Tanpa seni, hidup tak berseri
Dari Oversea Ke Kota Kinabalu, Ini Kisah Bagaimana Idea Mural Tiang Pemuda Ini Menyatukan Artis Lokal Di Sabah. Sejarah dunia telah membuktikan bahawa seni adalah medium yang berkesan untuk mendidik dan menyatukan manusia. Bermula daripada zaman peradaban awal manusia yang mengukir lukisan di dinding-dinding gua sehinggalah kini wujudnya lukisan serta arca moden, para artis sentiasa hadir dengan 1001 seni kreatif untuk menyampaikan mesej dengan lebih berkesan dan mudah difahami kepada masyarakat.
Harlem Renaissance sekitar era 20 dan 30-an di New York misalnya, telah menjadi sebuah gerakan seni Afrika-Amerika yang membuka mata masyarakat kulit putih Amerika tentang stereotaip masyarakat Afrika-Amerika menerusi seni komuniti masyarakat ini. Malah, seni juga menjadi inspirasi kepada perubahan sosial dan politik, namun dalam masa yang sama memiliki upaya untuk memelihara dan meraikan budaya. Tanpa seni, hidup tak berseri.
Dalam artikel kali ini, kami ingin membawakan kepada anda tentang kisah seorang pemuda asal Sabah yang kembali semula ke Malaysia dan idea besarnya untuk komuniti artis lokal di Sabah.
Dari ‘oversea’ ke Kota Kinabalu
Jared Abdul Rahman, merupakan nama yang tidak asing lagi dalam ruang ekosistem seni di Sabah. Berasal dari Kota Kinabalu, beliau kini bergerak aktif sebagai fasilitator seni komuniti bebas yang berperanan merancang aktiviti seni berasaskan komuniti seperti pameran, bengkel dan komisen. Beliau juga memiliki pengalaman sebagai konsultan seni dan artis untuk tujuan penjenamaan. Antara jenama yang pernah bekerjasama dengan Jared adalah seperti syarikat gergasi Petronas, Darlie, Hyatt Hotel dan lain-lain.
Meskipun memiliki kelulusan dalam bidang ekologi dan psikologi, namun Jared pernah berasa ragu-ragu terhadap bakat seni yang dimilikinya kerana bimbang karyanya akan dipandang janggal. Oleh yang demikian, beliau tidak meneruskan hasrat untuk menjadikannya sebagai sebuah jurusan untuk pengajian tingginya. Walau bagaimanapun, menyedari bahawa minat seni itu tidak pernah pudar malah semakin menebal, Jared akhirnya nekad membawa dirinya kembali ke bumi di bawah bayu pada tahun 2018 setelah berhijrah seketika di Australia.
Bagi pemuda ini, kepulangannya ke Sabah bukanlah sebuah kepulangan dengan tangan kosong. Beliau memiliki matlamat – untuk menyumbang kepada perubahan positif dalam masyarakat. Berbekalkan semangat dan tenaga yang berkobar-kobar, beliau merasakan bahawa seni adalah medium yang efektif untuk merapatkan jurang dalam komuniti. Maka, timbullah sebuah idea projek seni yang dinamakan sebagai ‘Pillars of Sabah’.
Pillars of Sabah jadi pasak komuniti artis lokal Sabah
Projek seni ‘Pillars of Sabah’ diasaskan bersama oleh Jared dan rakan artis seni pada tahun 2018. Ianya merupakan sebuah projek seni berasaskan komuniti di mana artis-artis lokal di Sabah berpeluang untuk menonjolkan karya masing-masing di tempat awam. Menurut Jared, projek ini berperanan sebagai sebuah platform untuk komuniti artis mencipta gaya seni mereka yang tersendiri, sekaligus memberi ruang untuk mereka mengekspresikan diri mereka dengan yakin menerusi media kreatif. Sudah pasti, beliau tidak mahu artis-artis lokal di Sabah merasa bahawa karya mereka tidak bernilai dan dipendam begitu sahaja.
Rangka tinggalan bangunan Tanah dan Ukur zaman kolonial lama dilihat sebagai tapak yang sempurna untuk projek ini memandangkan ianya berada di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu, serta berpotensi untuk menarik perhatian orang ramai.
Memanfaatkan sisa-sisa tiang bangunan yang masih kukuh berdiri, Jared dan pasukan projek pada asalnya mewujudkan format “30 tiang, 30 artis” – di mana setiap tiang mewakili setiap satu karya artis tempatan menerusi lukisan mural. Edisi pertama pada tahun 2018 menampilkan lukisan mural bertemakan Hari Malaysia dan telah dilancarkan pada 16 September 2018.
Tiang terbiar bertukar ceria, Pillars of Sabah ketengahkan 30 artis berbeza setiap edisi
Pada asalnya, Jared merancang untuk melaksanakan projek ini sebagai sebuah projek seni ‘one-off’ yang menampilkan kekayaan budaya dan nilai kepelbagaian Malaysia, khususnya di Sabah. Namun, potensi projek ini melangkaui komuniti seni itu sendiri apabila ia telah menarik perhatian orang awam dan menjadi destinasi tarikan pelancong di Sabah. Menyedari hakikat ini, Jared merasakan bahawa ‘Pillars of Sabah’ boleh dijadikan sebagai medium untuk menyebarkan kesedaran melalui karya seni anak tempatan yang berbeza gaya dan citarasa.
