Pembukaan ini melibatkan sekolah menengah serta sekolah rendah di seluruh Malaysia.
Sekolah Dibuka Secara Berperingkat Bermula 15 Julai Ini Untuk Kelas Bukan Peperiksaan. Pasti ini merupakan berita baik yang ditunggu-tunggu oleh seluruh pelajar sekolah di Malaysia. Menerusi pengumuman langsung yang dibuat oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin sebentar tadi, pembukaan sekolah ini melibatkan sekolah rendah dan menengah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
15 Julai untuk Sekolah Menengah serta darjah 5 dan 6, 22 Julai untuk darjah 1 hingga 4
Sesi persekolahan yang akan dibuka semula pada 15 Julai ini melibatkan kelas bukan peperiksaan iaitu kelas Tingkatan 6 semester 1, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 serta kelas darjah 5 dan 6.
Manakala bagi kelas darjah 1 hingga 4, sesi persekolahan akan dibuka pada 22 Julai 2020.
Jelas Dr. Mohd Radzi, tarikh tersebut terpakai untuk semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula disarankan untuk mengikuti tarikh pembukaan semula sekolah tersebut.
Pembukaan sekolah berpandukan 3 model pengoperasian semula
Walau bagaimanapun, pembukaan semula sekolah ini adalah berpandukan 3 model pengoperasian semula sekolah memandangkan kapasiti dan keupayaan sekolah berbeza apabila amalan penjarakan sosial dilaksanakan.
3 model pengoperasian semula sekolah adalah seperti berikut :
1. Model Satu Sesi
- Model untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
2. Model Dua Sesi
- Model untuk sekolah sedia ada yang beroperasi secara dua sesi atau pun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
3. Model Penggiliran
- Sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi. Kebanyakan sekolah yang terpaksa melaksanakan model ini ialah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.
- Sekolah Menengah – pelajar tingkatan 5 dan 6 perlu hadir setiap hari, pelajar tingkatan 1 hingga 4 perlu hadir secara bergilir mengikut kelas atau aliran tertentu.
Penentuan bentuk penggiliran akan tertakluk sepenuhnya kepada pihak sekolah
Tambahnya lagi, pihak sekolah perlu menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid sekiranya berada dalam model penggiliran.
Sebagai contoh, sekiranya sekolah mempunyai ruang yang mencukupi untuk kehadiran murid Tingkatan 4 secara penuh, maka murid-murid tersebut hendaklah hadir ke sekolah setiap hari. Kehadiran penuh ini akan diberikan keutamaan sebagai persediaan kepada kelas yang akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun hadapan.
Bagi model penggiliran sekolah rendah pula, murid darjah 1 hingga 6 boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap.
Kaedah pembelajaran pelajar sekolah model penggiliran adalah secara hibrid
Kaedah pembelajaran murid yang berada dalam sekolah kategori model penggiliran ini adalah secara hibrid iaitu secara bersemuka dengan guru pada hari bersekolah dan secara Home-based learning apabila tidak turun ke sekolah.
KPM akan mengeluarkan senarai sekolah mengikut model yang ditetapkan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.
Bagaimana adik-adik sekalian? Adakah anda sudah bersedia dan teruja untuk kembali ke sekolah?
Jangan lupa pakai pelitup muka, amalkan penjarakan sosial dan sentiasa mencuci tangan bila berada di sekolah kelak!