Seorang suami sanggup tinggalkan gaji lima angka demi isterinya di Sarawak
Suami Sanggup Tinggalkan Gaji Lima Angka Dan Bermastautin Di Sarawak Bersama Isteri. Demi kelangsungan hidup bersama keluarga, seorang individu menceritakan kisah atau pengalamannya pernah bekerja sebagai chef restoran di Singapura namun kini bermastautin di Sarawak.
Menurut sumber, lelaki tersebut menggunakan kemahiran memasaknya untuk menjual makanan yang diberi nama Nasi Gulai Bang Midie.

Sukar membuat keputusan untuk bermastautin di Sarawak, namun demi pengorbanan untuk isterinya
Dalam pada itu, dia mengakui bahawa berat baginya untuk membuat keputusan itu memandangkan gajinya sebagai chef sebelum ini sudah mencecah lima angka. Bagaimanapun, pengorbanannya sebagai seorang suami untuk isteri tercinta, yang bekera sebagai pensyarah jurusan kulinari di sebuah kolej di Sarawak.
“Selepas dua tahun tinggal berjauhan dengan isteri, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja di Singapura dan ikut isteri ke Sarawak,” katanya menerusi sumber.
“Ikutkan majikan di sana (Singapura) sangat baik dan berat hati lepaskan saya tetapi keadaan memaksa memandangkan Covid-19 ketika itu kembali teruk jadi menyukarkan perjalanan saya keluar masuk Singapura ke Malaysia.
“Lagipun, isteri hamil zuriat sulung kami ketika itu dan risau sekiranya tidak dapat berjumpa dengannya sehingga melahirkan anak. Jadi pilihan terbaik adalah berhijrah ke Sarawak sejak lebih dua tahun lalu,” katanya lagi.
Banyak dugaan, halangan yang ditempuhi
Beliau turut menambah bahawa perjalanan awal buat dirinya sebagai anak perantau di bumi kenyalang tidaklah mudah kerana beliau bukan penduduk tempatan.

“Berliku juga perjalanan saya di sini kerana pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel tetapi bertahan hampir enam bulan saja sebelum diberhentikan dengan notis 24 jam kerana masalah permit.
“Selepas itu, saya kerja sebagai tukang bancuh air di kedai, bantu berniaga di bazar, kerja sambilan di kafe, tawar perkhidmatan kereta sapu dan sewa kolam, jual kambing perap dari rumah, ambil upah mengecat kedai dan pasang lantai serta jadi pembantu di katering.
Cuba untuk berniaga dan dapat keuntungan anggaran RM500 sehari
“Akhirnya, baru saya cuba berniaga dan cabaran awalnya untuk mencari tapak niaga yang sesuai dan meyakinkan pelanggan untuk membeli.
“Ikutkan memang susah nak mohon tapak yang sah kerana saya bukan orang tempatan dan perlu belajar cara bertutur dalam dialek tempatan,” katanya.
Meskipun begitu, individu tersebut enggan mengalah dan terharu dengan sokongan diterima daripada masyarakat tempatan walaupun baru setahun berniaga.

“Buat masa ini, saya uruskan sendiri perniagaan kerana belum mampu untuk membayar pekerja dan Alhamdulillah, saya sudah pandai cakap dialek Sarawak.
“Anggaran untung sehari dalam RM500 tetapi itu belum tolak modal namun saya mahu teruskan juga berniaga kerana ia sumber rezeki saya buat masa ini.
Selain mencari rezeki, beliau juga mengatakan bahawa niatnya adalah perkenalkan lagi makanan dijual di bumi Borneo. Beliau berhasrat untuk membuka kedai makan sendiri suatu hari nanti.