Justeru, Jared bersama komuniti artis tempatan Sabah meneruskan kesinambungan projek ‘Pillars of Sabah’ untuk edisi yang kedua pada tahun 2019. Kali ini, kesedaran yang dibawa menerusi seni mural adalah bersempena dengan Earth Hour WWF-Malaysia. Inisiatif kedua ini berjaya dilancarkan pada 30 Mac 2019.
Namun, tiada siapa yang menyangka bahawa dunia bakal dilanda pandemik COVID-19. Impaknya dirasai oleh semua, termasuklah artis seni yang sememangnya bekerja di lapangan untuk berkarya.
Program Komisen Seni Awam ‘Art in the City’ CENDANA meniup harapan baharu buat Pillars of Sabah
Meskipun masih berdepan dengan krisis pandemik COVID-19, Jared tekad mengorak langkah untuk meneruskan projek ‘Pillars of Sabah’ edisi ketiga pada tahun 2020. Inisiatif Jared ini telah berjaya dilaksanakan hasil sokongan dana daripada CENDANA melalui Program Komisen Seni Awam ‘Art in the City’. CENDANA merupakan unit di bawah Kumpulan MyCreative yang memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif.
Program sokongan dana ini diwujudkan khas untuk para seniman, kolektif dan organisasi individu Malaysia, mahupun kumpulan seni masyarakat yang ingin menghasilkan penciptaan dan persembahan aktiviti atau inisiatif seni untuk diadakan di tempat-tempat awam di Malaysia. Jared yang mengetahui sokongan dana ini daripada buah mulut komuniti, segera mengambil peluang keemasan ini memandangkan ‘Pillars of Sabah’ menepati kriteria inisiatif seni untuk dibiayai oleh Program Komisen Seni Awam ‘Art in the City’.
Selaku pengasas bersama projek seni ini, Jared mengakui bahawa sokongan daripada Kumpulan MyCreative ini menjadi pembakar semangat dan harapan semua ahli dalam komuniti seni tempatan Sabah tatkala semua masih dalam belenggu ketidakpastian dan rasa terasing akibat pandemik COVID-19. Malah, projek ini berjaya memuatkan karya 31 orang artis lokal berbanding 30 orang artis berbeza pada dua edisi sebelumnya.
Hasilnya, ‘Pillars of Sabah’ edisi ketiga berjaya dilancarkan secara rasmi pada 20 Disember 2020, bertemakan Hari Solidariti Insan Antarabangsa.
Pillars of Sabah: Impian seni untuk semua
Ternyata, keputusan Jared untuk kembali semula ke Sabah bukanlah sesuatu yang sia-sia. Menerusi projek ‘Pillars of Sabah’, beliau sememangnya berbangga dapat merasai perjalanan seni bersama komuniti artis-artis lokal di Sabah. Bahkan, beliau juga tidak menyangka bahawa idea tersebut memberi impak yang besar. Apatah lagi, dunia seni kini mengalami transisi ke arah digitalisasi dan karya dalam talian, di mana aksesnya menjadi lebih mudah dan tersedia kepada sesiapa sahaja!
Inisiatif Jared ini adalah titik permulaan kepada suasana komuniti seni awam yang kini semakin rancak, bercambah dan meluas di Kota Kinabalu, Sabah. Untuk rencana yang seterusnya, Jared menjelaskan bahawa ‘Pillars of Sabah’ akan didaftarkan sebagai sebuah persatuan rasmi. Harapan beliau menerusi projek ‘Pillars of Sabah’ adalah agar potensi seni yang cerah di Sabah dapat diperluaskan kepada rakan artis dan bukan artis yang memiliki minda yang sama bagi membentuk sebuah pelan pemerkasaan komuniti menerusi aktiviti seni, didukung oleh pengiktirafan daripada badan serta agensi berkuasa yang berkaitan.
Maklumat lanjut berkaitan ‘Pillars of Sabah’ berserta aktiviti dan karya komuniti artis tempatan Sabah boleh diakses menerusi laman sesawang https://www.pillarsofsabah.com/, Instagram (@pillarsofsabah) atau emel [email protected].
Jika anda seorang penggiat seni dan kreatif, sila layari www.mycreative.com.my atau ikuti Instagram Kumpulan MyCreative (@mycreativeventures) untuk mengetahui bantuan pembangunan yang bersesuaian untuk anda.
Kumpulan MyCreative juga merangkumi CENDANA yang berfokuskan kepada aspek pembangunan industri kreatif, R!UH sebagai platform pengaktifan utama pengamal kreatif mempamerkan produk dan bakat mereka serta BASKL, sebuah platform dalam talian yang menerbitkan artikel, ulasan dan podcast berinformatif mengenai kesenian, muzik dan kebudayaaan di Kuala Lumpur.