersebut juga digesa untuk bertanggungjawab dan membayar pampasan yang sewajarnya.

Solat itu hak dan wajib dilakukan, bukan halangan
Di Malaysia, kebebasan beragama dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Majikan sepatutnya memahami dan menghormati keperluan pekerja untuk menunaikan tanggungjawab agama, lebih-lebih lagi bila waktu kerja menjangkau sepanjang hari.
Jika benar dakwaan ini, ia sememangnya satu perkara yang tak patut berlaku dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

