Mari kenali sejarah masyarakat Melayu Sarawak
Ini Teori Asal Usul Melayu Sarawak. Masyarakat Melayu Sarawak merupakan antara masyarakat yang turut sama mendominasi bumi Sarawak. Bukan itu sahaja, bahasa komunikasi yang menyatukan penduduk di Sarawak juga adalah bahasa Melayu Sarawak selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Menurut laman Facebook Kelab Pena UMS, terdapat 4 teori asal usul masyarakat Melayu Sarawak berdasarkan kajian pakar sejarah. Mari kita lihat apakah teori yang dikemukakan tersebut.
1. Melayu Sarawak merupakan penduduk asli Sarawak
Teori yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu Sarawak adalah penduduk asli atau pribumi di Sarawak adalah teori yang paling kukuh setakat ini sepertimana yang dikemukakan oleh ahli sejarah tempatan, Dr. Sanib Said.

Kebanyakan penduduk asal yang menerima kedatangan Islam pada abad ke 15 adalah penduduk pribumi yang tinggal di pesisir pantai Sarawak. Mereka menerima pengaruh Islam secara sedikit demi sedikit dan akhirnya meninggalkan amalan serta budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Jika diperhatikan, dialek Melayu Sarawak juga mempunyai banyak persamaan dengan bahasa etnik tempatan seperti kaum Iban. Penduduk pribumi yang memeluk Islam ini akhirnya membentuk masyarakat Melayu Sarawak.
Oleh yang demikian, teori ini mencadangkan bahawa masyarakat Melayu Sarawak sebenarnya penduduk asal yang telah tinggal lama di Borneo sebelum kedatangan Islam dan penjajah keluarga Brooke.
2. Melayu Sarawak berasal dari Minangkabau, Sumatera

Penduduk Melayu Sarawak di Kuching pastinya mengenali nama Datuk Merpati Jepang yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Indonesia. Beliau merupakan seorang yang berketurunan Jawa dan berhijrah bersama pengikutnya ke Sarawak dan membuka petempatan baharu di Lidah Tanah, nama lama bagi Kuching.
Teori ini pula mencadangkan bahawa penduduk Melayu Sarawak terutamanya di kawasan Kuching merupakan generasi kepada Datuk Merpati Jepang sebagaimana golongan elit Sarawak dengan nama ‘Abang’ seperti Ketua Menteri Sarawak, Datuk Pating Haji Abang Abdul Rahman Zohari.

Bercerita dengan lebih lanjut tentang keturunan Datuk Merpati Jepang, anak beliau mengahwini Dayang Murdiah, anak kepada ketua masyarakat di Santubong, Abang Adi, semasa era pemerintahan Brunei abad ke-16. Pada waktu itu, Datu Merpati Jepang telah dilantik oleh Sultan Brunei untuk mentadbir Kuching.
Setelah kematian Datuk Merpati Jepang, anaknya telah menggantikan posisi pentadbiran dengan menguasai bahagian dari Sungai Sarawak sehinggalah ke Sungai Rejang.
3. Melayu Sarawak terbentuk daripada fahaman ‘Masuk Islam, Masuk Melayu’

Menurut pengkaji sejarah awal Sarawak, Tom Harrison, bangsa Melayu Sarawak terbentuk hasil daripada etnik peribumi seperti masyarakat Dayak yang memeluk agama Islam.
Disebabkan bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar dan tunggal yang mengamalkan ajaran Islam pada waktu itu, masyarakat turut menyamakan perpindahan kepercayaan dari pagan atau animisme kepada Islam sebagai ‘Masuk Melayu’. Tambahan pula, masyarakat pada ketika itu belum dapat membezakan antara budaya Melayu dan agama Islam.
Suku kaum seperti Melanau, Dayak dan Kedayan yang memeluk Islam berasimilasi dengan kehidupan Melayu Islam dan meninggalkan budaya lama seperti tinggal di rumah panjang.
Bukan itu sahaja, perkahwinan campur sebagai perlindungan keselamatan daripada dipenggal juga menjadi faktor wujudnya masyarakat Melayu yang asalnya adalah daripada suku kaum minoriti yang telah pupus seperti Seru dan Bliun.
4. Melayu Sarawak berasal daripada Bangsa Arab

Satu lagi teori ialah kewujudan masyarakat Melayu Sarawak adalah berasal dari keturunan bangsa Arab. Pada zaman dahulu, saudagar dan pendakwah belayar ke Sarawak dan menetap terus di sini kerana mengahwini wanita tempatan.
Rentetan itu, mereka mengadaptasi dan berasimilasi dengan kehidupan Melayu Sarawak dengan menggunakan Bahasa Melayu, menyebarkan agama Islam dan menggelarkan diri mereka sebagai masyarakat Melayu Sarawak.
Bukan itu sahaja, masyarakat berketurunan Arab ini lebih digemari dalam bidang politik kerana kecekapannya dalam pentadbiran dan diberi lebih banyak kepercayaan oleh pemerintah Brunei berbanding untuk pembesar Melayu. Antaranya seperti Syarif Usman di Saribas, Syraif Mullah di Skrang dan Syarif Jaafar di Lingga.
Malah, kebanyakan keturunan Melayu Arab hari ini dapat dilihat daripada penggunaan pangkal nama seperti gelaran Syed, Sayid, Wan, Tungku dan Syarifah.
Demikianlah teori kewujudan masyarakat Melayu Sarawak di Kepulauan Borneo. Walaupun tidak diketahui sejauh mana kesahihannya, namun terdapat beberapa kajian sejarah yang sedikit sebanyak menyokong teori yang dikemukakan ini. Untuk pembacaan lebih lanjut, layari laman Facebook Kelab Pena UMS.