“Saya ibu kandung dia, saya bukan ibu ayam.” – Ibu mangsa
Video Intim Disebar Oleh Bekas BF, Ibu Mangsa Dihubungi Lelaki Lain Yang Teringin ‘Langgan’ Anak. Seorang ibu mengalami hati terluka apabila menerima kiriman WhatsApp berkali-kali daripada individu tidak dikenali yang berminat untuk langgan anaknya selepas video intim anaknya dengan bekas teman lelaki disebarkan sejak dua bulan yang lalu.
Malah, wanita tersebut, yang mahu dikenali sebagai Lucy, berusia 50-an tahun, kini takut untuk membuka telefon bimbitnya kerana risau akan dapatkan mesej yang melampau. Difahamkan individu-individu yang menghubunginya akan menghantar video intim anaknya kepada beliau apabila hendak ‘bertanyakan harga untuk perkhidmatan seks yang ditawarkan’.
Disebar Oleh Bekas Teman Lelaki Yang Tidak Mahu Menerima Hakikat Hubungan Sudah Berakhir
Menurut laporan, terdapat tiga video intim yang disebarkan oleh bekas teman lelaki gadis itu. Ketiga-tiga video itu menunjukkan taikh yang berlainan. Difahamkan, perkara ini berpunca apabila gadis tersebut yang berusia 21 tahun, memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya apabila mengetahui lelaki tersebut sudah berkeluarga dan mempunyai anak.
Ibu kepada gadis tersebut lalu menerima mesej-mesej yang aneh dimana individu akan bertanyakan harga untuk melanggankan anaknya.
“Saya menerima mesej menunjukkan gambar anak saya sedang melakukan hubungan intim bersama lelaki yang dikenali oleh saya dalam Facebook. Hingga sekarang saya takut untuk membuka telefon kerana bimbang akan dapat mesej seperti itu,” kata wanita itu.
Apabila disoal siasat, anaknya mengaku bekas teman lelaki dia tidak dapat menerima hakikat hubungan mesra mereka sudah berakhir lalu menyebarkan video intim mereka tanpa kebenaran gadis itu.
Bermula Dari Kesahabatan Yang Kemudian Menjadi Hubungan Mesra
Lucy berkata anaknya mula menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut sejak dua tahun yang lalu. Mereka juga rakan sekerja di sebuah pusat peranginan di Pantai Timur.
Pada mulanya, mereka hanya rapat sebagai rakan sekerja tetapi hubungan itu berterusan sehingga menjadi hubungan mesra. Apabila lelaki tersebut menyatakan hasrat untuk berkahwin, gadis tersebut tidak mahu setelah mengetahui lelaki itu sudah beristeri dan mempunyai anak malah berlainan agama. Lelaki itu kemudian mengugut gadis itu bahawa dia akan menyebarkan video dan gambar intim mereka jika gadis itu tidak meneruskan hubungan intim mereka.
Bimbang dengan keselamatan anaknya, Lucy terpaksa meminta anaknya untuk berhenti kerja, dan juga sebab tempat kerja anaknya di pulau tidak ramai penghuni.
Sebuah laporan sudah dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Gadis itu telah bermohon maaf kepada keluarganya dan mengaku kesilapannya. Namun, perkara ini belum lagi berkakhir kerana lelaki berkenaan masih lagi menyebarkan gambar intim tersebut kepada kenalan rapat.
Lucy bermohon kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini kerana mungkin membabitkan mangsa lain yang tidak mahu tampil membuat laporan akibat ketakutan atau malu.
Adakah Anda Mangsa Revenge Porn? Berikut Adalah Tindakan Boleh Anda Lakukan
Revenge porn ialah tindakan menyebarkan gambar dan/atau video intim tanpa kebenaran mangsa. Kebiasaannya, video atau gambar terbabit akan dibuat dengan atau tanpa pengetahuan mangsa, dan kemudian disalahgunakan apabila salah seorang dalam sebuah hubungan mesra memilih untuk memutuskan hubungan tersebut. Oleh itu, tindakan ini digelar sebagai revenge porn (tindakan dibuat sebagai balasan dendam) yang memalukan mangsa dan dianggap sebagai cyber bullying.
Untuk pengetahuan anda, cyber bullying adalah salah di sisi undang-undang di Malaysia.
Mangsa cyber bully boleh buat aduan polis terhadap individu yang menggunakan mana-mana platform media sosial untuk mengganggukan mereka (Facebook, Instagram, WhatsApp dan sebagainya). Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jika disabit, pesalah akan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya. Pesalah akan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Jadi, jangan pula anda pandai-pandai nak sebarkan benda yang tak patut dalam media sosial, dan jangan pandai-pandai nak ambil video pasangan anda dalam diam, ya? Nasihat kepada para wanita, fikir seribu kali sebelum membenarkan teman mesra anda merakam hubungan intim anda berdua. Semoga dijauhi perkara sebegini.