Premier Sarawak terima Darjah Kebesaran Tertinggi Sabah
Premier Sarawak Antara Penerima Darjah Kebesaran Tertinggi Sabah. Dilaporkan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg mendahului senarai penerima darjah kebesaran negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71 esok.
Abang Johari adalah antara empat daripada penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Selain Premier Sarawak, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; dan ahli perniagaan, Datuk Kumar Prabakaran turut menerima SPDK turut menerima darjah kebesaran tersebut.
Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, termasuk dua Pembantu Menteri, menerima darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Mereka termasuk Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Peto Galim; Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Tan Lee Fat; ADUN Tanjung Kapor, Ben Chong Chen Bin; ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin; ADUN Kukusan, Rina Jainal; dan ADUN Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan.
Secara keseluruhan, seramai 87 individu menerima PGDK, 116 orang menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 274 orang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 320 orang menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 421 orang menerima Bintang Kinabalu (BK), 144 orang menerima Sijil Kehormat, dan 10 orang menerima Jaksa Pendamai.

