Pantang larang orang Melayu adalah sebagai panduan dan juga untuk mendidik tidak kira tua atau muda kearah yang lebih baik.
Ketahui 11 Petua Dan Pantang Larang Melayu Sarawak Dan Logik Disebaliknya. Masyarakat Melayu di Sarawak merupakan golongan peribumi kedua terbesar selepas kaum Iban dan kaya dengan kepercayaan serta amalan turun temurun yang menjadi sebahagian daripada peraturan sosial dan dikongsi bersama dalam kehidupan bermasyarakat.
Terdapat kajian yang dilakukan oleh graduan PhD dari Universiti Malaysia Sarawak berkenaan dengan petua dan pantang larang tradisional dalam alam Melayu Sarawak. Kajian ini telah dikongsi oleh Hamidah Abdul Wahab di laman researchgate.net.

Walaupun amalan petua dan pantang larang lama ini berpaksi kepada agama suci Islam, namun terdapat juga unsur-unsur animisme yang masih dikekalkan. Daripada penelitian, didapati bahawa petua dan pantang larang tradisional masyarakat Melayu Sarawak mempunyai perkaitan rapat dengan unsur-unsur yang dinyatakan sebelum ini, namun dengan batas dan penyesuaian berlandaskan agama Islam.
Petua dan pantang larang lama ini dilihat bermanfaat sebagai panduan dan nasihat kepada masyarakat dalam menelusuri alur kehidupan, justeru ada antaranya yang masih diamalkan sehingga kini. Antaranya ialah:
1. Bawang merah untuk mengubati kanak-kanak sakit perut

Untuk mengubati kanak-kanak sakit perut dan menangis, masyarakat Melayu Sarawak mengambil bawang merah tunggal (bawang merah yang berbentuk bulat dan tidak berkembar) dan memicitnya dicelah-celah ibu jari dengan jari kaki kanan, atau dipicit dan diletakkan diperut dan di ubun kepala kanak-kanak tersebut. Petua ini dilakukan dengan iringan selawat ke atas nabi Muhammad dan bacaan Bismillah.
2. Penggunaan sirih dan pinang untuk merawat kembung perut bayi

Bagi masyarakat Melayu, daun sirih biasanya akan dipanaskan pada api, lalu diletakkan di perut bayi dengan tujuan membuang angin atau menyembuhkan kembung perut. Contoh ini secara jelas menampakkan bahawa kaum ini memanfaatkan sirih dalam bidang pengubatan tradisional. Sungguhpun bersifat tradisional, penggunaan sirih dalam perubatan dinyatakan sangat relevan hingga kini kerana kemujarabannya.
3. Mengamalkan ‘berdiang’ selepas bersalin

Amalan petua tradisional ini dilakukan dengan membuat unggun api dan wanita yang berpantang tersebut akan duduk berhampiran dengan unggun api tersebut untuk memanaskan badan. Ketahui bahawa petua ini juga dipercayai dapat melancarkan peredaran darah di dalam tubuh. Amalan berdiang ini pada asasnya tidak mempunyai tempoh tertentu yang perlu dipatuhi kerana amalan ini bergantung kepada individu terbabit.
4. Halia untuk memanaskan badan selepas bersalin
Terdapat juga petua perubatan yang diamalkan ibu selepas bersalin menggunakan halia. Dalam hal ini, masyarakat Melayu Sarawak mempercayai bahawa halia dapat memanaskan dan menyegarkan tubuh badan selepas bersalin, iaitu semasa ibu masih berpantang. Masyarakat Melayu Sarawak dahulu dan sekarang akan merebus air halia dan meminum airnya. Sepanjang tempoh berpantang, amalan menggunakan halia, baik sebagai minuman atau kegunaan luaran akan diteruskan dan kesannya diyakini amat berguna kepada pengamalnya.
5. ‘Dikasei’ untuk menaikkan seri pengantin.

