Dikesan dari daerah Kuching, Lubok Antu, Daro, Bau dan Bintulu
10 Kes Positif COVID-19 Dikesan Di Sarawak Hari Ini. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengumumkan bahawa Sarawak hari ini telah mengesan 10 kes positif Covid-19.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 742 kes.

Kes Import B, kes Influenza-Like-Illness (ILI) dan kes saringan kontak
Menurut kenyataan media terkini JPBNS, terdapat 8 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Import B, 1 kes saringan ILI, dan 1 kes saringan kontak dikesan hari ini.
4 kes dikesan di Kuching, 3 kes di Luboh Antu manakala Daro, Bau, dan Bintulu masing-masing ada 1 kes.
Bagi daerah Kuching, 3 daripada 4 kes adalah saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah). Mereka merupakan anggota keselamatan yang baru pulang setelah diarahkan untuk bertugas di Sabah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Kes dengan anggota pasukan lain telah bertolak pada 25 September 2020 dan kembali ke Sarawak menggunakan penerbangan khas menerusi Lapangan Terbang Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Kuching pada 28 September 2020. Mereka diletakkan dibawah arahan kuarantin 14 hari di PULAPOL setelah tiba.
Kesemua kes menjalani ujian saringan pertama pada 29 September dan keputusan adalah negatif. Saringan ulangan pada hari ke-10 dilakukan pada 7 Oktober dan ujian rT-PCR ketiga-tiga kes adalah positif pada hari seterusnya. Mereka tidak menunjukkan tanda serta gejala dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).
509 anggota keselamatan membuat saringan pertama dibawah arahan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Seorang sahaja didapati positif pada saringan pertama. 495 anggota keselamatan sedang menunggu ujian saringan kali-2.
Sementara itu, satu kes adalah kes saringan kontak kepada kes positif Covid-19. Kes ini adalah seorang pegawai keselamatan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA). Kes menjalani saringan di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Kuching pada 7 Oktober kerana mempunyai kontak kepada kes ke-718 semasa bertugas di KIA pada 2 Oktober 2020.
Ujian saringan kes didapati positif pada 8 Oktober. Kes tidak menunjukkan segala gejala dan tanda dan telah dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut.
Kes tidak mempunyai sejarah melakukan perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi dalam tempoh sebulan lalu. Kes ini dikategorikan sebagai jangkitan tempatan. Pengesanan kontak sedang dijalankan.

Bagi Lubok Antu, 2 daripada 3 kes adalah kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi. Kedua-dua kes adalah ibu dan anak warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan melawat Sabah dan kembali pada 27 September 2020 melalui KIA dari Kota Kinabalu.
Mereka menjalani ujian saringan pertama semasa ketibaan di KIA dan didapati negatif. Pada hari ke-10, ujian ulangan Covid-19 di klinik kesihatan di Lubok Antu melalui ujian rT-PCR mendapati bahawa mereka adalah positif pada 8 Oktober 2020.
Kedua-dua kes tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan dan telah dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut. Pengesana kontak rapat dan kontak sosial sedang dijalankan.
Sementara itu, satu kes adalah kes saringan ILI. Kes adalah seorang anggota keselamatan yang bertugas di Luboh Antu dan mula mengalami sakit tekak pada 5 Oktober. Kes kemudian membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19 di klinik kesihatan di Lubok Antu. Ujian rT-PCR telah mendapati bahawa kes tersebut adalah positif pada 8 Oktober dan dirujuk ke HUS pada hari sama.
Kes tidak pernah melakukan perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi dalam tempoh sebulan lalu. Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan dan sedang disiasat untuk menentukan punca jangkitan. Pengesanan kontak sedang dibuat.

Untuk Daro, satu kes adalah saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi. Kes adalah warganegara tempatan yang bekerja di pelantar minyak di perairan Sabah dan telah kembali ke Sarawak dari Kota Kinabalu melalui Labuan, Miri dan Sibu sebelum meneruskan perjalanan balik melalui jalan darat ke Daro pada 3 Oktober 2020.
Kes menjalani saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Labuan dan diberi arahan kuarantin di rumah oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Sampel yang diambil telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor dan keputusan ujian rT-PCR didapati positif pada 8 Oktober 2020.
Kes mengalami batuk, demam, dan sakit tekak mulai 1 Oktober 2020 tetapi telah sembuh pada 6 Oktober 2020. Kes telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan dikategorikan kes jangkitan dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Untuk Bau, kes juga adalah kes pulang dari kawasan berisiko tinggi. Kes adalah warganegara tempatan dan mempunyai sejarah perjalanan melawat Sabah dan kembali pada 27 September melalui KIA dari Kota Kinabalu.
Kes menjalani ujian saringan pertama semasa ketibaan di KIA dan didapati negatif.
Ujian ulangan pada hari ke-10 dilakukan di Hospital Bau dan keputusan adalah positif pada 8 Oktober 2020. Kes tidak menunjukkan tanda dan gejala dan telah dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut.
Pengesanan kontak rapat dan kontak sosial sedang dijalankan.

Bagi Bintulu, kes adalah kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Semenanjung Malaysia). Merupakan seorang penasihat penjualan warganegara, kes dikesan dijangkiti Covid-19 pada 8 Oktober 2020 melalui saringan kes bergejala.
Kes mula menunjukkan tanda dan gejala pada 1 Oktober 2020 dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan saringan RTK Antibody Covid-19 di sebuah hospital swasta di Bintulu tetapi ujian saringan pada 1 dan 5 Oktober tidak reaktif untuk Covid-19.
Kes kemudian mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan saringan lanjut di Hospital Bintulu pada 7 Oktober 2020 dimana kes diambil swab untuk rT-PCR kerana menunjukkan gejala serta mempunyai sejarah perjalanan ke Kedah dan Kuala Lumpur pada 24 – 27 September.
Keputusan ujian mendapati kes adalah positif dan kini dirawat di Hospital Bintulu. Pengesana kontak sedang dijalankan.
