Tradisi Hidang Saprah/ Sperah: Warisan Melayu Sarawak Yang Hampir Dilupakan
Hidang Saprah, Tradisi Unik Makan Bersila Melayu Sarawak. “Hidang Saprah”, “Sperah” atau juga dikenali sebagai “Hidang Boyan” suatu ketika dahulu merupakan tradisi yang menjadi kebanggaan komuniti Melayu Sarawak.
Namun, semakin hari, tradisi ini semakin terpinggir, digantikan dengan cara hidangan moden seperti buffet yang lebih praktikal.

Apa Itu Hidang Saprah?
Hidang Saprah ialah cara penyajian makanan tradisional di mana lauk-pauk dihidangkan di atas sehelai kain segiempat. Para tetamu akan duduk bersila di lantai atau di atas papan panjang untuk menjamu selera. Biasanya, satu saprah dikongsi oleh empat orang tetamu.
Selain itu, setiap saprah akan dilengkapi dengan air basuhan tangan dan tuala atau tisu untuk mengelap tangan selepas makan. Tradisi ini bukan sekadar tentang makanan, tetapi juga menyisipkan nilai-nilai Islam. Misalnya, lelaki dan wanita akan duduk berasingan mengikut kumpulan masing-masing untuk menjaga batas-batas pergaulan.
Asal Usul dan Perbandingan dengan Tradisi Lain
Dari segi sejarah, tradisi ini mempunyai persamaan dengan “Makan Saprahan” yang popular di kalangan Melayu Sambas, Indonesia. Walaupun caranya hampir sama, tradisi di Sambas masih kekal utuh sehingga kini, manakala Hidang Saprah di Sarawak semakin terpinggir.

Mengapa Tradisi Ini Hampir Pupus?
Peredaran zaman menjadi faktor utama. Hidangan buffet dilihat lebih mudah dan praktikal kerana tidak memerlukan banyak pinggan mangkuk atau tenaga kerja. Bayangkan, satu saprah memerlukan sekurang-kurangnya enam pinggan untuk tiga jenis lauk. Ini berbanding dengan buffet yang hanya memerlukan satu pinggan per tetamu.
Tambahan pula, tradisi ini memerlukan ramai tenaga kerja untuk memasak, menghidang, dan mencuci pinggan. Tidak hairanlah mengapa ramai memilih hidangan buffet yang lebih ringkas dan menjimatkan ruang serta masa.
Keindahan Tradisi Hidang Saprah
Walaupun rumit, tradisi ini sebenarnya membawa banyak manfaat. Semangat gotong-royong dan ukhuwah antara penduduk kampung dapat dieratkan melalui persiapan bersama-sama, dari memasak hingga mengemas. Tradisi ini juga menjadi platform untuk generasi muda belajar menghormati adat dan budaya nenek moyang mereka.
Masih belum terlambat untuk menghidupkan kembali Hidang Saprah. Dengan usaha dari komuniti dan sokongan pihak berkuasa, tradisi ini boleh diperkenalkan semula, terutama dalam majlis-majlis khas seperti perkahwinan atau sambutan keagamaan. Generasi muda juga perlu didedahkan kepada keindahan tradisi ini agar ianya tidak hanya tinggal sebagai kenangan di buku sejarah.