Petua persediaan untuk pengantin secara khususnya pula melibatkan bahan-bahan semula jadi untuk pelbagai tujuan dan manfaat kesihatan serta kecantikan. Misalnya, beras pulut, kunyit, daun pandan dan bunga tanjung akan ditumbuk dan seterusnya dikasei (dilumur) pada seluruh badan selama tujuh hari. Selain dapat menghaluskan dan melembutkan kulit, amalan ini dipercayai dapat menaikkan seri muka pengantin. Untuk menaikkan seri wajah juga, pengantin perlu minum air campuran kunyit dengan sedikit gula.
6. Tepung tawar ke atas pengantin

Untuk tujuan ini, tuan rumah keluarga terdekat akan merenjis tepung tawar sambil berdoa agar pengantin diberikan kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Sekiranya amalan ini tidak dilaksanakan, keadaan tersebut dikatakan akan ‘tunggal haus’, iaitu menyebabkan sesuatu tidak baik akan berlaku kepada tuan rumah atau pengantin itu sendiri. Begitu juga dengan pengantin baru berkahwin idak dibenarkan keluar melintas ‘seberang laut’ dalam tempoh seminggu perkahwinan. Konsep ‘seberang laut’ ini merujuk kepada apa-apa juga perlakuan yang pergi ke sesuatu tempat melalui sungai mahupun laut. Tujuan petua ini adalah untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk pada ketika baru melangsungkan perkahwinan.
7. Mengamalkan ‘conteng’ apabila sakit perut
Masyarakat Melayu tradisional Sarawak juga mengamalkan ‘conteng’ apabila sakit perut, pening atau demam. ‘Conteng’ merupakan lakaran berbentuk swastika diikuti dengan doa atau selawat ke atas nabi. Amalan ini dilakukan kerana kepercayaan masyarakat, kononnya terdapat jembalang yang akan menganggu individu, khususnya anak-anak kecil. Amalan ‘conteng’ banyak dilakukan pada tahun-tahun 1960-an. Pada tahun-tahun selepasnya, petua ini kurang lagi diamalkan.
8. Wanita tidak digalakkan duduk di muka pintu

Dalam hal pantang larang berkaitan wanita, sebagaimana wanita Melayu tidak digalakkan duduk di muka pintu. Sekiranya berbuat demikian, wanita tersebut akan lambat bertemu jodohnya. Pantang larang ini berkaitan dengan aspek nilai dalam budaya Melayu secara keseluruhannya. Hal ini kerana, sudah tentu wanita yang duduk di muka pintu akan mengundang pelbagai persepsi, khususnya yang tidak elok dalam kalangan orang kampung. Mereka mempunyai pandangan terhadap wanita yang sopan santun tidak berbuat demikian, lazimnya mereka sibuk dengan tugas menguruskan rumah.
9. Wanita tidak digalakkan menyanyi di dapur
Menurut kepercayaan orang-orang tua, wanita yang selalu menyanyi di dapur akan mendapat suami yang tua. Pantang larang ini juga berkaitan dengan sistem nilai dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana, adalah sesuatu perbuatan yang tidak manis apabila wanita menyanyi di dapur, yang seterusnya mungkin akan menyebabkan fokus kerja, khususnya semasa memasak akan terganggu. Kesannya, makanan yang dimasak mungkin tidak sedap kerana tersalah ramuan. Kini, masih ada masyarakat Melayu yang masih mempercayai kedua-dua pantang larang ini dan mencuba mengelakkan diri daripada melakukannya.
10. Wanita mengandung tidak digalakkan duduk di kepala tangga
Terdapat juga petua dan pantang larang untuk mendapat anak yang baik perangainya, iaitu apabila seseorang itu mengandung, individu tersebut tidak boleh duduk di kepala tangga. Dikatakan bahawa sekiranya si ibu berbuat demikian akan menyebabkan anaknya mengikut perangai ibunya yang buruk. Pantang larang ini memiliki aspek nilai yang tinggi, iaitu seseorang ibu yang mengandung tidak boleh duduk di tangga, yakni satu tempat yang boleh membahayakannya, sebaliknya duduk di kawasan yang lain, yang lebih selamat dan selesa.
11. Menyentuh makanan bagi mengelak kempunan

Apabila tuan rumah mengajak tetamunya makan, maka mestilah tetamu itu makan ataupun sekurang-kurangnya menjamah (menyentuh) sedikit makanan tersebut. Tujuannya adalah agar seseorang itu tidak kempunan. Namun, rasionalnya adalah agar seseorang tetamu tersebut menghormati tuan rumah, iaitu supaya tuan rumah tidak berkecil hati apabila pelawaannya ditolak.