Birupes simoroxigorum antara tarantula tercantik di dunia
Tarantula Dari Sarawak Ini Dikategori Antara Labah-Labah Tercantik Di Dunia. Tahukah anda bahawa Sarawak pernah menjadi lokasi penemuan salah satu spesies labah-labah Tarantula yang dianggap antara paling cantik di dunia? Spesies baharu ini ditemui di hutan Batang Salak, Sarawak, pada tahun 2017.
Penemuan spesies baharu sebenarnya kerap berlaku di Malaysia. Sebagai contoh, para saintis dan sukarelawan sebelum ini telah menemui spesies kumbang air baharu di Lembangan Maliau, Sabah, yang dinamakan Groveillinus leonardodicaprioi, sempena pelakon Leonardo DiCaprio. Tidak lama selepas penemuan itu, satu lagi spesies baharu, kali ini spesies semut, ditemui di Johor dan dinamakan Echinopla Tunku-Abduljalilii sempena Almarhum Tunku Abdul Jalil, Putera Johor.

Spesies ini dinamakan Birupes simoroxigorum
Penemuan labah-labah Tarantula dari hutan Sarawak ini juga telah diterbit dalam artikel The Journal of the British Tarantula Society oleh ahli Arachnology Ray Gabriel dan Daniella Sherwood, yang bersekutu dengan Muzium Sejarah Alam Oxford University di UK.
Spesies ini dinamakan Birupes simoroxigorum, dengan nama genus berasal dari perkataan Melayu ‘biru’ dan ‘pes’ bermaksud kaki, mungkin kerana spesies betina labah-labah ini mempunyai kaki berwarna biru yang menyerlah. Nama spesies ini pula berasal dari gabungan nama ‘Simon’, ‘Roxanne’, dan ‘Igor’, iaitu nama anak-anak pengumpul spesimen tersebut.

Walau bagaimanapun, penemuan ini dilihat dari sudut berbeza apabila Science Magazine melaporkan bahawa penyelidik mungkin memperoleh spesimen ini secara haram.
Dilaporkan bahawa labah-labah ini pada asalnya ditemui oleh jurugambar Sarawak, Chien Lee, bersama jurugambar Jerman, Lars Fehlandt, pada September 2017. Lee telah memuat naik gambar labah-labah tersebut dalam talian, di mana ia mungkin dilihat oleh pengumpul tarantula Krzysztof Juchniewicz, Emil Piorun dan Jakub Skoronek, yang berpusat di UK dan Poland.

Ketiga-tiga mereka dikatakan telah merancang perjalanan ke Borneo pada masa itu, berdasarkan halaman Facebook mereka, Borneo Tarantula Expedition. Mereka menghabiskan bulan Oktober dan November di Sarawak mencari labah-labah itu, dan selepas beberapa cabaran, mereka akhirnya menemui sarangnya dan dilaporkan bergambar dengan labah-labah tersebut, yang mana gambar-gambar itu kini telah dipadam.
Mereka kemudiannya dikatakan menghantar dua spesimen mati ke UK untuk dikenalpasti oleh Gabriel dan Sherwood. Setelah diketahui ia merupakan spesies baharu, penemuan tersebut disebut sebagai satu kes biopirasi oleh Lee, sesuatu yang menurutnya sering berlaku.

